-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Saturday, August 29, 2009

Penulis Novel 1: Anis Ayuni

"Penulis yang mempunyai beberapa buah rumah kerana pelaburannya melalui hasil royalti itu memberitahu, penulis akan menerima bayaran royalti daripada penerbit setelah hasil karyanya diterbitkan."

Anis Ayuni, suatu nama yang cukup dikenali oleh peminat novel romantik.

Nama sebenarnya Latifah Mohd. Yusof, anak kelahiran Bentong, Pahang dan kini bertugas sebagai Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Saujana, Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Penulis yang menghasilkan lapan buah novel sejak 2002 dengan karya pertama, berkata, menjadi kaya semata-mata hasil menulis hanya wujud di Barat tetapi tidak di Malaysia.

"Ini kerana di Barat, jumlah cetakan sesebuah novel boleh mencapai hingga berjuta-juta naskhah kerana pasarannya meluas hingga ke seluruh dunia tetapi di Malaysia jumlah cetakannya hanya untuk pasaran di dalam negara, Brunei dan Singapura."

"Ini bermakna jumlah cetakan sesebuah novel tidak banyak. Jadi sukar untuk saya mengatakan seseorang penulis di Malaysia boleh menjadi kaya hasil daripada penulisan kecuali bagi penulis yang memiliki syarikat penerbitan sendiri dan mampu bersaing serta bertahan dalam dunia penerbitan yang penuh cabaran."

"Di negara ini, bagi penulis yang ingin menjadi 'senang sedikit' hanya dengan duit royalti harus tahu memanfaatkan ganjaran itu dengan membuat pelaburan yang menguntungkan dan bukan membelanjakan sesuka hati. Ini kerana royalti yang diterima tidak banyak dan ada pula dibayar berdikit-dikit."

"Pada saya, selalunya saya menggunakan royalti yang diterima dengan membuat pelaburan dalam hartanah, saham dan sebagainya. Hanya dengan cara inilah jumlah yang sedikit akan beransur-ansur menjadi banyak dan penulis akan menikmati kehidupan yang lebih selesa hasil daripada penulisan," katanya.

Bayaran royalti bergantung kepada jumlah cetakan buku dan kadar bayaran seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

"Mengimbau penglibatan awal saya dalam bidang penulisan, walaupun karya pertama saya iaitu Suara Hati sudah diterbitkan, saya tidak tahu bagaimana kiraan bayaran royalti dibuat dan jumlah bayaran yang akan saya terima."

"Hal ini kerana saya tidak mengenali penulis-penulis senior untuk mendapatkan maklumat daripada mereka. Saya juga tidak bertanya kepada editor kerana pada ketika itu bagi saya yang lebih penting ialah manuskrip saya diterbitkan. Saya ingin membuktikan kepada anak-anak murid saya bahawa saya juga boleh menulis novel."

"Alhamdulillah bayaran royalti pertama yang saya terima amat memuaskan. Ini sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Bagaimanapun dari awal pembabitan telah saya tetapkan hanya sebuah novel sahaja yang akan saya tulis dalam setahun tetapi kini saya menimbangkan cadangan pihak penerbit supaya menghasilkan dua buah novel setahun."

"Bagi saya menulis bukan semata-mata kerana bayaran royalti tetapi untuk memberi kepuasan diri sendiri dengan setiap novel yang dihasilkan."

"Penulis yang berkarya dan mengharap untuk mendapatkan royalti yang banyak tentu akan berasa kecewa jika pendapatan yang diterima tidak seperti yang diharapkan," jelasnya yang sememangnya kelihatan hidup mewah dengan hasil penulisan novel."

Beliau juga mengakui kemampuannya untuk melancong ke luar negara setiap tahun bersama keluarga melalui ganjaran royalti.

Sementelah pula mempunyai suami yang sememangnya pakar dalam menguruskan pelaburan hartanah telah memungkinkan Anis menceburi bidang tersebut.

"Pembelian beberapa hartanah inilah yang boleh mengingatkan saya penat lelah dan idea yang dicurahkan dalam menghasilkan sesebuah novel."

"Sehubungan itu, adalah tidak rugi malah bakal memberi keuntungan di kemudian hari kerana hartanah ini akan meningkat dari tahun ke tahun," jelasnya yang sering mengadakan penyelidikan mendalam melalui Internet sesuatu isu yang bakal mewarnai novel cintanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.