-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Wednesday, February 18, 2009

Sulaman Ummi Kreatif Jaya

"Usaha yang saya lakukan ini sebenarnya adalah sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahu supaya wanita Melayu menceburi bidang perniagaan, sekali gus menjadi usahawan berjaya serta berdaya saing."

Puan Diana Abdul Hamid, dari Taman Bukit Rambai, Melaka, pemegang Diploma Pengajian Bank, Universiti Teknologi Mara (UiTM) memilih menghasilkan produk jahitan sulaman kreatif dengan menggunakan jenama Ummi Kreatif Jaya.

Produk yang dihasilkannya berasaskan seni tampal, cantum, sulam dan `quilting' iaitu sejenis jahitan menggunakan bahan daripada benang tangsi.

Lebih menarik, beliau menggunakan imej flora dan fauna serta berkonsepkan batik tempatan.

Menyingkap sejarah pembabitannya, ibu kepada empat anak itu berkata, minatnya dalam bidang jahitan berputik selepas tertarik dengan kerja tangan arwah neneknya, Tajsiah Sadin, yang menghasilkan selimut serta sarung bantal menggunakan kain perca.

Ia terus berkembang mekar selepas melihat ibunya, Norlia Md Ali, tidak menang tangan menerima tempahan menjahit baju kurung daripada sanak-saudara mereka serta penduduk sekitar Kampung Chincin, Jasin. Tidak ketinggalan dorongan suaminya, Ramlee Ibrahim.

Bermula saat itu, iaitu lebih tujuh tahun lalu, beliau melakukan kerja tangan berkenaan di rumah, sebelum mengembangkannya termasuk menjadikan jirannya sebagai ahli kumpulan. Mulai detik itu iaitu pada Disember 2003, wujudlah Ummi Kreatif Jaya.

Dalam usaha memastikan usaha itu terus berkembang, Diana mengikuti kelas jahitan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan syarikat Epal, selain menghadiri kursus asas perniagaan serta perakaunan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Selepas berjaya menimba banyak ilmu, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus bekerja bersungguh-sungguh menghasilkan produk jahitan kreatif halus. Pada peringkat awal memang saya menggunakan tangan, namun selepas mendapat suntikan kewangan, saya berjaya membeli sebuah mesin jahit berkomputer berharga RM1,800 dan mesin jahit tepi bernilai RM2,000.

"Bagaimanapun saya masih mengekalkan jahitan kreatif seni tampal, cantum, sulam dan `quilting' berkonsepkan bunga-bungaan, flora dan fauna serta berimejkan batik tempatan yang dibeli dari Terengganu dan Sarawak," katanya.

Pada awal pembabitannya, beliau hanya menumpukan penghasilan seni jahitan kreatif pada sarung bantal, kusyen, kopiah, selimut, permaidani dan cadar yang sesuai bagi keperluan hiasan dan kegunaan sesebuah keluarga.

Namun, katanya, selepas enam tahun membabitkan diri, kini beliau berupaya melangkah lebih jauh dengan penghasilan ciptaan sendiri yang lebih kreatif menerusi beg sejadah, telekung dan tudung.

Beliau berkata ramai pelanggan yang berbangga dengan ciptaan beg sejadahnya kerana berimejkan kain batik tempatan di samping inginkan kain telekung dicipta anak tempatan berbanding diimport dari negara jiran seperti Indonesia.

Beg sejadah yang diciptanya itu mempunyai kemudahan sejadah pada bahagian dalam, manakala luarnya hamparan kain batik dihiasi dengan jahitan tampal, sulam, cantum atau quilting berwajahkan bunga-bungaan yang berseni, indah dan menawan.

Apabila dilipat ia boleh diisi dengan kain telekung dan dilengkapi pula dengan dua tangkai sebagai kemudahan pemiliknya membimbit atau menyangkutnya di bahu untuk di bawa ke mana-mana terutama ke surau atau masjid.

Harga bagi sebuah beg sejadah dijual antara RM40 hingga RM90, telekong sulaman (ekskusif) adalah RM100 hingga RM140 sementara telekung renda RM50 hingga RM100.

"Semua harga yang ditetapkan adalah bergantung kepada saiz serta jahitan kreatif yang dicipta. Selain beg sejadah dan telekung, pelanggan boleh menambah set kelengkapan dengan membeli tasbih mutiara dan kristal iaitu produk baru dihasilkannya.

"Batu mutiara dan kristal terbabit bukan saja boleh digunakan sebagai tasbih 33 atau 99 untuk berwirid, malah sebagai hiasan wanita seperti rantai dan gelang tangan.

Alhamdulillah produk yang saya cipta dan ilhamkan serta didaftarkan melalui Ummi Kreatif Jaya ini semakin mendapat sambutan baik.

Ummi Kreatif Jaya boleh dihubungi di talian 019-6267665 atau menghantar e-mel pada alamat diana_abdulhamid@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.