-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Friday, May 1, 2009

Menternak Burung Kakak Tua

"Setiap individu mempunyai hobi tersendiri, sama ada sebati dengan jiwanya, untuk sumber pendapatan dan kedua-duanya. Jika hobi membawa untung, lebih baik diteruskan kerana sudah pasti membawa hasil."

Begitu juga dengan Shek Mamad Hussin Shahib, 54, yang mempunyai minat memelihara burung kakak tua.

Bermula sekadar hobi mencari keseronokan sejak lima tahun lalu, beliau kini mempunyai lebih 100 burung kakak tua pelbagai jenis.

Shek Mamad atau Ghani dianggap antara penternak burung kakak tua berjaya, bukan saja kerana mempunyai jumlah burung yang banyak tetapi membuktikan kemampuan membiakkan baka yang menjadi pilihan ramai.

Bermula dengan membeli seekor kakak tua daripada kenalan di Kajang, Selangor, diikuti burung kedua dibeli di Taiping, Perak, kini rumahnya di Taman Seri Gombak, di sini ibarat mini zoo menempatkan pelbagai jenis burung yang mempunyai tempat pembiakan.

Berkongsi minat sama dengan anaknya, Shek Nizam, 29, mereka melihat penternakan itu sebagai satu industri yang menjanjikan permintaan tinggi, sekali gus membantu merealisasikan impian membiak sebanyak mungkin baka terbaik kakak tua. Daripada lebih 100 kakak tua miliknya, sudah pasti ada yang menjadi pilihan dan mencuri tumpuan pemilik dan peminatnya.

"Spesies African Grey paling diminati kerana boleh bercakap. Agak pelik tetapi itulah hakikatnya dan kajian saintifik mendapati, spesies itu mempunyai memori sangat baik, boleh merekod dan mengingati 500 patah perkataan.

"Burung jenis ini juga agak cerdik berbanding spesies lain, misalnya tahu membezakan warna dan mampu mengumpulkan barang di satu tempat mengikut jenis warna. Sebab itu saya katakan peminatnya cukup ramai," katanya.

"Anak burung ini diberi makan empat kali sehari sehingga minggu ketujuh. Pada minggu ke lapan, mereka dilatih makan sendiri bermula dengan makanan lembut seperti betik. Jika berjaya, catuan makanan yang disuap akan dipotong sedikit demi sedikit membolehkan mereka makan sendiri hinggalah boleh makan sepenuhnya," katanya.

Di sepanjang kawasan rumahnya dipenuhi dengan sangkar burung kakak tua, manakala satu kawasan lagi terletak di pintu masuk utama ditempatkan kawasan khas untuk burung bertelur dan mengeram. Kawasan itu jarang dimasuki bagi mengelakkan gangguan kepada burung.

Ada spesies yang mengeluarkan bunyi cukup nyaring dan bising, misalnya jenis Macaw tetapi itulah sebenarnya yang dianggap Ghani sebagai hiburan dan muzik menghiburkan kerana ia adalah bunyi semula jadi.

Ghani dan anaknya juga sering diundang untuk mengadakan pertunjukan di pusat beli belah, sekolah dan pusat peranginan membolehkan pengunjung bergambar dengan burung berkenaan.

Selain membiak burung kakak tua, Ghani juga menternak 40 rusa jenis Timorensis dari Indonesia dan Sika (rusa bintik) dari China serta puluhan itik hiasan dan pelbagai jenis kucing. Semua haiwan eksotik ini boleh disewa untuk pertunjukan.

Sumber: Berita Harian Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.