-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Tuesday, September 8, 2009

Pembuat Bubu Kuala Gula

"Beliau mengakui pendapatan sampingan daripada membuat bubu itu membantu menambah pendapatannya kerana nasib nelayan sepenuh masa tidak menentu, banyak bergantung kepada musim dan cuaca."

Di sepanjang jeti kawasan perkampungan nelayan Kuala Gula, Taiping, Perak kelihatan deretan ratusan bubu kayu dipasang jaring. Susunannya kemas, sudah dibersihkan dan bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Kelihatan cukup ringkas dan agak ringan tetapi usaha membuat bubu tidak semudah disangkakan kerana ia memerlukan ketelitian serta kemahiran tertentu bagi memastikan perangkap ikan itu berfungsi sebaik saja ia mencecah lautan.

Seorang pembuat bubu, Samad Atan, 41, adalah antara puluhan nelayan di Kampung Tersusun Kuala Gula yang memiliki kemahiran itu.

Berpengalaman lebih 25 tahun sebagai nelayan dan pembuat bubu, Samad menjelaskan kerja itu cuma dilakukan ketika waktu lapang jika tidak turun ke laut menangkap ikan atau ketam kerana ia bergantung kepada musim.

Menariknya, bubu kecil berbentuk segi empat itu hanya dikhaskan untuk menangkap ikan benih atau anak ikan yang dijual kepada penternak sangkar terutama ikan kerapu dan jenahak yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Bagi Samad, walaupun kerja itu kelihatan mudah tetapi ia sebenarnya memerlukan ketepatan memotong saiz jaring, kemahiran menjahit jaring untuk dipasang pada rangka kayu serta skil membina perangkap di dalam bubu.

"Biasanya saya akan menggunakan jaring bersaiz satu inci, memang sesuai untuk dijadikan bubu. Jaring ini dibeli mengikut kilogram (kg) dengan harga RM17 sekilogram. Jaring sebanyak itu boleh dijadikan 10 bubu."

"Jaring yang siap dipotong mengikut saiz standard bubu akan dijahit dan dipasang pada rangka kayu serta diikat tali plastik. Setiap gulung tali berharga RM12 itu boleh digunakan untuk mengikat 30 bubu," katanya.

Sebaik saja proses memasang jaring pada rangka kayu selesai, setiap bubu akan dipasang batu bata yang dibelah dua di dalamnya. Bata itu digunakan sebagai pemberat bertujuan memastikan bubu itu tenggelam jika dicampakkan ke dalam laut.

Uniknya, penggunaan bubu jenis ini tidak menggunakan sebarang umpan dan nelayan cuma perlu meletakkannya ke dalam sungai atau laut. Anak ikan sebesar tiga inci hingga sebesar tangan tangan orang dewasa akan masuk dan terperangkap di dalamnya.

"Bubu itu boleh bertahan hingga dua tahun jika digunakan secara kerap. Tetapi dengan syarat ia mesti dijaga elok, jangan biarkan bubu terdedah kepada panas, mesti ditutup atau diletakkan di tempat berbumbung," katanya.

Samad yang juga nelayan pantai menjelaskan, kebiasaannya nelayan tempatan akan menggunakan bubu itu untuk menangkap ikan ketika musim 'air mati' iaitu tiada pergerakan arus. Ketika ini, ialah musim paling sesuai menahan bubu ikan.

Musim air mati biasanya berlaku dua kali sebulan dan dalam tempoh peralihan itu, nelayan lebih menumpukan kepada kerja menangkap ketam nipah di sepanjang muara dan pantai berhampiran hutan nipah.

"Bubu untuk laut dalam lebih besar dan memerlukan pemberat yang lebih besar kerana arusnya agak kuat. Bubu itu biasanya dipasang dan dibiarkan selama 24 jam sebelum diangkat pada keesokan harinya," katanya.

Setiap hari, Samad mampu menyiapkan 10 bubu benih ikan yang dijual itu dijual pada harga RM10 seunit dan kebanyakan pembelinya nelayan tempatan. Beliau sendiri turut menggunakan bubu itu untuk menangkap benih ikan.

Sumber: Berita Harian Online

No comments:

 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.