-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Thursday, May 21, 2009

Jual-Beli Pondok Terpakai

"Harga untuk pondok berkenaan 20 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga produk baru. Namun harga bergantung kepada bahan, saiz dan jenis binaan yang digunakan."

Kini, tidak ada masalah untuk memiliki pondok atau wakaf untuk menghias laman serta menjadi tempat istirahat, apabila Risda Semaian Sdn Bhd (RSSB) menawarkan tempahan pondok yang lebih murah kerana menggunakan bahan binaan terpakai.

Antara bahan yang biasanya daripada bahan terpakai adalah kayu, lantai dan atap genting yang digunakan selain hiasan dan ukiran untuk kepala pondok.

Pengurus RSSB, Putrajaya, Chin Yew Aik berkata, syarikat berkenaan mengambil inisiatif membina pondok dan wakaf terpakai kerana ada permintaan yang banyak daripada pengguna.

"Kita dapati ada pelanggan yang berminat memiliki pondok tetapi sering melupakan hasrat mereka apabila harga pondok yang dijual mencecah ribuan ringgit."

"Dengan pondok terpakai ini harganya jauh lebih murah dan ada juga antara peminat yang sengaja ingin membeli pondok terpakai kerana ia nampak lebih klasik dan warna yang rustic," katanya.

Beliau berkata, selain tempahan, RSSB juga menjual pondok terpakai yang dijual kepada kami oleh pelanggan kerana mereka membeli produk lain.

"Sebelum dijual kepada pelanggan, pondok terpakai yang kami beli ini akan diperbaiki dan dikemaskan supaya nampak baru selain sebagai jaminan keselamatan. Kita tidak akan menjual pondok atau wakaf terpakai yang rosak," katanya.

Bahan-bahan terpakai diperoleh daripada kerja pengubahsuaian yang dijalankan sendiri RSSB atau dibeli daripada kontraktor pembinaan yang mengubahsuai atau membaiki kediaman.

Chin menegaskan bahawa produk terpakai yang dijual kepada pelanggan masih mengekalkan kualiti seperti pondok dan wakaf yang baru dibina.

"Kualiti menjadi keutamaan walaupun produk ini menggunakan bahan terpakai," katanya yang mengakui produk kayu cengal dan meranti terpakai masih mahal berbanding kayu resak, getah dan kelapa sawit.

Harga pondok terpakai adalah antara RM1,500 hingga RM6,000 di mana harga yang dipamerkan di pusat jualan boleh dirunding berdasarkan saiz, bentuk, rekaan, bahan dan jenis kayu digunakan.

Sumber: Berita Harian Online

1 comment:

Mimi said...

Kepada siapa saya perlu contact utk beli pondok2 ini?

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.