-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Monday, September 28, 2009

Kain Kapas AZZARACOTTONS

"Pelanggan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan barangan yang telah dibeli. Dengan perkhidmatan pos laju, proses penghantaran cuma mengambil tempoh sehari untuk tiba di depan rumah anda."

Sebaik sahaja menekan tetikus untuk melayari blog milik seorang ibu muda, Farah Nini Mohd. Zahir, 28, ada sesuatu yang menjentik hati anda.

Blog itu memaparkan pelbagai jenis corak fabrik kapas berwarna-warni yang cukup mempesonakan.

Warna-warna garang pada fabrik dan coraknya, selain jenis kain yang dijual iaitu cotton voile dan japanese cotton pasti membuatkan anda terus teruja untuk melayari setiap paparan blog tersebut.

Dari segi rekaan hiasan blognya pula, Farah memilih rona yang tidak terlalu banyak. Cuma warna merah, hitam, putih dan merah jambu menjadi latarnya.

"Saya memang sukakan sesuatu yang ringkas tetapi menarik. Lagi pun, saya banyak mengiklankan kain yang ingin dijual. Jadi, kalau laman itu terlalu banyak warna ia akan kelihatan berserabut."

"Maka memadailah dengan paparan yang tersedia, ia ringkas dan mudah difahami," katanya.

Idea untuk memulakan blog sendiri tercetus apabila dia berhasrat untuk meneruskan perniagaan jahitan dan menjual kain milik ibunya. Pada masa yang sama, Farah turut memikirkan cara untuk mencari pendapatan yang bermula dari rumah.

Lantas, dia merasakan apa salahnya memikirkan alternatif lain untuk mengembangkan lagi perniagaan butik ibunya melalui saluran teknologi maklumat.

"Dahulu saya seorang jurutera di salah sebuah kilang di Kulim, Kedah. Selepas melahirkan anak kembar, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk membesarkan anak."

"Kalau saya terus bekerja di sana, ia akan menimbulkan banyak masalah kerana suami bekerja di Kuala Lumpur."

"Itulah antara sebab saya sanggup mengorbankan kerjaya dan mengambil keputusan untuk ada blog sendiri dengan menjual kain-kain kapas," cerita Farah yang merupakan anak jati Kuala Lumpur.

Lagipun, permintaan terhadap kain kapas semakin diminati kerana keselesaannya. Tambahan pula kain kapas itu dihiasi dengan corak-corak serta rekaan menarik, sekali gus menjadikannya antara pilihan di kalangan wanita berkerjaya.

Sesuai dengan cuaca yang panas, pakaian kain kapas selesa digayakan kerana mudah menyerap peluh dan tidak berbau. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sering melakukan tugasan di luar pejabat.

Menariknya, Farah bukan sahaja menjual kain. Dia turut menawarkan baju kurung siap dijahit yang boleh didapati dalam pelbagai saiz iaitu S, M, L dan XL pada harga RM190 sepasang.

Farah mengakui bahawa dia cukup gembira. Tambahan pula blog tersebut baru berusia tiga bulan. Rata-rata peminat kain kapas yang tinggal berdekatan lebih selesa bertandang terus ke butik yang terletak di Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

"Pada peringkat awal pengenalan blog ini, saya memang gembira kerana banyak menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) atau terus dihubungi oleh pelanggan."

"Apabila kita dapat maklum balas yang menyatakan barangan yang dijual itu cantik dan sebagainya, saya rasa lebih bersemangat untuk menyediakan kain-kain yang lebih cantik coraknya," ulasnya mesra.

Blog tersebut bukan sahaja menerima tempahan. Jika anda ingin membuat kejutan kepada kekasih, Farah turut menerima khidmat membalut untuk dijadikan hadiah istimewa.

Selain menjual kain, pelanggan yang ingin membuat tempahan baju kurung juga boleh berbuat demikian dengan bayaran hanya RM70.

"Kalau datang ke kedai, memang boleh terus ukur badan. Jika melalui blog, pelanggan boleh hantar ukuran badan kemudian kami akan jahit," ujarnya.

Menurut Farah, perniagaan itu memerlukannya membawa masuk 1,000 meter fabrik kapas setiap tiga bulan sekali. Material itu diimport daripada beberapa buah negara seperti Vietnam, India dan Dubai.

Perniagaannya itu juga menerapkan konsep kebebasan kepada pembeli. Mereka boleh membuat tempahan berdasarkan berapa meter yang diinginkan.

Lebih istimewa, pembeli berpeluang melangsaikan bayaran menerusi ansuran dua kali untuk fabrik berjumlah RM200 ke bawah.

Bayaran ansuran sebanyak tiga kali akan diberikan untuk fabrik berharga RM250 ke atas.

Laman blog: http://azzaracottons.blogspot.com

Sumber: Kosmo! Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.