-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Thursday, June 25, 2009

Ternak Landak Secara Komersil

"Bagi yang pernah merasai keenakan daging haiwan yang semakin diancam kepupusan itu, usaha penternakan komersial landak raya atau Hystrix Brachyura pastinya memberi khabar gembira kepada mereka."

Dagingnya lembut, tidak mengandungi lemak dan tidak berserat serta khasiatnya dikatakan mampu menyembuhkan penyakit kronik menyebabkan landak menjadi antara makanan pilihan.

Malah, keenakan daging landak sering menjadi bualan kelompok penggemar daging buruan sehingga ia dikatakan lebih lazat daripada daging kijang.

Bagaimanapun kesukaran mendapatkan bekalan daging landak disebabkan populasinya yang hampir pupus dan ditambah tergolong dalam spesies haiwan buruan yang dilindungi.

Berikutan itu, projek penternakan komersial landak raya secara usaha sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan orang awam sejak 2005 menggunakan teknologi moden dijangka dapat membantu meningkatkan bekalan daging landak.

Usaha dilakukan pihak terbabit mampu memberi impak besar pada bilangan populasi hidupan liar dalam kurungan melalui sistem pembiakan teratur dan aplikasi bioteknologi pembiakan terkini.

Penternak landak raya di Banting, Selangor yang mempelopori penternakan landak raya secara komersial bersama Perhilitan, Tukiran Dalimi, 45, berkata landak raya mempunyai pasaran dan nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Tukiran mendapat kebenaran Perhilitan untuk memburu serta membiak haiwan yang dilindungi sepenuhnya Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 1972 (Akta 76/72).

Menceritakan idea untuk menternak landak raya, Tukiran berkata, usaha itu bertitik tolak daripada kekecewaannya terhadap penternakan lembu dan kambing.

"Ketika itu saya membela lembu dan kambing tapi binatang itu memberi banyak masalah malah menjaganya juga sedikit leceh. Sudah diberi makan yang cukup pun masih masuk ke kawasan orang membuat kacau.

"Lama memikirkan apa boleh menggantikan lembu dan kambing, saya terfikir mengenai daging landak yang turut mendapat permintaan tinggi lalu idea itu saya usulkan pada Perhilitan," katanya yang kini mampu berbangga dengan tiga generasi landak yang diternaknya.

Ladang landak raya milik Tukiran di Kampung Labuhan Dagang, Banting, Selangor dipagar tinggi bagi mengelakkan diceroboh pihak luar. Manakala landak pula ditempatkan di dalam kandang berjeriji besi.

Kata Tukiran, melalui program usaha sama Pembiakan Komersial Landak Raya bersama Perhilitan, setiap penternak yang berminat perlu mendapatkan kebenaran Perhilitan.

Jabatan berkenaan akan bertanggungjawab memberi sokongan dari segi khidmat nasihat mengenai pemakanan, sifat dan kawasan kandang yang sesuai untuk landak peliharaan.

Tukiran berkata, penternakan landak mempunyai potensi untuk dikembangkan iaitu sebagai alternatif untuk daging lembu atau kambing. Tapi beliau lebih selesa menjadi pembiak dan pembekal baka landak raya untuk pengusaha yang berminat.

Tukiran mensasarkan untuk mewujudkan lima francais penternak landak raya sebelum memasarkan daging landak di pasaran dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Sumber: web JPH Perak

1 comment:

haizul said...

salam, sy ni mcm berminat ngan biz landak nih?
bleh ke wat lawatan dulu ke tmpt ternakan landak ni?

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.