-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Monday, June 8, 2009

Bisnes Menternak Buaya

"Dengan harga daging buaya melebihi RM80 sekilogram, seekor buaya dewasa yang boleh mencapai berat hingga 300 kilogram mampu menghasilkan pendapatan yang mencecah RM1,500 untuk setiap buaya."

Ladang buaya milik keluarga Ng yang terletak di Kampung Belanding, kira-kira 20 minit pemanduan daripada Kota Tinggi telah menternak buaya spesies Crocodilus porosus sejak tahun 1979 lagi.

Ia kini diuruskan oleh Ng Cheng Chiew, 50, anak sulung dari 10 beradik bersama isterinya, Ng Siew Eng.

Cheng Chiew mewarisi ladang buaya seluas lapan ekar yang dikatakan tertua di negara ini daripada bapa dan datuknya, Ng Chin Chew yang juga pengasas penternakan buaya tersebut.

Sebelum kewujudan ladang buaya itu, keluarga Ng asalnya adalah nelayan keturunan Teochow dan memiliki seekor buaya yang diturunkan dari generasi ke generasi sebagai haiwan peliharaan.

Kini, buaya di situ telah pun berusia lebih 130 tahun dan masih sihat serta ditempatkan di sebuah petak individu khas.

Nyata buaya yang telah kehilangan semua giginya itu masih menjadi tarikan utama Ladang Ng dan masih mampu memberi aksi menarik apabila diacah dengan makanan oleh 'penjinak buaya'.

Atas dasar minat dan kasih sayang datuk Cheng Chiew terhadap reptilia itu, dia telah mengumpul buaya yang ditemui nelayan-nelayan dan seterusnya melebarkan perniagaan keluarga daripada nelayan biasa menjadi pembiak buaya.

Siapa sangka ladang yang telah diusahakan selama tiga generasi itu meskipun kelihatan amat ringkas telah berkembang dan menempatkan kira-kira 1,400 ekor buaya serta pada waktu-waktu tertentu mampu menghasilkan sumber pendapatan yang lumayan kepada keluarga Ng.

Selain menjual kepada beberapa restoren makanan Cina di Johor Bahru, beliau juga membuka tempahan dan memasakkan sup tradisional Cina kepada pengunjung ladang.

Bagaimanapun, mereka menghadapi masalah menjual kulit-kulit buaya yang masih disimpan meskipun mereka mempunyai permit untuk menjualnya.

Ketiadaan pelanggan adalah masalah utama memandangkan beliau tiada orang tengah atau pengilang bagi memproses kulit-kulit tersebut.

Bagi mengekalkan kesihatan dan memelihara kualiti, sangkar-sangkar buayanya perlu kerap dibersihkan secara berkala, jadi beliau menggunakan sekitar 20 orang tenaga pekerja untuk melakukannya.

Kos makanan juga, ujarnya, sangat tinggi. Dia perlu memberi makan kepada seribu ekor buaya yang berusia dua tahun ke atas yang mana setiap seekor memerlukan sebanyak enam atau tujuh ekor ayam atau daging lembu beku setiap kali makan.

Lain pula kisahnya dengan anak-anak buaya yang berusia kurang dua tahun. Sekitar 400 ekor buaya kecil diberi lebih perhatian di sangkar khusus di kediaman Ng dengan kumpulan buaya paling muda berusia kira-kira tujuh bulan. Anak-anak buaya ini diberi makan udang tanpa kulit setiap hari.

Keluarga Ng tidak mempunyai banyak masalah memelihara 1,400 buaya mereka. Malah semasa banjir besar yang menjejaskan seluruh Johor hampir dua tahun lepas, kawasan ladang Ng sama sekali tidak terjejas ekoran dibina di lokasi yang amat strategik.

Jelas Cheng Chiew lagi, buaya-buayanya amat sihat dan bilangannya pasti meningkat setiap tahun. Seekor ibu buaya di ladang boleh bertelur sehingga 1,000 biji telur setahun. Tetapi bukan semua berjaya ditetaskan ekoran ancaman pemangsa seperti biawak dan ular.

Juga banyak daripada telur yang rosak sehingga menyebabkan kadar kemandirian telur yang berjaya ditetaskan hanya sekitar 20 hingga 40 biji sahaja.

Hubungi 07-8955220 untuk maklumat lanjut atau bagi menempah lawatan berpandu ke ladang yang beralamat No. 58, Jalan Belanak, Kampung Belanding Teluk Sengat.

Sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.