-----------------------------------------
Visit our weblog: www.SatuJutaIdea.com
-----------------------------------------

Friday, July 31, 2009

Anjung KL Guest House

"Bermalam di sini memang menjimatkan bagi pelancong yang ingin berada di Malaysia untuk tempoh yang lama. Walaupun tidak seperti tinggal di hotel mewah tetapi dengan adanya kemudahan asas, ia sudah memadai."

Itulah reaksi seorang pelancong dari Sweden, Jeremy Brown yang memilih untuk menginap di Anjung KL Guest House di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selama lima hari bersama rakan-rakannya.

Dilihat dari luar, rumah teres lama yang masih kekal cantik struktur binaannya itu sudah empat tahun mengendalikan perniagaan penginapan bajet.

Anjung KL Guest House yang sering menerima kunjungan pelancong asing tidak pernah sunyi menerima tetamu.

Boleh dikatakan setiap hujung minggu kesemua 13 bilik dipenuhi dengan pelancong.

Malahan pada hari biasa, pengusaha juga tidak menang tangan menerima tempahan bilik.

Memilih konsep kontemporari, tidak hairan mengapa Anjung KL Guest House sering mendapat sambutan daripada golongan backpacker dari luar negara dan tempatan.

Rumah lama tiga tingkat itu, digunakan sepenuhnya untuk dijadikan bilik penginapan yang selesa. Bagaimanapun, setiap bilik tidak disediakan tandas. Tetamu yang menginap di sini perlu berkongsi kemudahan tandas yang berada di tingkat dua dan bawah.

Meskipun ia perlu berkongsi, Anjung KL Guest House sentiasa memastikan kebersihannya terjaga rapi iaitu setiap kali tandas tersebut digunakan oleh tetamu, ia terus akan dibersihkan.

Selain itu, tetamu yang ingin menonton televisyen perlu turun ke tingkat bawah kerana setiap bilik tidak disediakan kemudahan itu. Ruang rehat yang menyediakan sofa empuk dan televisyen itu sudah cukup untuk anda berehat sejenak.

Ini kerana kebiasaannya, tetamu tidak memilih untuk berada di bilik masing-masing terlalu lama. Kebanyakan mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan bersiar-siar dan bilik hanya untuk melepaskan penat dan tidur sahaja.

"Memang kita tidak sediakan televisyen dan peti sejuk di dalam setiap bilik tetapi pendingin hawa tetap ada. Konsep yang kita terapkan ini tidak mendatangkan masalah kepada tetamu.

"Sekiranya mereka ingin menonton televisyen, menyimpan makanan di dalam peti sejuk dan menggunakan seterika,ia terdapat di tingkat bawah," jelas Pengurus Anjung KL Guest House, Ken Oh.

Dalam pada itu, bagi tetamu yang datang secara kumpulan, Anjung KL Guest House turut menyediakan sebuah bilik asrama yang memuatkan lapan orang penghuni. Bagaimanapun, kadar tempahan bilik asrama dikira berdasarkan bilangan penghuninya iaitu RM30 seorang untuk semalaman.

Walaupun persekitaran Anjung KL Guest House dikelilingi dengan kesibukan kereta yang lalu lalang dan premis perniagaan, anda tidak perlu risau berhubung keselamatan. Ini kerana terdapat enam kamera litar tertutup (CCTV) mengawasi setiap sudut Anjung KL Guest House.

Sementara itu, kemudahan bas pengantara dari penginapan ke Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga disediakan pada harga yang murah.

"Untuk memudahkan tetamu supaya mereka tidak bersusah payah mendapatkan kenderaan ke lapangan terbang, kami menyediakan bas dengan bayaran serendah RM20 seorang," ujar Ken.

Sumber: Kosmo! Online

Produk Penjagaan Mata PERMATA HIJRAH

"Alhamdulillah, walaupun baru dua tahun beroperasi produk kami diterima dalam kalangan masyarakat dan ia amat menggalakkan."

Jika tidak dijaga dengan baik, pelbagai masalah mata akan dihadapi termasuklah rabun, katarak, glaukoma dan sebagainya.

Menyedari pentingnya penjagaan mata, dua sahabat baik, Zulkifli Dollah, 30 dan Mohd. Ali Yatim, 29, mengambil keputusan menubuhkan syarikat yang diberi nama Permata Hijrah.

Beroperasi di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, Permata Hijrah merupakan sebuah syarikat pengeluar produk penjagaan mata iaitu penyegar mata sebagai produk utama dan penawar resdung.

Menurut Zulkifli merangkap Pengarah Urusan Permata Hijrah Enterprise, mereka menghasilkan produk tersebut berbekalkan pengalaman dan ilmu yang ada.

"Kita semua sedia maklum bahawa mata adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Tuhan. Oleh itu, amat penting bagi setiap individu mengekalkan kesihatan mata yang dimiliki.

"Sehubungan itu, Permata Hijrah menawarkan alternatif terapi alkaline melalui produk-produk yang kami hasilkan," ujar beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Zulkifli.

Antara produk tersebut ialah penyegar mata yang dihasilkan daripada sumber alam semula jadi dan kandungan bahan yang halal. Ini termasuklah formula air zam-zam, air suling bermutu tinggi, ekstrak mutiara serta ekstrak herba dan karangan laut.

Ia tidak memedihkan mata. Malah, produk ini menyejukkan dan menyegarkan mata.

"Paling penting, semua produk keluaran Permata Hijrah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ia dikilangkan oleh kilang yang bertaraf GMP (Good Manufacturing Practice)," jelas Ustaz Zulkifli.

Sehingga kini, Permata Hijrah berjaya menghasilkan 50 produk kesihatan lain seperti losyen badan, kapsul tongkat Ali, kapsul kacip Fatimah plus, minyak kelapa dara, teh misai kucing, teh mas cotek, teh herba mutiara, pemakanan kesihatan, kopi untuk lelaki, minyak rambut dan set lengkap resdung.

INFO:
Laman web: www.permatahijrah.com

Sumber: Kosmo! Online

Thursday, July 30, 2009

Kereta Mewah SHARED AUTOMOBILE

"Walaupun agak berat hati meninggalkan bidang perhotelan dan menyertai perniagaan yang dikuasai oleh kaum lelaki, namun memikirkan ia sebuah perniagaan keluarga Amija nekad mencuba."

Walaupun arwah bapanya telah membuka syarikat jualan kenderaan mewah Shared Auto Sdn. Bhd., sejak dua dekad lalu, Nor Amija Miskon, 41, tidak pernah terfikir untuk terjebak dalam bisnes yang sama.

Apatah lagi industri permotoran sangat sinonim dengan kaum lelaki.

Lantaran itu, sebaik tamat pengajian dalam bidang Pengurusan Hotel dan Katering di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1988, Amija memulakan kerjayanya sebagai seorang eksekutif jualan runcit di salah sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Selama empat tahun berkecimpung dalam bidang tersebut, beliau kemudian mendapat tawaran sebagai pengarah di salah sebuah agensi pelancongan pada seawal usia 26 tahun.

Bertugas dalam bidang yang dipelajarinya di universiti, Amija ternyata sangat gembira sehingga betah bertahan sehingga lebih 10 tahun.

Namun, pada tahun 2002 apabila Shared Auto memerlukan pekerja yang mahir dalam bidang jualan, Amija akhirnya memberanikan diri terjun dalam bisnes permotoran.

Siapa sangka daripada satu kebetulan, akhirnya bunga cinta dalam perniagaan jentera mewah itu mula berputik.

Cukup dua tahun menimba ilmu, pada tahun 2004 Amija kemudian membuka syarikat jualan kereta mewah sendiri dinamakan Shared Automobile Sdn. Bhd.

Beritahu Amija, keputusan menerajui syarikat milik sendiri itu membuatkan beliau terpaksa memegang tanggungjawab sendiri dan mencari pendekatan dalam hal melibatkan pengurusan dengan pihak bank serta pelanggan.

"Saya berusaha belajar mengenalpasti model kenderaan, produk dan cara pengendalian dengan orang yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Malah, dengan keputusan itu juga saya terpaksa berhadapan dengan risiko menjana keuntungan dan harus bijak mencari dana sendiri melalui pinjaman daripada pihak bank," katanya sambil memberitahu kerjaya itu mengajarnya erti berdikari.

Berkat kesungguhan Amija, Shared Automobile terus berkembang dan bertahan dalam industri automotif sehingga kini.

Shared Automobile mengetengahkan pelbagai model kereta import dari Eropah dan Jepun seperti Toyota, Nissan, Honda, Mercedes-Benz, BMW dan Porsche.

Mengakui berada dalam bisnes yang dikuasai oleh kaum lelaki menuntut cabaran besar, namun ia tidak pernah melemahkan semangatnya.

"Tidak dinafikan, saya pernah diperlekeh dan di pandang rendah oleh sesetengah lelaki termasuk perkara-perkara mudah berkaitan kereta," ceritanya.

Namun, wanita yang sentiasa positif dalam hidupnya ini mengakui, jika diperhatikan wanita tetap mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang itu.

"Wanita lebih mudah mendapatkan pelanggan kerana keupayaan berkomunikasi dengan lebih baik.

"Bahkan, ramai pelanggan yang melihat wanita lebih jujur apabila berurusan melibatkan jual beli kenderaan," katanya.

Selain memahami mengenai jentera mewah di pasaran, kongsi Amija, kelewatan menghantar kereta tepat pada masanya kepada pelanggan, kereta yang rosak selepas dijual dan perlu sensitif dengan trend kereta mewah semasa antara cabaran yang dituntut dalam bidang itu.

"Di sinilah peranan komunikasi yang baik yang dimiliki banyak penjual wanita penting untuk mengembalikan kepercayaan pelanggan," ungkapnya.

Amija yang juga salah seorang exco Persatuan Wanita Bumiputera dalam Peniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati) memberitahu kereta mewah yang paling laris dijual beliau kebiasaannya berharga RM200,000 ke atas.

Sumber: Kosmo! Online

Pembantu Rumah PTMaids

"Saya memulakan perkhidmatan ini empat tahun lalu selepas melihat potensinya di Petaling Jaya."

"Kita perlukan pembantu rumah untuk membantu majikan melakukan kerja-kerja seperti memasak, menyapu, menggosok pakaian, menyidai dan melipat kain dan lain-lain. Selain itu, ada juga keluarga yang memerlukan khidmat mereka bagi menjaga anak-anak kecil yang masih bersekolah."

"Namun, tindakan menyalahgunakan khidmat mereka seperti menyuruh mencuci kereta atau membersihkan haiwan peliharaan mengundang rasa tidak selesa kepada mereka," jelas Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan.

Berbeza dengan Hong Kong, Taiwan dan Singapura yang tidak menghadapi situasi kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), Raja Zulkepley menegaskan, hampir 1.5 juta PATI di Malaysia menimbulkan pelbagai masalah sosial dan ekonomi. Antaranya, mereka terus tinggal di negara ini selepas tamat tempoh yang dibenarkan.

"Jika badan-badan penguatkuasaan kita bersikap lebih tegas, sudah tentu masalah ini tidak berpanjangan. Di Singapura misalnya, jika seorang pembantu rumah melarikan diri dari majikan atau agensi, dia tidak akan diambil bekerja oleh pihak lain."

"Di Malaysia, lain pula ceritanya. Ramai yang mengambil pembantu rumah yang sudah tamat permit bekerja melalui agensi haram pada harga yang rendah," ujar Raja Zulkepley.

Beliau tidak menafikan, cadangan membawa masuk pembantu rumah dari Filipina juga mempunyai risikonya tersendiri. Antaranya ialah gaji yang jauh lebih tinggi, iaitu sekitar RM1,400 berbanding RM500 hingga RM600 untuk amah Indonesia.

"Buat masa ini kita mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pembantu rumah dari Filipina tetapi kebanyakannya dari Luzon yang beragama Kristian," kata Raja Zulkepley yang menambah pertimbangan sedang dilakukan bagi menerima pembantu rumah dari Mindanao, yang rata-ratanya beragama Islam.

Sebagai alternatif, kemasukan pembantu rumah dari China dipercayai dapat menampung keperluan antara 70 hingga 80 peratus masyarakat Cina di negara ini.

Begitupun, solusi yang mungkin terbaik dalam keadaan getir ini adalah menguatkuasakan pengenalan pembantu rumah separuh masa. Raja Zulkepley juga bersetuju dengan pendekatan ini yang masih kurang dipraktikkan secara meluas.

Tiga tahun lalu, beliau menyarankan projek mengimport pembantu rumah dalam kumpulan besar sebelum diagih-agihkan kepada agensi yang bertauliah. Dari situ, majikan yang berminat boleh mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah separuh masa sekali gus membuat bayaran pada kadar mingguan atau bulanan yang rendah mengikut tempoh masa yang digunakan.

Di bawah program ini, seseorang pembantu rumah tidak perlu tinggal bersama majikan termasuk majikan tidak perlu menanggung kos makanan, perubatan dan lain-lain.

Di PTMaids yang diasaskan oleh Justin Lock, 29, dan dibantu oleh rakannya Syed Akhbar, 33, mereka menanggung kos sampingan untuk 20 orang pembantu rumah separuh masa.

Bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, pembantu rumah ini bekerja sekurang-kurangnya di dua buah rumah pelanggan tetap setiap hari. Mereka juga bekerja di rumah pelanggan yang sama untuk memudahkan mereka membiasakan diri dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan.

Menurut Justin, pelanggannya terdiri daripada orang bujang, berkeluarga dan ekspatriat. Kos yang perlu dibayar untuk khidmat ini adalah minimum iaitu empat jam sebanyak RM55 dan lapan jam RM100. Ada yang bekerja seminggu sekali atau beberapa kali sebulan.

"Bancian menunjukkan terdapat 500,000 penduduk yang tinggal di kawasan ini dan sekiranya hanya satu peratus penduduk memerlukan perkhidmatan pembantu rumah, ia sudah memadai," jelas Justin.

Hari ini, lebih daripada 80 pelanggannya adalah dari Sierramas, Sungai Buloh, Bangsar, Hartamas dan Puchong. Dia juga berhasrat untuk melebarkan sayap ke Ampang, Klang dan Cheras.

Sama seperti konsep housekeeping di hotel, adakalanya Justin tidak bersemuka dengan pelanggan yang menyerahkan kunci rumah untuk dibersihkan pada hari-hari tertentu.

Bagaimanapun, aspek-aspek keselamatan dipraktikkan agar tidak berlaku kejadian buruk seperti kecurian.

"Setakat ini, pekerja kami tidak pernah mengadu masalah diperhambakan oleh majikan. Selain dilayan dengan baik, ada sesetengah daripada mereka menyediakan makan petang," jelas Akhbar yang bertindak sebagai penyelaras bersama.

Katanya, ada sesetengah pelanggan beliau lebih rela memperoleh perkhidmatan sebegini daripada mempunyai pembantu rumah yang tinggal serumah. Malah, ada yang mengadu bekas pembantu rumah mereka melarikan diri dengan membawa televisyen LCD milik majikan.

Sumber: Kosmo! Online

Wednesday, July 29, 2009

Idea Kreatif Cebisan Jean

"Kalau difikirkan apalah gunanya disimpan perca-perca fabrik jean sewaktu memotong seluar, tetapi bagi yang kreatif ia bukan sahaja menjadi aktiviti masa senggang yang bermanfaat malah mampu menjana kewangan."

Setiap minggu, Nor Liyana Muhd. Abu Kari, 24, akan keluar berbelanja sakan. Tidak seperti kebanyakan anak gadis sebayanya yang sukakan barangan fesyen terkini, sasaran Nor Liyana hanyalah di kedai jean dan kios baik pulih atau pembaikpulih seluar denim.

Di kedai-kedai inilah rutin mingguannya bermula - mengutip atau membeli berbeg-beg cebisan kain untuk dibawa pulang. Namun, hanya kain jenis jean yang dipilihnya.

Tiba di rumah pula, cebisan-cebisan kain tadi akan melalui 'proses saringan' sekali lagi. Mana yang sama dari segi warna dan saiz dikumpul bersama manakala selebihnya disimpan kerana mungkin ada kegunaannya nanti. Semuanya bagi memenuhi keperluan hobinya yang suka berkarya dengan fabrik jean.

"Aktiviti ini (mengumpul cebisan kain jean) bermula sejak saya di tahun akhir universiti. Masa itu, kebanyakan kain seluar jean terpakai saya minta daripada adik-beradik atau kawan-kawan," katanya yang lebih selesa dengan panggilan Liyana.

Daripada dibuang begitu sahaja, dengan kemahiran jahitan yang tidak seberapa, dia belajar mengitar semula kain itu menjadi bahan baru.

Dalam blog http://terompahsurau.blogspot.com yang dimulakan sejak Disember 2006, segala diari kehidupan serta hasil kraf tangannya sedia menjadi tatapan umum.

"Jadi, saya cuba cari identiti baru dengan menulis tentang hobi kraf tangan saya ini," jelasnya yang sudah menjual lebih 100 buah ciptaan menggunakan jean. Sebilangan besarnya adalah menerusi tempahan dalam talian.

Memiliki pelanggan termasuk dari luar negara seperti Britain, Australia dan Indonesia, Liyana juga mempamerkan rangkaian krafnya dalam laman Etsy.

"Kadangkala pelanggan ada pelbagai jenis permintaan. Ada yang minta buat beg galas, ada pula yang nak gabungan warna yang sama. Sayang sekali, saya pun pening macam mana nak buat sebab bukan pakar," tambahnya sambil ketawa besar.

Jika ada masa terluang, Liyana tidak teragak-agak untuk menyertai mana-mana bazar tempatan yang dianjurkan. Menurutnya, bazar seni seperti itu banyak membantu membangunkan potensi bakat-bakat seni tanah air.

Dia masih ingat di salah satu bazar, Pipiteer Gathering yang disertainya di Times Square pada Mei lalu, gerainya dikunjungi ramai.

Kebanyakannya bukan datang untuk membeli tetapi sekadar memastikan bahawa dia memang wujud. Mereka ini merupakan pengunjung setia blognya.

Insiden paling terkesan dalam hatinya adalah apabila produk yang dihasilkannya dibeli oleh seorang artis seni lukis terkemuka negara.

"Percaya tak, Yusof Gajah (pelukis terkenal) pun beli beg saya. Pada awalnya saya pun tak tahu. Tapi selepas diberitahu oleh anaknya, Jaja, saya berasa sangat gembira.

"Saya fikir dia membeli produk saya untuk beri semangat. Maklumlah, umum tahu beliau seorang yang tidak kedekut ilmu dan suka memberi dorongan kepada artis-artis baru seperti saya," ujarnya.

Buat masa ini, Liyana masih menjadikan aktiviti ini sebagai hobi biarpun ia sudah mulai menjana pendapatan. Selain bekas pensel dan beg tangan, dia juga menerima tempahan menjahit sarung kusyen.

Tempoh menyiapkan sesuatu produk dan harganya banyak bergantung kepada tahap kerumitan, saiz dan rekaannya. Semakin banyak teknik cantuman kain yang diperlukan bermakna lebih lama masanya untuk disiapkan.

Harga bekas pensel misalnya adalah sekitar RM20 manakala beg tangan pula RM30 ke atas.

Baginya, kain jean adalah sumber yang tidak akan ketinggalan zaman. Turut menerima bantuan ibunya, seorang tukang jahit langsir, Liyana berharap suatu hari nanti produk-produknya memiliki jenama sendiri.

Sumber: Kosmo! Online

Thursday, July 23, 2009

aL-ikhsaN Sport

"Pada usia 11 tahun lagi, Ali Hassan sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan menjual aiskrim yang dibuat ibunya. Hari ini, kesungguhannya dalam bidang perniagaan berbayar dengan sebuah empayar bernama aL-ikhsaN."

Memupuk minat bisnes sejak kecil dengan prinsip hidup yang kuat berpegang kepada ajaran Islam, hari ini sebanyak 59 buah butik aL-ikhsaN di seluruh negara wujud dan menjadi bukti sebuah empayar perniagaan hebat miliknya.

Beliau adalah Ali Hassan Mohd. Hassan, pemilik rangkaian al-ikhsaN yang berkembang maju dalam tempoh 14 tahun.

Rangkaian kedai aL-ikhsaN bukan asing lagi dalam kalangan anak muda hari ini yang menggemari produk sukan berjenama popular seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto dan Diadora pada harga yang murah.

Kejayaan mengembangkan kedai aL-ikhsaN sekali gus menghakis kritikan bahawa usahawan Melayu sering gagal dalam perniagaan serta menepis stereotaip bahawa orang Melayu sebagai malas dan layu.

Mercu tanda kejayaan empayar aL-ikhsaN di seluruh negara sebenarnya bermula dengan urusan jual beli baju sukan berasaskan modal kecil dengan kelompok pelanggan yang tidak besar.

"Masa menuntut di universiti dulu, saya akan beli satu dan jual satu. Ketika itu, jualan kecil dan modal juga kecil. Jualan dibuat kepada rakan-rakan satu universiti dan juga pensyarah saya," katanya.

Ketika ditanya mengenai biasiswa yang diterimanya, beliau berkata: "Memang saya ada terima biasiswa tetapi saya berikan semua kepada ibu kerana kami bukan orang senang."

Beliau yang merupakan pelajar cemerlang pernah ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ditolak kerana lebih cenderung untuk mengusahakan perniagaan.

Bercerita lanjut mengenai kebangkitan aL-ikhsaN, Ali Hassan memberitahu perniagaan pertamanya bermula di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru dengan modal perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri.

"Ketika itu, memang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana saiz perniagaan ini kecil. Itu bukan alasan untuk tidak berjaya. Saya kena rajin dan kuat berusaha dengan menjual baju sukan secara pantas.

"Dapat sahaja barang hari ini, jual secepat mungkin. Cari peluang yang ada di mana sahaja asalkan boleh dijual," katanya yang pernah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat swasta bagi memperoleh tempahan dan memasarkan barangannya.

Beliau mula mengusahakan perniagaan serius pada tahun 1994 apabila mendapati wujud trend permintaan terhadap barangan sukan yang amat menggalakkan.

"Mulanya, saya berniaga kerana mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak tetapi kemudian ia menjadi lebih serius kerana pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkan barangan sukan," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik.

Beliau menyatakan dalam menjayakan sesuatu perniagaan, beberapa elemen penting perlu ada, antaranya kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha.

"Walaupun kita gagal sekali atau sukar mendapatkan pinjaman bank, kita kena istiqamah dan terus buat sahaja. Jangan fikir apa-apa, usahakan apa yang ada.

"Ini penting untuk kita bina reputasi walaupun mengambil masa satu atau dua tahun. Bila orang melihat reputasi kita yang semakin baik, barulah mereka akan percaya.

"Apa sahaja kita kena sabar.... perbaiki apa kelemahan yang ada. Jangan malu bertanya kepada pelanggan apa yang mereka tidak puas hati. Biar mereka 'komplen'," katanya yang berpendapat ia merupakan antara langkah untuk memajukan perniagaan ke tahap yang lebih baik lagi.

"Saya masih ingat lagi luahan pelanggan kerana barangan yang dipamerkan di kedai pertama sedikit dan banyak kekurangan. Itu tidak ada...ini tidak ada. Jadi, saya berusaha mendapatkan barangan yang mereka mahukan kerana ingin memuaskan hati pelanggan.

"Ambil sahaja apa 'komplen' pelanggan dan jangan kita tafsirkan pendapat atau kritikan yang diberikan itu sebagai negatif. Itu tanda mereka sayang kepada kita dan mahu melihat perniagaan kita berkembang," katanya.

"Formula aL-ikhsaN dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu, jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu mereka yang susah.

Beliau menyerah semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza.

"Dari sini keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, iaitu siapa yang ikut perintah-Nya... kemenangan dan kejayaan akan diberikan di dunia dan akhirat. Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar," jelasnya.

Senjata aL-ikhsaN yang sentiasa berada selangkah di hadapan pesaing adalah harga produk sukan dijual amat berpatutan bagi semua lapisan masyarakat.

"Apa yang paling penting ialah aL-ikhsaN memberikan produk-produk berkualiti dan berjenama antarabangsa dengan harga yang cukup berpatutan. Ini memberikan kepuasan kepada pembeli, sekali pakai mereka akan kembali lagi.

"Kebanyakan produk yang ada di aL-ikhsaN tidak terdapat di kedai-kedai lain. Pilihan produk juga luas dan dijual pada harga berpatutan. Model kasut sukan dan peralatan lain yang dipakai oleh pemain bola antarabangsa terkenal juga terdapat di kedai ini.

"Malah, setiap barang yang dilancarkan di Eropah boleh didapati di sini pada hari yang sama," tambah beliau.

aL-ikhsaN Sport turut menyediakan kelengkapan sukan bertaraf antarabangsa yang mana produk yang ditawarkan adalah eksklusif dan berkait rapat dengan arena sukan dunia seperti Liga Bola Sepak England, Piala Eropah (Euro), Formula Satu (F1), Sukan Olimpik Beijing serta Piala Dunia 2010.

Sumber: Kosmo! Online

Monday, July 20, 2009

Perabot Buluh SAHABAT BAMBU

"Matlamat Shariman bukan sekadar memperkenalkan produk seperti kerusi, meja dan katil buluh bahkan berazam membina banglo yang diperbuat daripada tumbuhan itu."

Kini, penjualan perabot berasaskan buluh di negara beriklim khatulistiwa semakin mendapat sambutan yang amat memberangsangkan kerana ciri-ciri buluh yang disifatkan 'sejuk' serta rekaan estetika yang menarik.

Keunikan perabot buluh itu juga menarik minat Sahabat Bambu Sdn Bhd (SaBa), syarikat perintis perabot dan kemasan hasil hutan itu memperkenalkannya ke negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SaBa, Mior Shariman Moksin, berkata ilham memperkenalkan barangan rumah berasaskan tumbuhan spesies rumput itu timbul apabila selalu berulang-alik ke Indonesia.

"Selepas berhenti menguruskan resort, saya kerap berulang-alik ke Indonesia meneroka bidang pembuatan perabot di sana. Dalam sekian banyak perusahaan perabot, saya tertarik dengan penghasilan buluh sebagai kelengkapan, kemasan serta dinding rumah.

"Selesai tempoh kerjasama dua setengah tahun SaBa dengan Universiti Gajah Mada bagi tujuan penyelidikan termasuk rawatan dan ujian ketahanan kayu, syarikat ini dianugerahkan sijil yang mengiktiraf kredibiliti produk itu," katanya yang memperuntukkan enam bulan lagi bagi tujuan kajian pemasaran.

"Buluh dikatakan sejuk kerana sifat semula jadi kayunya yang mempunyai liang serta berbentuk tabung serta berongga. Ciri ini membolehkan udara dingin yang disimpan pada malam hari dibebaskan menjelang siang sekali gus mengubah suasana kediaman menjadi sejuk dan nyaman.

"Sebaliknya, pada malam hari, kediaman tidak akan terlalu sejuk kerana hawa panas yang disimpan sejak siang dibebaskan,” katanya yang mendakwa perabot serta kemasan buluh tidak harus dianggap tradisional kerana kini, disuntik aliran rekaan moden.

Bahkan, bagi menentukan keutuhan serta keaslian rekaan produknya, SaBa memastikan setiap buluh digunakan diawet terlebih dulu bagi menghindari masalah bubuk, kulat dan cendawan.

Tiga langkah pengawetan dikenal pasti termasuk merendam kayu itu selama sebulan dalam air biasa sebelum disambung dua minggu lagi di dalam lumpur lalu dijemur hingga kering.

"Itu cara tradisional, manakala kaedah moden pula menuntut penggunaan bahan kimia tertentu. Tempoh selama sebulan diperlukan sebelum buluh sesuai dibentuk sebagai perabot. Bahan kimia boraks menghasilkan perabot buluh berwarna gelap manakala borik menjadikannya berwarna putih," katanya Mior Shariman yang mendedahkan langkah ketiga membabitkan proses pemampatan serta pengeringan buluh selama dua minggu.

Kesesuaian buluh sebagai perabot terserlah menerusi aspek ketahanannya yang berciri tahan lasak berbanding kayu getah dan jati, lebih-lebih lagi jika usia perabot berkenaan melangkaui 50 tahun.

Bagaimanapun, kata Mior Shariman, tidak semua buluh boleh dijadikan perabot, sebaliknya ia perlu menjalani proses pemilihan dan saringan ketat.

"Buluh bermutu dijadikan perabot berusia dalam lingkungan empat hingga lima tahun. Empat tahun dikira matang dan layak ditebang. Jangan tunggu sehingga lima tahun untuk membentuk perabot kerana yang dihasilkan mudah pecah dan merekah.

"Bagi berusia bawah empat tahun, buluh boleh mengecut dan tidak sesuai dibuat perabot," katanya yang memberi jaminan tiga tahun bagi setiap pembelian perabotnya.

Biarpun matlamatnya menzahirkan perabot unggul kualiti, teknik pembikinan unik, khusus dan teliti dititikberatkan syarikat ini.

Antaranya, perabot yang dihasilkan itu perlu menepati syarat seperti mampu menampung berat tubuh manusia, mengetengahkan cara pembuatan menggunakan kombinasi paku, ikatan dan gam, selain meneroka proses mengubah bentuk bulat lazim buluh kepada rekaan kepada rekaan berbentuk segi tiga, segi empat dan segi enam.

Bagi perancangan jangka panjang, Mior Shariman berkata, SaBa menanam visi memperkembangkan empayar pasaran perabot buluh melangkau Eropah termasuk Perancis, meneroka dan menambah baik teknologi menghasilkan perabot buluh dan mencipta tanda pengenalan serta mengangkat martabat negara menerusi keunikan perabot ini.

"Kami juga berhasrat melakukan penanaman spesies buluh hitam dan berkualiti yang biasa ditemui di Myanmar untuk diusahakan di sini. Pada masa sama, syarikat juga berminat mengelolakan bengkel membuat perabot berkenaan bagi usahawan berpotensi selain membuka peluang serta khidmat nasihat pelaburan bagi peniaga yang berminat menceburi industri ini," katanya.

INFO:
Telefon: 014-2217550

Email: istanabambu@gmail.com

Sumber: Berita Harian Online

Saturday, July 18, 2009

Biskut Raya D FLOWERS CAKE

"Apa yang pasti, saya suka mengambil pendekatan ringkas agar peserta mudah faham, penggunaan barangan atau bahan mentah yang tidak terlalu mahal dan hiasan yang sedap mata memandang."

Kemunculan biskut pada musim perayaan sering membuat selera sesiapa pun terpana. Ini kerana biskut antara kudap-kudap yang jarang ditemui pada hari-hari biasa berbanding snek lain.

Dengan penampilannya yang istimewa, pelbagai corak dan bentuk, biskut moden menjadi pilihan untuk 'memeriahkan' meja makan pada musim perayaan.

Menyedari hakikat itu, satu bengkel bertemakan Jom Buat Biskut Raya anjuran D Flowers Cake telah diadakan pada 5 Julai ini bertempat di Hotel KL International, Kuala Lumpur.

Program yang diadakan pada hujung minggu itu dijalankan secara teori dan praktikal. Ia bertujuan mengajak mereka yang berminat untuk mempelajari cara-cara menghasilkan biskut-biskut moden bercita rasa enak.

Jelas pemiliknya, Zanifah Md. Nor, 41, program itu bukan sahaja sesuai untuk kaum ibu yang berhasrat menghasilkan sendiri biskut untuk ahli keluarga, malah ia boleh dijadikan pendapatan sampingan.

"Dengan kos yang agak rendah berbanding biskut yang ditempah, menghasilkan biskut sendiri pasti memberikan seribu kepuasan.

"Kepada yang kaki berniaga pula, inilah masanya untuk menambahkan pendapatan keluarga. Pendek kata, tidak sia-sia menjual biskut yang ada rupa dan rasa," tambahnya yang sering mengadakan bengkel pastri dan biskut.

Bengkel kali ke-21 anjuran D Flowers Cake ini menampilkan enam jenis biskut moden iaitu lorrita, lambada, santana, balada, kapakabilla dan senjakala.

D Flowers Cake juga turut menawarkan beberapa bengkel pastri seperti bengkel membuat dan menghias kek, kraf gula, roti dan talam yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.

INFO:
Telefon: 019-6647068/012-6759076

Laman web: http://dflowerscake.blogspot.com/

Sumber: Kosmo! Online

Thursday, July 16, 2009

Grafiti Seni Khat

"Mohammed percaya seni mampu menjadi ‘ejen’ perubahan. Baginya, penggiat seni harus berusaha dan menggunakan apa saja kemampuan untuk mewujudkan perubahan positif dalam persekitaran dan di dunia."

Biarpun tidak habis persepsi negatif dilemparkan terhadap seni grafiti yang mengaitkannya dengan unsur vandalisme, ada banyak aspek positif boleh ditemui dalam seni grafiti.

Misalnya, iniasitif artis grafiti dari Birmingham, United Kingdom (UK) ini, Mohammed Ali, 30, ini wajar dinilai.

Mohammed yang dikenali dengan nama Aerosolarabic, cukup popular sebagai artis grafiti yang menghasilkan karya berunsur Islamik.

Gabungan unik grafiti yang bersifat urban dan unsur spiritual mewujudkan hubungan antara individu berlainan komuniti serta budaya.

Ini sekali gus membuka perhatian mereka kepada isu sejagat.

Mohammed sering diundang mempamerkan kreativiti sambil berkongsi pandangan berhubung isu budaya dan agama di seluruh dunia.

Sentuhan grafiti dan mural lakarannya terpamer di kota besar seperti New York, Chicago, Toronto, Melbourne dan Dubai.

Baru-baru ini, Mohammed berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menjayakan program Knowledge & Arts Tour 2009 yang dianjurkan Young Muslims Project dengan kerjasama British Council; Asia E University; Yayasan Rasma dan Muslim Professionals Form.

Dalam program itu, Mohammed sempat melakukan demonstrasi karya grafitinya serta berkongsi pengalaman dengan peserta program yang sebahagian besarnya golongan muda.

Dalam temubual bersama Mohammed, beliau menceritakan bagaimana mula terjebak dengan dunia grafiti pada usia 10 tahun. Katanya, ketika itu, budaya hip hop cukup popular dan menjadi ikutan remaja termasuk dirinya.

Ini membawanya mencuba setiap cabang budaya hip hop dari tarian, emcee hinggalah seni grafiti itu sendiri.

"Namun, antara semua cabang hip hop ini, saya lebih serasi dengan seni grafitti," katanya membuka cerita.

Idea menggabungkan seni grafiti dengan kaligrafi Islam timbul selepas berlaku perubahan besar dalam dirinya. Mohammed mula berfikir lebih mendalam mengenai kehidupan lebih-lebih selepas ditimpa nahas jalan raya.

"Saya terfikir, ke mana saya akan pergi dan apa yang akan saya tinggalkan apabila tiada lagi di dunia ini. Biarpun dilahirkan Islam dan menerima didikan agama, saya tidak begitu meletakkan agama sebagai keutamaan berbanding perkara lain. Saya agak hedonistik (mementingkan keseronokan).

"Lalu, saya mula mencari semula identiti diri dan pencarian itu akhirnya membawa saya semula kepada Islam," kata Mohammed.

Keputusan kembali ke pangkal jalan dengan mendekati agama bagaimanapun tidak melenyapkan minat Mohammed kepada seni grafiti. Malah, beliau memperoleh ilham menggabungkan grafiti dengan seni tulisan bersifat Islamik, iaitu kaligrafi Arab.

"Mengapa perlu berhenti daripada seni grafiti selagi apa yang dilakukan tidak menyalahi agama? Sesetengah perkara mungkin perlu dihentikan, misalnya melukis grafiti di dinding tanpa kebenaran atau menyampaikan mesej berbaur negatif di sebalik grafiti.

"Saya melihat kedua-duanya iaitu grafiti dan kaligrafi sebagai suatu seni yang mengagumkan. Tulisan dan kata-kata yang digunakan dalam seni ini mempunyai kuasa tersendiri.

"Kaligrafi Islam membuatkan sesiapa saja kagum dengan nilai seninya walaupun mereka tidak faham dan tidak tahu membaca. grafiti pula sejak dulu menjadi ruang untuk meluahkan pendirian terhadap isu tertentu," katanya.

Seiring perubahan identiti seni yang lebih Islamik, Mohammed tidak sewenang-wenangnya melukis grafiti di tembok atau dinding. Semua itu dilakukan atas layar kanvas. Hanya sesekali, beliau melakar kreativiti di dinding apabila diundang menyertai program yang memerlukan beliau melakukan perkara itu.

"Ramai menganggap grafiti bukan suatu seni, namun ia tetap dilihat sebagai suatu bentuk seni golongan muda.

"Sebahagian besar golongan muda menikmati seni ini di jalanan, bukan di galeri seni. Beginilah cara mereka meluahkan bakat seni," katanya.

Mohammed berkata, kaligrafi Arab menjadi pilihannya kerana unik dan beliau amat menghargai keistimewaan seni Islamik ini.

Katanya, kita tidak perlu meniru seni grafiti ala Amerika Syarikat (AS) kerana umat Islam sendiri cukup istimewa dan unik.

"Bagi karya grafiti, saya memilih yang terbaik dari Barat dan warisan Islam. Kemudian, saya gabungkan kedua-duanya," katanya yang sebelum ini bekerja dalam bidang rekaan permainan komputer.

Menurut Mohammed, inspirasi subjek atau tema karya grafiti lazimnya diperoleh daripada pemerhatiannya terhadap persekitaran tempat berkarya.

"Contohnya, apabila tempat berkarya itu dihuni remaja bermasalah yang terbabit dengan masalah penyalahgunaan dadah, saya akan tampilkan kata-kata berbentuk nasihat ringkas tapi sarat mesej mendalam.

"Saya sentiasa mengambil masa memahami persekitaran yang dilawati. Ini membolehkan saya mendekati isu yang berlegar dalam kehidupan mereka sebelum berkarya," katanya.

Ditanya soal cabaran dalam mempamerkan karya grafiti Islamik, Mohammed mengakui cabaran wujud terutama ketika masyarakat dunia masih memiliki anggapan salah terhadap agama Islam.

"Menggabungkan grafiti dan kaligrafi adalah suatu cabaran. Ada komen menyatakan saya bukanlah artis grafiti sebenar. Kononnya, grafiti perlu ada elemen gaya liar serta pelbagai unsur lain yang dilihat persekitaran grafiti di New York.

"Namun, bagi saya, pengertian seni grafiti itu luas dan berkembang. Terpulang kepada artis memilih gaya karya mereka," katanya.

"Seperti sabda Rasulullah SAW, jika kita melihat sesuatu yang tidak betul cuba ubah dengan tangan (perbuatan). Andai tidak mampu mengubahnya dengan tangan, ubahnya menggunakan lidah (kata-kata). Jika masih tidak dapat mengubahnya, gunakanlah hati biarpun ia adalah cara paling lemah," akhiri beliau.

Sumber: Berita Harian Online

Kak Ton's DIY Tudung

"Hobi dan minat yang mendalam pastinya boleh dikembangkan untuk dijadikan sebagai penjana pendapatan."

Bergelar suri rumah atau memiliki kerjaya tetap tidak menjadi penghalang untuk wanita meraih pendapatan sampingan.

Bijak mengatur perancangan bersandarkan sedikit kemahiran seperti menjahit juga antara jaminan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, bagi sesetengah wanita, kemahiran yang ada tidak hanya dijadikan sumber rezeki tapi cukup sekadar untuk mengisi masa terluang dan dijadikan hobi.

Melihatkan kegilaan wanita ketika ini yang gemar menggayakan tudung ala Ekin menarik minat Shazliyaton Hashim untuk berkongsi kaedah menghasilkan tudung bersengkuap jahitan sendiri melalui laman blog.

Menurut Shazliyaton, menghasilkan tudung sengkuap tidak sesukar yang disangka kerana pelajar yang biasa menghadiri kelas dianjurkannya, mampu menyiapkan tudung bersengkuap di dalam tempoh kurang sejam.

"Paling penting, anda tahu bagaimana kaedah betul untuk menjahit selain mempunyai kelengkapan jahitan seperti mesin jahit dan material untuk menghasilkan sehelai tudung bersengkuap," katanya.

Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk menjahit sendiri tudung ini termasuklah pola sengkuap bersama badannya, kain jersey (badan tudung), jersey, broked, kapas, sutera Thai atau shantung (sengkuap), bakrum (kain gam), jarum peniti, kapur penanda, jarum jahitan dan benang.

Ilmu menjahit tudung ini boleh ditimba melalui kelas jahitan tudung secara perseorangan atau berkumpulan (minimum lima orang) bersama Shazliyaton yang dianjurkan mengikut permintaan.

INFO:
Blog: www.kaktonstudung.blogspot.com

Telefon: 012-3271935/017-3679442.

Di dalam blog Kak Ton turut ditawarkan kit tudung yang terdiri dari pola, nota jahitan dan kain jersey bagi individu yang mahu menggayakan tudung bersengkuap dijahit sendiri.

Sumber: Berita Harian Online , Blog Kak Ton

Monday, July 13, 2009

Aksesori Perhiasan Wanita

"Unik dan eksotik. Ia menggambarkan betapa tersendirinya garapan idea cetusan CK Rahim Collections Sdn Bhd dalam setiap barangan aksesorinya."

Antara cetusan ilham yang mendapat tempat khususnya di kalangan wanita adalah ukiran haiwan comel berhias indah.

Menurut Pengarah Urusannya, Aripah Yahaya, wanita sememangnya menggemari rekaan unik dan berlainan daripada kelaziman.

Justeru, memenuhi kehendak wanita yang gemarkan penampilan sedemikian mendorongnya mereka cipta sesuatu daripada rekaan biasa sehinggalah rekaan memukau.

"Sebagai wanita, saya sendiri suka mengkaji kehendak kebanyakan golongan hawa untuk dilihat cantik dan menarik apabila setiap kali memakai kerongsang atau apa saja aksesori pelengkap."

"Ada yang bercita rasa biasa dan tidak kurang juga yang sukakan sesuatu yang bercirikan kelainan."

"Berdasarkan kajian itu, ia membuatkan saya terfikir lakaran yang bukan saja terkini, tetapi penuh dengan tarikan," katanya yang membekalkan aksesori wanita dari Korea, China dan Taiwan menerusi operasi perniagaan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Memiliki sembilan cawangan terutama di sekitar Lembah Klang, perniagaan secara borong mahupun runcit ini mengetengahkan pelbagai aksesori terpilih kepada mereka yang ingin dilihat penuh keanggunan.

Menyempurnakan gaya wanita yang anggun itu, dia bersama suami, Abd Rahim Ismail menyajikan sesuatu yang sofistikated buat wanita yang mementingkan kesempurnaan dalam gaya mereka.

"Kebanyakan aksesori ditawarkan pada harga patut yang menyebabkannya senang dijual," katanya.

Daripada harga semurah RM3 sehingga mencecah ribuan ringgit, dia mengakui wanita tetap mementingkan penampilan biarpun dalam kegawatan ekonomi.

Namun bagi yang kurang berkemampuan, tentunya mengambil kira pelbagai aspek.

"Untuk memenuhi cita rasa semua golongan terutama yang kurang mampu dari segi ekonomi, saya menghasilkan ciptaan berdasarkan aksesori eksklusif, tetapi diberi sentuhan ringkas yang mampu dimiliki," katanya.

Untuk yang berminat, e-mel kepada aripahyahya@yahoo.com

Sumber: myMetro

Xanax Family e-Karaoke dan Bistro

"Melalui pelaburan sebanyak RM1.2 juta, ia merupakan satu-satunya pusat hiburan karaoke di Pantai Timur yang menyedia hiburan halal, bersih dan selamat untuk berhibur bersama keluarga."

Xanax Family e-Karaoke dan Bistro (Xanax) yang beroperasi di tingkat dua Kompleks Teruntum, Kuantan, mendapat sambutan hangat daripada pelanggan lain.

Konsep pusat hiburan keluarga ala Islam diperkenalkan oleh pemiliknya, Mohd. Khairul Hisham Omar, 37.

Idea ini tercetus apabila tinjauannya ke semua pusat hiburan di bandar ini mendapati kebanyakan karaoke dan bistro dipenuhi kaki minum minuman keras, kotor dan tidak selamat dengan persekitaran suram yang menggalakkan perlakuan maksiat serta dikelilingi wanita GRO.

Menurutnya, berbeza dengan pusat karaoke lain, Xanax yang juga pusat karaoke terbesar di Pantai Timur, tidak menyediakan minuman beralkohol atau pelayan pelanggan GRO bagi menarik kehadiran pengunjung.

Sumber: Kosmo! Online

Thursday, July 9, 2009

Besi Tempawan EBIZA

"Percaya kepada keunikan dan daya tarikan besi tempawan membuatkan Ebiza Sdn Bhd (Ebiza) kian dikenali ramai khususnya peminat serta pemilik kediaman."

Kepesatan industri hiasan dalaman rumah kini turut memberi impak positif kepada Ebiza yang semakin giat menghasilkan pelbagai rekaan besi tempawan termasuk aksesori hiasan, set meja makan laman dan cenderahati unik.

Pengarah Urusannya, Embon Abdullah, berkata kebanyakan rekaan dikhususkan kepada aksesori hiasan yang menjadi pelengkap majlis perkahwinan.

"Penghasilan aksesori hiasan pelengkap perkahwinan menjadi fokus utama bagi memberikan kelainan dan gaya eksklusif pada majlis berkenaan selain memahat kenangan terindah kepada setiap pasangan pengantin," katanya.

Dekoratif sangkar burung adalah antara gubahan hantaran yang mampu mencipta suasana yang segar pada majlis berkenaan.

Dalam memberi sentuhan berbeza pada majlis perkahwinan, besi tempawan keluaran Ebiza turut mewarnai ruang pelamin dengan rekaan unik memukau pandangan.

Ia mencetuskan idea terbaik kepada individu atau syarikat yang terbabit merancang majlis perkahwinan.

Bagi mengilhamkan kesempurnaan, aspek penataan cahaya turut diberi tumpuan dengan penghasilan lampu hiasan sudut pelamin dekoratif yang menyerikan ruang dan wajah pengantin.

Cenderahati istimewa berasaskan besi tempawan Ebiza turut menjadi pelengkap majlis khusus sebagai tanda penghargaan kepada tetamu.

Dihasilkan dalam pelbagai rekaan bermotifkan bunga-bungaan terpilih, cenderahati itu tentunya menjadi koleksi paling berharga.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dekoratif besi tempawan yang dihasilkan dalam warna putih mendapat permintaan tinggi berbanding warna keemasan dan perak.

Warna putih mempunyai daya tarikan tersendiri sementara warna keemasan dan perak tetap menyuntik suasana mewah, bergaya dan klasik," katanya.

Tidak ketinggalan aksesori hiasan kediaman Ebiza turut menjadi kegilaan peminatnya kerana dihasilkan dalam reka bentuk berbeza mengikut permintaan.

Dekoratif besi tempawan pada dinding umpamanya yang digarap bermotifkan bunga-bungaan lengkap dengan simbahan cahaya lampu pastinya menjadi titik fokal terbaik pada ruang.

Aksesori hiasan lain seperti bingkai gambar dan bekas lilin berdekoratif menginspirasikan penataan ruang berbeza.

"Sementara kerja memproses besi pula membabitkan kaedah mengasah, mengimpal atau memateri sebelum dibentuk menjadi sesuatu yang kreatif atau perkakas lain.

"Ini kerana besi adalah bahan logam yang mudah dibentuk kerana strukturnya yang kukuh dan tidak berongga," katanya.Berminat dengan ukiran besi, kunjungi

INFO:
Ruang pameran Ebiza di 12A, Tingkat Bawah, Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor

Laman web: http://www.ebiza.com.my/

E-mel syarikat: ebizasb@streamyx.com

Sumber: myMetro

Hiasan Tudung Saji AZFA SU BOUTIQUE

"Andai bersungguh, saya jamin lima belas minit sudah cukup untuk menyudahkan sebuah kerja kraf."

Tudung saji sering dianggap tidak menyajikan sebarang keistimewaan kecuali berperanan melindungi makanan daripada terdedah dan mengelak ancaman serangga pembawa penyakit seperti lalat.

Namun, ada satu lagi peranan tudung saji baik yang berbentuk bujur, bulat atau segi empat iaitu ia boleh dijadikan sebahagian perhiasan rumah andai disuntik aksesori menarik seperti kain renda, bunga, riben, tali jut dan sebagainya.

Pengusaha Azfa Su Boutique, Rohayah Mohamad, berkata apa yang menarik, usaha menghias tudung saji ini memerlukan modal kecil serta kreativiti.

"Menghias tudung saji tidak perlu modal besar tetapi wajib disediakan kain renda, riben dan bunga tiruan. Ini kelengkapan yang menaikkan seri tudung polos. Cara membuatnya mudah dan tidak mengambil banyak masa."

Selaku pengajar kraf di butik fesyen dan aksesori itu, Kak Su sedia menurunkan ilmu mengubah tudung saji biasa kepada rupa baru yang lebih memukau pandang.

"Sungguhpun, pelbagai warna boleh dicuba namun supaya tampil menarik, harmoni dan sekata, pilihan kain jaring, renda dan riben harus sedondon warna," ujarnya.

INFO:
Azfa Su Boutique turut menawarkan pelbagai kursus termasuklah kursus gubahan dan hantaran, ukiran buah, jahitan, sulaman, masakan dan membuat kek.

Telefon: 016-2511554

Laman web: www.freewebs.com/azfasuboutique

Lokasi: No.310G, Kompleks Diamond, Bangi Business Park, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
(Belakang Supermarket BINTANG, Lorong Tabung Haji, bersebelahan kedai basikal)

Sumber: Berita Harian Online , web Azfa Su Boutique

Wednesday, July 8, 2009

Pasar Tani Mega Putrajaya

"Pasar Tani Mega Putrajaya dikunjungi oleh kakitangan awam yang membeli barangan dan makanan pada harga yang berpatutan."

Sewaktu golongan lelaki beragama Islam berpusu-pusu ke masjid berdekatan untuk mengerjakan solat Jumaat, lain pula halnya dengan golongan Hawa yang tinggal dan bekerja di sekitar kawasan Persint 2, Putrajaya.

Suasana para peniaga wanita dan bukan Muslim yang mula sibuk memasang meja dan bersiap sedia menerima pelanggan menyebabkan Pasar Tani Mega Putrajaya sangat unik dan berbeza.

Berbanding pasar tani lain, pengunjung pasar yang terletak di tapak letak kereta di hadapan Bangunan Pinjaman Perumahan, Putrajaya itu terdiri daripada mereka yang mengenakan pakaian formal pejabat.

Bagi kaum wanita yang mempunyai masa rehat lebih panjang pada hari Jumaat, semestinya mereka tidak ketinggalan mengatur langkah ke pasar tani itu untuk mencari barangan rumah yang murah.

Urban yang sempat meninjau suasana di pasar tani itu baru-baru ini, mendapati suasana kemeriahan Pasar Tani Mega tersebut mencapai waktu puncaknya di antara pukul 12.30 hingga 2 petang.

Biarpun cuaca panas terik, ia sedikit pun tidak menghalang pengunjung untuk berjalan bagi meninjau barangan jualan di seluruh kawasan Pasar Tani yang luas itu.

Kemeriahan pasar tani pada waktu tengah hari solat Jumaat itu juga diakui sendiri oleh Setiausaha Pasar Tani Mega Putrajaya, Siti Zaleha Osman.

Katanya, pengunjung yang paling ramai singgah pada waktu tengah hari adalah di kalangan kakitangan awam, selain pengunjung luar yang datang pada sebelah petang sehingga malam.

"Jangan terkejut kalau datang ke sini, anda dapat melihat kebanyakan para pengunjungnya berpakaian kemas dan berkemeja serta memakai tanda nama.

"Ini kerana, mereka semua adalah kakitangan awam yang tidak mahu ketinggalan merasai kemeriahan pasar tani yang mempunyai pelbagai barangan keperluan sama ada barangan basah atau kering," katanya.

Menurut Siti Zaleha lagi, pasar itu mempunyai kira-kira 400 peniaga yang menjual pelbagai barangan kering dan basah.

"Wanita yang bekerja, mungkin tidak cukup masa untuk ke pasar atau pasar raya. Tetapi apabila ada pasar tani seperti ini, mereka dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu pergi jauh dari pejabat atau rumah untuk membeli barangan keperluan.

"Lebih penting lagi mereka boleh menjimatkan bajet barangan rumah kerana harga barangan yang lebih murah di sini," ujarnya.

Zaleha menambah, selain barangan keperluan harian, pengunjung juga boleh meninjau apa yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang mengadakan promosi di gerai-gerai tertentu.

"Kadangkala, ada tawaran istimewa untuk pembelian kenderaan tempatan, pinjaman perumahan atau promosi hartanah," katanya.

Sementara itu seorang kakitangan awam, Nurhidayah Ibarahim, 33, memberitahu ramai kaum ibu yang singgah di pasar tani itu kerana mudah, murah dan menjimatkan masa.

"Daripada menghabiskan masa berbual atau keluar makan di tempat yang jauh kerana waktu rehat yang panjang, lebih baik singgah di sini sejam dua," katanya.

Antara barangan dan keperluan yang boleh didapati di Pasar Tani Mega Putrajaya termasuklah, pelbagai jenis makanan, minuman, barangan am dan pakaian.

Untuk kanak-kanak pula, permainan dan makanan ringan yang banyak ditawarkan di sini menjadi produk yang paling digemari.

Sumber: Kosmo! Online

Shah's Village Hotel

"Hotel ini mungkin nampak biasa saja jika dilihat dari luar, namun sebaik sahaja melangkah masuk ke dalamnya, nostalgia lama pasti menjengah memori."

Shariff Shah mengakui banyak cabarannya untuk memastikan Shah’s Village terus beroperasi biarpun selepas 43 tahun.

Hotel yang dikendalikan keluarga ini terus bernyawa di sebalik kemunculan hotel-hotel mewah di sekelilingnya.

Terletak di Lorong Sultan, Petaling Jaya, himpitan pembangunan dan kemunculan hotel-hotel moden tidak menjejaskan langsung Shah's Village.

Shah's Village dibina pada tahun 1966. Ia merupakan hotel pertama di Petaling Jaya. Melihat pencapaiannya pada hari ini ternyata percaturan pemiliknya, Datuk H. M. Shah tidak silap.

"Faktor kos dan Lebuh Raya Persekutuan menjadi asas kepada pembinaan hotel keluarga ini," ujar anak sulung pasangan H. M. Shah dan Datin Serina Shah, Shariff Shah, 34.

Beliau yang juga pengarah jualan dan pemasaran hotel itu mengakui, untuk mengekalkan operasi sebuah hotel selama 43 tahun banyak cabarannya.

"Semuanya dapat dilihat menerusi dekorasi, landskap serta bangunan ini sendiri. Setiap ruang di sini ada kisahnya," cerita beliau.

Di ruang lobi, tiga unsur dekorasi iaitu Baba Nyonya, Melayu dan kontemporari mudah menggamit perhatian.

Pandangan mata pasti terpaku pada katil antik Baba Nyonya yang telah menjangkau usia 1,000 tahun yang diletakkan di sudut tangga.

"Katil ini diperoleh menerusi kawan baik ayah di Melaka pada awal 1990-an," jelas Shariff sambil menunjukkan beberapa ukiran di balik tiang katil tersebut.

Di ruang menunggu pula, sebuah sofa lembut membangkitkan suasana relaks dengan sulaman potret hitam putih berbingkai cantik.

Patung berbentuk kuda yang diletakkan di tengah-tengah ruang turut berjaya mencetuskan persekitaran mewah.

Di tingkat seterusnya, terdapat 91 bilik yang sedia menanti pengunjung. Ini termasuk lima suite yang dinamakan sempena ahli keluarga Shariff.

Menjenguk sekeliling hotel ini, landskap berunsur kekampungan seperti sengaja dipilih kerana pemiliknya ingin menerapkan nilai tradisi dan budaya Malaysia.

"Kami juga mahu pelanggan berasa seperti berada di rumah sendiri," ungkap Shariff.

Tiga ruang menjamu selera dapat dipilih sama ada di bahagian yang berhadapan dengan kolam renang, di dalam kafe atau ruang yang menghadap jalan utama.

"Bagi mereka yang menggemari elemen klasik seperti kayu dan rotan dalam suasana taman, bahagian yang berhadapan kolam renang yang menempatkan sebuah gazebo amat sesuai," ujar graduan Universiti Towson, Amerika Syarikat ini.

Lebih menarik, kebanyakan landskap hotel ini dizahirkan tanpa menggunakan khidmat pereka landskap mahupun perunding hiasan dalaman.

"Lebih puas rasanya dapat menyalurkan kreativiti sendiri. Malah hanya kami yang memahami 'perkahwinan' budaya hiasan di dalam hotel ini," kata Shariff ketawa.

Legenda Bistro pula menyerlahkan keunikan Shah's Village kerana di situ terdapat mural Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan biduanita Saloma. Kedua-dua tokoh seni itu pernah menginap di Shah's Village.

"Peninju legenda, Mohammad Ali juga pernah singgah di sini. Begitu juga ramai kerabat diraja termasuk Sultan Selangor terdahulu dan Sultan Kelantan sekarang.

"Mereka datang bukan semata-mata kerana bersahabat dengan ayah tetapi juga disebabkan suasana tenang di sini," ucap Shariff yang mengaku bukan mudah untuk meneruskan kelangsungan bisnes keluarga itu.

Sumber: Kosmo! Online

Jurugambar Profesional

"Cita-citanya ingin menjadi jurufoto hampir terkubur kerana kemiskinan, namun apabila kesungguhan, kreativiti dan bakat bersatu Alvin kini antara jurufoto yang disegani di Malaysia."

Sering mencipta imej transformasi yang hebat melalui lensa kameranya, tidak hairanlah Alvin Loh, 38, suatu ketika dulu acap kali merakam imej-imej eksklusif supermodel Malaysia Amber Chia.

Selain Amber Chia, ramai lagi figura seni tempatan antaranya Carmen Soo, Ning Baizura, Siti Nurhaliza dan Carie Lee menggemari jurufoto profesional itu.

"Berasal daripada keluarga tukang emas, ia tidak membuka ruang kepada saya untuk menceburi bidang fotografi.

"Agak mendukacitakan apabila situasi keluarga yang serba kekurangan, menyebabkan saya tidak mampu membeli sebuah kamera berkos murah ketika remaja," kata Alvin.

Katanya, sejurus selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jiwanya semakin berminat dengan fotografi namun terpaksa dilupakan seketika.

Demi tuntutan ibu bapa, dia kehendaki mengikut jejak langkah keluarga untuk menukul dan membikin barang kemas bersama salah seorang saudaranya di Pulau Pinang.

"Namun, hasrat yang terpendam akhirnya menjadi realiti apabila saya berhijrah ke ibu kota sekitar tahun 1995 untuk mengejar impian menjadi seorang jurufoto profesional.

"Sambil berkhidmat di sebuah kelab berasaskan sukan, saya mengambil kursus fotografi di Akademi Photo Art selama setahun," ujarnya sambil memberitahu selepas tamat kursus tersebut dia mendapat peluang bekerja di Vogue Image Photo Studio iaitu sebuah syarikat berasal dari Singapura yang julung kali memperkenalkan konsep imej foto di Malaysia.

"Ketelitian, kejelasan dan kekemasan antara elemen penting yang perlu ada pada seseorang jurufoto," kata jurufoto yang memiliki pengalaman selama 13 tahun dalam bidang fotografi.

"Saya tidak gemar mengambil gambar produk ataupun alam semula jadi kerana produk tidak mempunyai pergerakan manakala alam semula jadi menuntut kesabaran tinggi sehingga anda mungkin terpaksa menunggu sehari suntuk untuk merakam hanya sekeping gambar.

"Ini tidak makna, saya tidak versatil. Saya lebih selesa dengan sesuatu yang melibatkan orang dan majlis," tambah Alvin yang pernah menjadi jurufoto rasmi untuk pertandingan ratu cantik Miss Astro Chinese International, Miss Malaysia Chinese Comos, Astro Talent Quest, Amber Chia Supermodel's Secrets of Success Book dan Portrait of Hope Book.

Sumber: Kosmo! Online

Tuesday, July 7, 2009

Homestay Sungai Sireh

"Dulunya, inap desa (homestay) mungkin dikaitkan dengan kehadiran tetamu dari luar negara. Bagaimanapun, kini ia turut mendapat permintaan tinggi daripada peserta tempatan untuk mengadakan aktiviti perkhemahan dan sebagainya."

Menerima kedatangan pelancong bagaikan ahli keluarga sendiri, Homestay Sungai Sireh di Tanjung Karang, Selangor semakin meniti di bibir penggemar aktiviti pelancongan inap desa (homestay).

Sejurus tiba di kampung itu, penduduknya dengan berbesar hati menerima pelancong sebagai anak angkat untuk tempoh beberapa hari.

Hidup seperti orang kampung, anak-anak angkat ini akan makan makanan tradisional seperti masak lemak dan ikan bakar atau belajar membuat pelbagai kuih muih.

"Boleh dikatakan, setiap minggu kami menerima kunjungan tetamu sama ada dari luar negara atau tempatan.

"Kebiasaannya, kami kerap menerima kunjungan pelajar dari Korea, Jepun dan yang terbaru dari Beijing, China. Tidak lupa juga, kampung kami dijadikan sebagai lokasi penggambaran," kata Pengurus Homestay Sungai Sireh, Abu Bakar Moin.

Homestay Sungai Sireh mula diperkenalkan pada 5 April 1995 dengan dahulunya hanya menerima 15 buah kediaman untuk dijadikan tempat tinggal pelancong.

Bagaimanapun, ia telah mendapat sambutan hebat daripada keluarga di kampung tersebut kerana sehingga kini terdapat 60 buah rumah yang terlibat.

Ia meliputi tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Sireh, Kampung Ampangan dan Kampung Parit 2 Sungai Burung.

Bercerita mengenai aktiviti yang diadakan untuk mempamerkan keunikan kaum Melayu, Abu Bakar menjelaskan, kebanyakan pelancong tidak sabar untuk melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas.

"Kita akan memberi pendedahan mengenai kaedah menanam padi. Paling membuatkan mereka seronok apabila diberi peluang mencuba sendiri bagaimana menanam pokok padi.

"Ketika itu, rata-rata daripada mereka tidak kira pelajar tempatan mahu pun luar negara akan bersorak keriangan kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini," jelasnya.

Selain itu, mereka turut dibawa melihat produk pelancongan penduduk kampung seperti melawat kebun sayur-sayuran secara komersial di sekitar kampung dan pemprosesan industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian.

Dalam pada itu, peserta juga berkesempatan melawat kebun kelapa dan kelapa sawit serta melawat tempat pengumpulan buah kelapa sawit.

Bagi pelancong yang inginkan suasana yang lebih mencabar atau dekat dengan hidupan flora dan fauna, Homestay Sungai Sireh juga menyediakan tapak perkhemahan di kawasan pertanian yang diteduhi dengan tanaman pokok kelapa sawit.

Sementara itu, bagi pelancong yang gemar dengan aksi sukan rekreasi ekstrem, Terusan Besar Ban Kanal sedia menanti anda untuk berkayak di situ.

Menariknya lagi, terdapat juga aktiviti lasak seperti merentas kawasan berpaya di kawasan hutan simpan tadahan air sawah padi.

Tidak sempat berasa bosan, peserta inap desa juga boleh mencuba nasib untuk memancing ikan di tali air atau terusan besar.

Terdapat pelbagai pakej inap desa yang boleh dipilih oleh pelancong sama ada pakej kunjungan sehari, sehari dua malam atau dua hari tiga malam.

Menerusi pakej pilihan, pengunjung boleh memilih aktiviti yang sesuai dengan kehendak dan tempoh masa mereka berada di kampung tersebut.

INFO:
Homestay Sungai Sireh
Parit Satu Kampung Ampangan, 45500 Tanjung Karang, Selangor.
Telefon: 019-3467372

Sumber: Kosmo! Online

Kek Cawan TASTE INVASION

"Tambah Kaye, kek cawannya yang dijual di pasaran hanya berharga RM3.50 sebiji. Apa juga pilihan pelanggan, Kaye akan sedaya upaya memenuhi cita rasa mereka."

Taste Invasion menyediakan pelbagai saiz kek daripada sebiji kek cawan sehingga kek bersaiz besar untuk hari perkahwinan.

Bagi ibu bapa yang ingin meraikan parti untuk anak-anak, kek cawan pelbagai rasa pasti sesuai kerana ia bukan sahaja enak untuk dimakan, malah mempunyai pelbagai bentuk yang pasti menarik perhatian tetamu.

Antara perisa kek cawan yang boleh dicuba di Taste Invasion ialah strawberi, karot, lemon dan coklat ceri.

Menurut chef Ahmad Saiful Ridzuan Hasib, 24, atau lebih mesra disapa Kaye, beliau hanya menggunakan bahan berkualiti yang diimport dari luar negara untuk menghasilkan kek-kek itu.

"Baik tepung mahupun mentega, saya hanya gunakan jenama yang berkualiti dan diimport dari luar negara seperti di London," kata usahawan muda itu.

"Saya juga ada menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang seperti Bangi, Kajang, Nilai, Wangsa Maju, Bangsar, Ampang, Puchong, Kinrara, Petaling Jaya dan Damansara," kata Kaye sambil menambah caj penghantaran akan dikenakan.

Selain itu, Kaye juga menyediakan pastri yang enak menggunakan bahan dari Perancis dan dijual pada harga RM1.50 sekeping.

"Ini adalah hidangan yang paling mudah dan menjadi trend masa kini untuk individu, seisi keluarga mahupun tetamu yang diraikan," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Monday, July 6, 2009

Fareeda House of Scarf

"Himpunan tudung Fareeda bukan sahaja sesuai dipakai oleh golongan wanita malah remaja yang bertudung tetapi masih mahu berfesyen berpeluang menggayakan tudung berkenaan."

Sesiapa saja yang bergaya dengan koleksi tudung Fareeda pasti berpuas hati dengan cetakan corak, penggunaan fabrik dan mudah dipakai.

Menyedari keperluan untuk wanita bertudung, pemilik Fareeda House of Scarf, Faridah Zakaria, menghasilkan tudung Suraya yang tampak ringkas tetapi menawan dan ceria.

Ini bersesuaian dengan tagline Fareeda: Tudung Fareeda alternatif kepada wanita bertudung agar tampil lebih anggun bergaya.

Tudung Suraiya yang berkonsep siap pakai menampilkan tiga jenis tudung yang berbeza seperti Suraiya (tudung dwi warna), warna), Suraiya Eksklusif yang bercorak dan berasaskan batik.

Tudung Suraiya yang memiliki dua tona warna bakal menyerlahkan gaya remaja yang anggun dan ceria. Begitu sesuai dipadankan dengan busana warna hitam, putih atau pakaian daripada kumpulan warna yang sama.

Walaupun tudung Suraiya didatangkan bersama anak tudung mini, tetapi si pemakai akan berasa selesa kerana ia diperbuat daripada fabrik lycra dan sifon Itali. Tudung tersebut turut menjadi pilihan pembaca berita TV9.

Sementara itu, Suraiya Eksklusif menawarkan tudung yang bercorak abstrak dan flora.

Didatangkan dalam pelbagai warna untuk kesesuaian pelbagai jenis majlis, kuliah atau ke pejabat.

Kepada anda yang sudah jemu memakai tudung fabrik polos atau bunga, Suraiya Eksklusif turut menghasilkan tudung berasaskan batik.

Mengenai kualiti tudung label Fareeda, usah khuatir kerana ia dihasilkan oleh lapan tenaga kerja mahir. Dalam pada itu, Faridah juga turun padang sepanjang proses pembuatan tudung dijalankan.

Ini bagi memastikan koleksi tudung koleksinya berkualiti dan terbaik buat pelanggan. Tudung-tudung Fareeda dijual pada harga antara RM55 hingga RM150.

INFO:
Hubungi telefon: 03-89262809
Laman web: http://www.fareedascarf.com/

Minuman Penguat Minda RAUDHAH HERBS

"Raudhah Herbs percaya kepada dunia perubatan dan konsep perniagaan Islam, dengan prinsip asas yang mudah, semua orang berhak mendapat taraf kesihatan yang baik."

Raudhah Herbs Sdn Bhd memperkenalkan produk terbaru keluarannya dalam penghasilan minuman penguat daya ingatan berbentuk paket.

Mengambil kira faktor kesihatan dan amalan gaya hidup sihat, Raudhah Herbs ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan dan mendorong orang ramai mementingkan kesihatan tubuh badan.

Penghasilan minuman itu diiaplikasikan dalam bentuk moden, ringkas dan mudah dibawa ke mana saja bagi memenuhi keperluan kesihatan setiap isi rumah.

Minuman ini adalah gabungan herba semula jadi habbatus sauda bersama madu asli, kurma dan kismis, makanan sunnah perubatan serta penyembuhan herba terbaik di dunia.

Habbatus sauda adalah sejenis tumbuhan herba daripada keluarga Renonculacees berasal dari Laut Mediterranean. Ia dikenal pasti sebagai salah satu jenis herba punca sumber tenaga serta membantu merawat dan mencegah sebarang penyakit.

Madu pula diperakui penawar pelbagai penyakit zahir dan batin serta disyorkan menjadi makanan tambahan kerana khasiatnya bernilai tinggi.

Madu tidak mengganggu sistem penghadaman dan ia mudah dicerna oleh badan selain membekalkan tenaga dengan cepat.

Kurma mempunyai nilai zat makanan yang sangat bagus termasuk kandungan kalori dan karbohidrat yang cepat dicernakan tubuh.

Tidak perlu bimbang kemanisannya kerana gula yang terkandung dalam kurma mudah diserap tubuh tanpa melalui proses yang panjang.

Kismis dapat memberikan kekuatan otak dan ingatan. Ia dipercayai unsur makanan kejiwaan yang baik kerana menenangkan sel saraf dan pelawas makanan paling berkesan.

Antara produk keluaran Raudhah Herbs ialah:
1. Minuman Pati Pracampuran Kurma, Kismis & Habbatus Sauda.
- Ia membantu menyembuhkan pelbagai penyakit serta sumber penguat tenaga tubuh.
- Minuman ini membantu proses ingatan pembelajaran kanak-kanak dan meningkatkan daya tumpuan.

2. Minuman Pati Pracampuran Madu Asli dan Habbatus Sauda berperisa Pandan dan Strawberi.
- Ia dirumus daripada madu tempatan dan herba terunggul selain campuran perisa pandan serta strawberi.
- Minuman itu memberi tenaga segera untuk pengguna yang sentiasa sibuk namun peka dengan keperluan kesihatan.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk Raudhah Herbs, hubungi Raja Azlan Raja Abdul Aziz di talian 013- 3305134, 019-330 5134 atau e-mel azlan@raudhaherbs.com

Sumber: myMetro , web Raudhah Herbs

Saturday, July 4, 2009

Lembah Bio Felcra

"Idea Lembah Bio yang ingin diwujudkan Felcra bukan sahaja untuk mendukung komitmen hijau, bahkan menambahkan pendapatan di kalangan peserta tanah rancangan."

Penukaran status daripada sebuah agensi berkanun kepada syarikat milik penuh kerajaan memberi peluang kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) meneroka bidang-bidang perniagaan baru.

Satu demi satu transformasi diketengahkan dan setiap perubahan yang dilaksanakan, memberi nikmat dan manfaat secara langsung kepada lebih 94,000 peserta tanah rancangan Felcra di seluruh negara.

Bagi Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajudin Abdul Rahman, agensi itu tidak seharusnya terus selesa memainkan peranan sedia ada, malah perlu berani menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

Katanya, pelaksanaan projek sifar sisa bersepadu, Lembah Bio di semua ladang Felcra seluruh negara merupakan komitmen terbaru agensi itu.

"Komitmen ini bukan sahaja akan menjana lebih pendapatan kepada para peserta di semua tanah rancangan, bahkan Felcra juga bakal menjadi agensi seumpama pertama yang mengaplikasi disiplin bioteknologi dalam operasi seharian," katanya.

Sebagai agensi yang mendominasi kegiatan pertanian khususnya perladangan kelapa sawit, getah dan padi, Felcra melalui pelaksanaan Lembah Bio akan memaksimumkan penggunaaan semula sisa-sisa buangan dan menjadikannya produk bio baru yang menguntungkan.

"Pelaksanaan program Lembah Bio adalah berkonsepkan sifar sisa melalui kitaran semula dan ia bukan hanya akan menghasilkan persekitaran yang lebih bersih serta mesra alam tetapi juga menjana pendapatan tambahan melalui produk-produk yang dihasilkan," katanya.

Melalui aplikasi bioteknologi ini, semua sisa dari kilang padi, sawit, kawasan perumahan peserta bahkan najis ternakan terutama lembu akan diproses menggunakan kaedah Efektif Mikro (EM).

"EM akan membantu kita mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berlebihan, memelihara ladang bebas daripada penyakit dan serangga selain memulih tanah yang bermasalah," katanya.

Proses ini ujarnya, akan menghasilkan beberapa produk yang akan digunakan semula di tanah-tanah rancangan Felcra termasuk baja dan racun serangga bioorganik serta makanan tambahan ternakan.

Katanya, buat permulaan Felcra menyasarkan mampu menggantikan penggunaan baja kimia di semua ladang di seluruh negara sekurang-kurangnya 20 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Di samping itu katanya, penghasilan baja organik itu kelak akan menjimatkan kos baja sehingga RM200 bagi satu hektar.

"Menjadi matlamat akhir untuk Felcra menggunakan 100 peratus baja organik yang dihasilkan sendiri namun pada masa sama, kita yakin satu hari nanti agensi ini mampu mengeluarkan sendiri jenama baja organik dan dipasarkan di luar," katanya.

Hasrat itu tidak mustahil kerana Felcra mempunyai kemudahan dan bahan mentah yang mencukupi di semua ladangnya di seluruh negara.

Selain bahan buangan sedia ada, Felcra menggalakkan para peserta dan generasi kedua menternak lembu dan kambing serta menanam jagung di kawasan rumah masing-masing.

"Najis lembu dan kambing berkenaan kemudiannya boleh dijual kepada Felcra untuk diproses menjadi baja organik. Pada masa yang sama, kita juga akan membeli batang dan akar pokok jagung yang ditanam untuk dijadikan bahan makanan lembu," katanya.

Bagi membangunkan projek Lembah Bio berkenaan, sebanyak RM18.9 juta telah diperuntukkan melibatkan 11 komponen projek berteraskan bioteknologi sepenuhnya.

Ia melibatkan ternakan lembu dan kambing secara fidlot, baja organik, tanaman kontan organik, ternakan akuakultur organik dan penghasilan beras organik.

Selain itu melalui Lembah Bio, unit fermentasi dan kompos, pusat makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D), bengkel pembungkusan serta pusat perniagaan rehat dan rawat akan diwujudkan.

"Projek ternakan ini juga melibatkan penanaman rumput napier yang akan menjadi makanan utama lembu terbabit. Buat masa ini tanah seluas lapan hektar di sini telah pun ditanam dengan rumput berkenaan dan ia mengambil masa tiga bulan untuk matang," katanya.

Optimis Lembah Bio mampu menaiktaraf kehidupan lebih 94,000 peserta Felcra dan ahli keluarga mereka, Tajudin memberitahu, kepakaran yang dimiliki Pusat Latihan Felcra di seluruh negara akan digunakan bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Pusat latihan berkenaan akan menyediakan modul-modul latihan yang berkaitan langsung dengan aplikasi bio-teknologi ini termasuk bagaimana proses EM, ternakan organik, tanaman kontan organik dan sebagainya," katanya.

Sumber: Kosmo! Online
 



Copyright © 2008-2009 MDAM_AM. All rights reserved.