-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Thursday, August 6, 2009

Tanaman Hiasan SEGAR MERIMBUN

"Minat antara pendorong kejayaan selepas satu-satu usaha dilakukan. Kepada seorang suri rumah kerana minat pada tumbuhan hiasan jugalah dia dapat menjana pendapatan keluarganya."

Malah dengan terus memupuk minatnya itu, Ruzita Ahmad, 40, berjaya mengekalkan perniagaan tanaman hiasan yang dikenali sebagai Segar Merimbun sejak ditubuhkan pada tahun 2000 lalu.

Selain tanaman, Segar Merimbun yang terletak di Jerlun, Kedah itu turut menyediakan pelbagai barangan hiasan lain untuk menyerikan rumah.

Menurut Ruzita, sebelum memulakan perniagaan berkenaan dia hanya seorang suri rumah sepenuh masa yang meminati tumbuhan hiasan.

Jelasnya, dia juga tidak sangka minatnya itu menarik perhatian rakan-rakannya datang ke rumah dan membeli beberapa jenis tanaman hiasan itu yang ketika itu hanya untuk hiasan rumah sahaja.

"Sejak itu saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan menjual pokok hiasan."

"Bagi merealisasikan hasrat itu, saya mencari modal dan memikirkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Menurut Ruzita, modal permulaan yang diperoleh hasil bantuan keluarga sebanyak RM20,000 digunakan untuk membeli pokok-pokok dan keperluan lain.

Dengan lebihan modal itu juga, dia mendapatkan barangan hiasan untuk melengkapkan landskap taman pelanggannya.

"Saya tidak hanya menjual pokok yang biasa untuk orang ramai malah, terdapat juga tumbuhan unik seperti Pandan Bukit selain pelbagai jenis pokok renek dan bonsai.

"Saya juga menjual pasu bunga, tempat pancuran air, bangku batu yang selalu digunakan sebagai hiasan di taman-taman mini dan sebagainya," katanya.

Jelas Ruzita, selain menjual pokok dan barangan hiasan laman di kedainya, dia menawarkan khidmat runding untuk mereka yang memerlukan nasihat menghias laman.

Menurutnya, bagi memastikan tanaman yang dibeli kekal cantik dan tahan lama pembeli perlu mengambil berat mengenai pokok-pokok tersebut.

"Saya menganggap diri saya dan keluarga bertuah kerana mampu bertahan lama dalam bidang yang banyak dimonopoli oleh golongan bukan bumiputera."

"Saya bercadang untuk membuka sebuah lagi cawangan di Kuala Nerang kerana sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan," ujarnya.

Bagi pelanggan yang berada di luar Kedah mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai pokok hiasan Segar Merimbun menerusi laman web - http://merimbun.tripod.com/

Ruzita memberitahu, dia amat bersyukur kerana perniagaan yang dijalankan selama ini turut mendapat bantuan daripada suaminya, Hasnul Adib Abidin, 42 yang bertindak sebagai penasihat.

"Hasil daripada perniagaan ini, kami telah membuka sebuah Inap Desa yang diberi nama Merimbun Homestay sebagai langkah untuk memajukan lagi perniagaan kami," katanya yang boleh dihubungi di talian 012-5521 278.

Sumber: Kosmo! Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.