-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Friday, June 12, 2009

Perabot TIGA+CONCEPT

"Jika ada yang berasakan pelik memikirkan bagaimana bentuk gandingan berbeza batang pisang dan kayu, keunikan hasilnya boleh disaksikan di galeri syarikat Tiga+Concept yang terletak di pinggir ibu negara."

Gedung dan kedai menjual perabot di negara ini sememangnya berkembang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Sebut saja apa juga gaya dan konsep hiasan kediaman, pasti ada rekaan serta kemasan yang memenuhi selera dan tema penataan yang diingini.

Meskipun, senario ini menandakan perkembangan positif hiasan dalaman, tidak bermakna pengusaha dan pengeluar perabot boleh berpeluk tubuh sebaliknya persaingan itu memerlukan mereka tampil dengan produk yang menjanjikan kelainan dan pembaharuan.

Sudah pasti, elemen alam sering menambat hati ramai, terutama mereka yang mengutamakan konsep hiasan seperti tropika kontemporari atau bagi mereka bercita rasa moden, tetapi mahukan perabot kayu atau bahan lain dihasilkan alam.

Matlamat menjanjikan gaya perabot luar biasa menjadi teras syarikat milik Arca Grafik Sdn Bhd (AGSB) yang turut menggalakkan penerokaan rekaan dan material dalam pembuatan perabot.

Lebih unik lagi, syarikat itu mengutamakan padanan kontemporari apabila menggabungkan pembuatan perabot berasaskan alam dengan reka bentuk moden.

"Konsep ini turut dikenali sebagai suai padan kerana menggandingkan pelbagai kemasan berbeza untuk satu set lengkap perabot. Meja makan permukaan kayu misalnya digandingkan dengan kerusi buatan kayu jati.

"Sesetengah kelengkapan ruang makan menawarkan material kontras seperti meja kayu jati berkaki batu lava (batu dibentuk dari lahar gunung berapi) dipadankan dengan kerusi batang pisang," kata Pengurusnya, Khairul Idham Abd Rahman sambil menambah syarikat itu mengutamakan padanan kontemporari dengan penghasilan perabot.

Selain kayu dan batu lava, kemasan lain ditonjolkan termasuk tali jut, batang pisang, batu sungai, kayu hanyut, rotan dan bahan lain yang berciri kalis air.

Khairul Idham berkata kebanyakan bekalan jati serta tempahan perabotnya diperoleh dari Thailand, Indonesia dan Filipina. Katanya, kayu jati menarik dijadikan perabot kerana kontur uratnya halus dan terperinci.

Selain menawarkan produk siap, AGSB bersedia menerima tempahan khas pelanggan di mana pembeli dibenarkan mengusulkan sebarang reka bentuk dan kemasan yang diinginkan seperti bilah kayu dijadikan kaki meja, batu refleksologi menghiasi permukaan meja kopi, kayu hanyut dibentuk meja, kerusi istirahat daripada gabungan rotan dengan fabrik dan sebagainya.

INFO:
Tiga+Concept menyediakan khidmat nasihat dan rundingan kepada pelanggan mengenai pilihan reka bentuk serta kemasan perabot.

Selain tempahan persendirian, perabot Tiga+Concept turut memasuki pasaran komersial termasuk hotel, restoran dan sebagainya.

Hubungi Tiga+Concept:
laman web: http://www.tigaconcept.com/
telefon: 03-78455682

Sumber: Berita Harian Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.