-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Friday, August 7, 2009

Labu Sayong KRAF SAZILAH

"Asalnya sebiji labu tua yang dikeluarkan isinya, dibersihkan untuk dijadikan bekas mengisi air. Tradisi itu kekal sebelum konsep yang sama diterjemahkan melalui hasil buatan tangan manusia menggunakan tanah liat, direka bentuk sama dengan labu asal dan digelar labu sayong."

Produk tempatan dikenali labu sayong sempena nama Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak, itu pada asalnya tembikar berwarna hitam yang diangkat menjadi produk perusahaan kategori seramik.

Ada yang mengatakan warisan tradisi itu kian dilupakan dan cuma popular di sesetengah tempat. Namun itu cuma tanggapan.

Hakikatnya, labu sayong yang sudah lama bertapak semakin diminati kerana penampilannya lebih cantik dan menarik seiring dengan arus permodenan.

Keindahan bentuk labu sayong ini bermula dengan pemilihan tanah liat di tebing sungai yang dijemur sebelum dibentuk dengan tangan menggunakan sudip buluh dan digilap dengan sejenis batu dikenali batu luru bagi melicinkan permukaan sebelum diasap, dibersihkan dan terhasillah labu sayong tradisional berwarna hitam berkilat.

Itu tradisi lama, tetapi kini hasil arus perubahan zaman dan permodenan, penggunaan labu sayong lebih menjurus kepada hiasan rumah serta kegunaan lain dan bukannya sekadar bekas menyimpan air.

Sebab itulah, pengusaha labu sayong juga mengubah cita rasa mengeluarkan produk seramik yang mementingkan nilai moden, sentuhan warna dan corak yang lebih menyerlah bagi menarik minat pembeli tanpa mengenepikan terus nilai tradisi iaitu bentuk asalnya.

Kebanyakan bentuk labu sayong yang dihasilkan berdasarkan motif alam sekitar seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan calaran geometri yang digabungkan dengan sentuhan kreatif berasaskan nilai moden pilihan ramai.

Kini, bentuk dan kegunaan labu sayong juga mengalami anjakan baru apabila digunakan sebagai lampu tidur yang diubahsuai sedikit bentuk dan tapaknya bagi membolehkan labu dipasang wayar serta mentol lampu di dalamnya.

Memang menarik kerana ia bukan saja berfungsi sebagai perhiasan yang diletakkan di sudut bilik tidur tetapi juga mampu membantu menimbulkan suasana romantik waktu malam melalui cahaya malap mentol bervoltan rendah.

Corak, ukiran berasaskan tema tumbuhan setempat dipadankan dengan warna lembut seperti kuning air, warna asli tanah liat dan sesekali digabungkan dengan warna terang hijau daun bagi menyerlahkan hasil sentuhan pengukirnya.

Teknik pembuatan moden yang mengambil alih kaedah tradisional melalui teknik lemparan alin, teknik acuan dan teknik sepuh juga memastikan bekalan lampu tidur itu sentiasa mencukupi dan boleh dihasilkan dalam jumlah banyak pada satu-satu masa.

Saiznya juga membolehkan pembeli set lampu tidur dan hiasan mempunyai banyak pilihan mencari padanan yang sama.

Pengusaha labu sayong, Sazilah Mohd Yusof, 40, mengakui 'trend' permintaan pelanggan masa kini memerlukan perubahan baru dalam industri itu tetapi menegaskan ia satu perkembangan yang baik ke arah mengembangkan lagi sektor berkenaan.

"Dulu generasi tua yang gemar guna labu sayong, tetapi sekarang sebaliknya. Orang muda pun sukakan warisan tradisi ini tetapi mereka sukakan produk berwajah baru, jadi kita kena ubah ikut kehendak sekarang, lebih moden."

"Kami boleh hasilkan labu dalam jumlah yang banyak sebab kita gunakan teknologi moden dan proses pembakaran bakar guna mesin khas," katanya yang mengusahakan Kraf Sazilah bersama suaminya, Mohd Nasir Ismail, 40, di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

Pekerjanya yang juga pengukir corak labu khasnya lampu tidur, Mohd Aizan Idris, 29, berkata kebanyakan corak rekaannya bertemakan bunga dan tumbuhan. Ia diukir secara ekslusif, setiap satu lampu tidur itu mempunyai corak berlainan walaupun saiz dan warnanya sama.

Selain lampu tidur, labu sayong yang juga direka khas untuk dijadikan bekas telur sebagai cenderahati, antaranya majlis perkahwinan. Cuma, saiznya lebih kecil dan permukaan atasnya lebih hampir sama besar dengan tapak, berbeza dengan bentuk labu sayong asal.

Bekas ini dibentuk dan diukir dengan teliti menggunakan motif ukiran yang banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga seperti bunga tanjung, senduduk, lawang dan daun buluh.

Walau apapun perubahan bentuk dan penampilan lebih moden, bentuk asal labu sayong berwarna hitam asli tetap dikekalkan dan masih dijual, yang sering dipadankan dengan tali merah sebagai mengikat penutupnya, tanda kesinambungan warisan berzaman.

INFO:
Labu sayong asalnya tembikar berwarna hitam dan diberi nama sempena Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak

Kraf Sazilah boleh dihubungi di nombor telefon 05-7772471

Sumber: Berita Harian Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.