Baja Akademi Flora

Dua anak muda ini sanggup meninggalkan kerjaya kolar putih semata-mata mahu berbakti kepada tanah. Walaupun tidak mempunyai asas pertanian, minat mendalam mendorong mereka menggali ilmu dalam bidang itu.


Bermula dengan hobi menanam pokok dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan di rumah, ia kini menjadi kerjaya tetap mereka.

Sahabat baik ini, Aiman Mohd Nizam dan Ahmad Zaki Zolkapli, masing-masing berusia 25 tahun, mempunyai impian besar terhadap bidang pertanian.

Aiman memiliki Ijazah Perakaunan dari kolej swasta manakala Ahmad Zaki berkelulusan Diploma Kejuruteraan Elektronik dari Politeknik Port Dickson (PPD).

Mereka menubuhkan Akademi Flora di bawah syarikat milik sahabat itu, Bella Ricco Enterprise pada November 2014 sebagai hab pertanian yang berkongsi informasi dan produk industri pertanian.

Aiman yang juga pengarah pemasaran berkata, mereka mengumpul maklumat pertanian dan menjadikannya sebagai platform untuk kegunaan individu lain yang baru atau sudah lama bercucuk tanam.

“Kami bermula dengan jualan secara online mempromosikan baja organik keluaran kami di laman web dan Facebook. Alhamdulilah, sambutan diterima sungguh menggalakkan.

“Dengan RM500, kami membangunkan laman web Akademi Flora. Buat masa ini, kami mempunyai produk baja foliar iaitu Max Flora membabitkan dua jenis iaitu ‘Red’ untuk kegunaan buah-buahan dan ‘Green’ bagi pokok dan sayur-sayuran.

“Kami sering mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya.

Ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, baru-baru ini, Aiman berkata, produk baja foliar mudah, jimat dan berkesan kerana dihasilkan melalui formula sendiri dan sudah bekerjasama dengan sebuah kilang tempatan untuk diproses.

“Proses pembotolan semula dilakukan selepas kami memproses sendiri bagi memastikan ia berkesan dan sesuai untuk semua jenis pokok, buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Baja Max Flora mempunyai tiga nutrien yang dikenal pasti sebagai bahan yang perlu untuk tumbuh-tumbuhan iaitu nitrogen, fosforus dan kalium (NPK).

“Baja NPK juga dikenali sebagai makronutrien dan punca bagi tiga elemen yang biasa terdapat pada label baja,” katanya yang mempunyai 32,586 pengikut di Facebook.

Sementara itu, Ahmad Zaki yang juga pengarah operasi berkata, syarikatnya turut menyediakan kursus pertanian bagi mereka yang berminat bercucuk tanam.

“Setakat ini, kami mempunyai 11 stokis dan 24 ejen di seluruh negara menjual baja Max Flora. Akademi Flora turut menjual produk Green Kit untuk pelbagai jenis sayur-sayuran.

“Green Kit sesuai bagi mereka yang tiada tanah yang luas. Boleh ditanam di dalam rumah kerana ia mudah alih dan senang diselenggara,” katanya.

Mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web di www.akademiflora.com.

Sumber: myMetro