-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Friday, August 21, 2009

Tudung dan Telekung Siti Khadijah

"Menggunakan tag line anggun, selesa syariat dipelihara, bunga sulaman telekung yang diperbuat daripada 100 peratus kain kapas nampak lebih timbul, kemas dan menarik sesuai dengan harganya."

Kini, telekung bukan sekadar sehelai kain putih polos yang menjadi pakaian ketika mengerjakan sembahyang, tetapi telah mengalami transformasi yang begitu ketara dari segi rekaan, corak dan warna.

Hiasan seperti renda dan sulaman adalah wajib bagi menyerikan lagi kain telekung ditambah dengan rekaan setingkat atau dua tingkat.

Penggunaan fabrik turut diolah bersesuaian dengan keselesaan dan cuaca sesuatu negara. Biasanya kain kapas dan polister yang tidak jarang dan tidak licin menjadi pilihan.

Namun hampir kesemua kain telekung yang ada di pasaran harus dipakai bersama dengan anak telekung. Ia tidak dapat menyelesaikan masalah ketidakselesaan pemakainya, terutama di bahagian wajah dan selalu menyebabkan anak-anak rambut terkeluar.

Sehubungan itu, Pengarah Urusan Delight Visual Sdn. Bhd., Fadzilah Enda telah mendapat idea bagi menyelesaikan masalah itu dengan memperkenalkan kain telekung yang dijahit sekali dengan anak telekung.

Ditanya bagaimana timbulnya idea untuk mengorak langkah menghasilkan kain telekung sendiri, Fadzilah memberitahu, sebelum ini ramai rakyat negara ini begitu gemar membeli kain telekung buatan luar negara atau 'memborong' kain telekung apabila melancong ke luar negara khususnya apabila melawat Indonesia dan Vietnam.

Ini kerana, mereka berpendapat, kain telekung buatan luar negara lebih berkualiti dan mempunyai bentuk tenunan lebih menarik berbanding kain telekung buatan tempatan.

"Menyedari mengenai hakikat itu, saya mula mengorak langkah menghasilkan kain telekung sendiri bagi memenuhi pasaran tempatan pada harga berpatutan dan membuat sedikit perubahan bagi menyelesaikan masalah pada wajah," katanya.

Menggunakan kain mudah renggang dan menampilkan lapisan bawah dagu, jenama yang diberi Siti Khadijah pasti memberi fleksibiliti untuk pelbagai saiz wajah dan kelihatan kemas dipakai ketika menunaikan solat.

"Jika kita lihat, kain telekung yang sedia ada mempunyai dagu yang kecil, bergetah longgar dan perlu memakai anak tudung. Inilah yang sering menjadi masalah kepada pemakainya."

"Namun dua produk yang akan dilancarkan di pasaran pada Julai ini bakal memberi satu 'bonus' kepada pemakai. Kami menawarkan kain telekung dan mini telekung. Mini telekung dari fabrik polister mempunyai tali di dalam manakala kain telekung dari fabrik 100 peratus kapas, talinya di luar."

"Kedua-duanya amat sesuai bagi dipakai ketika mengerjakan umrah haji kerana praktikal, selesa dan mudah dipakai," katanya.

Menurut Fadzilah, selain kain telekung, Siti Khadijah juga memperkenalkan tudung pasang siap yang diperbuat daripada kain kapas dan polister.

"Terdapat dua jenis rekaan iaitu yang boleh ditarik ke tepi atau dipakai seperti biasa. Ia bersaiz panjang dan muncung ke hadapan sesuai bagi menutupi bahagian dada," katanya.

INFO:
Laman web: http://www.sitikhadijah.com

Telefon: 013-2102668

Sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.