Bazar We Love Desserts

Deretan pencuci mulut yang dipamerkan menyebabkan Zaharah Ishak, 38, menjadi rambang mata oleh kerana ia merupakan kali pertama dia mengunjungi bazar yang menghimpunkan pelbagai hidangan itu.

“Saya sangat teruja mengunjungi Bazar We Love Desserts yang dianjurkan memandangkan saya menggemari makanan itu. Malah, anak-anak saya turut mempunyai minat yang sama.

“Pada masa lapang, saya suka membuat kek dan pencuci mulut untuk dihidangkan kepada ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di SACC Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, dia tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi karnival makanan yang diadakan sekitar ibu negara itu. Namun, bazar anjuran A&A Event pada kali ini sangat menarik kerana ia hanya berfokus kepada menu pencuci mulut.

“Bazar-bazar seumpama ini perlu diperluaskan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai orang tahu mengenai pelbagai hidangan pencuci mulut dan menikmatinya bersama keluarga tersayang,” tuturnya yang tinggal di Pinggiran USJ, Subang Jaya, Selangor.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Ramly Mohammad, 40, sangat berpuas hati dengan harga dan rasa hidangan yang sangat sedap itu.

“Saya dan anak-anak selalu datang ke pusat beli-belah ini pada setiap hujung minggu dan tidak sangka terdapat bazar yang menghidangkan menu pencuci mulut. Oleh itu, kami tidak melepaskan peluang untuk mencubanya.

“Saya membeli kek coklat kerana anak-anak amat menggemari rasanya,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Muhammad Syahir Mansor, 30, sangat gembira kerana jualan minuman yang berasaskan kopi itu menjadi pilihan pengunjung.

Peminat tersendiri

“Perniagaan itu diusahakan sejak 2015 secara online tetapi dengan adanya bazar seperti ini, saya dapat mengetengahkan jenama kopi ini kepada masyarakat.

“Saya memperkenalkan dua perisa iaitu kopi latte dan mocka. Kedua-duanya mempunyai peminat tersendiri iaitu orang lelaki lebih menggemari latte kerana rasa kopinya yang kuat,” ujar pengusaha minuman jenama Kopihioster itu.

Tambahnya, dia juga akan mengeluarkan minuman baharu berperisa coklat dalam masa terdekat kerana terdapat permintaan yang tinggi.

Seorang lagi peniaga, Hafizah Rashid, 35, yang menjual pelbagai jenis kek dan pastri mengakui, bazar itu membantunya mempromosikan produk pencuci mulut tersebut kepada orang ramai.

“Saya berniaga secara online dan segala tempahan dilakukan menerusi laman sosial Instagram yang dikenali sebagai Curlycakekl.

“Bazar ini membantu memperluaskan jenama produk saya,” kata Hafizah yang mempelajari ilmu membuat kek dan pelbagai pencuci mulut daripada ibunya.

Pada perkembangan yang sama, wakil penganjur, Waridi Hamdan, 36, berkata, objektif utama penganjuran bazar itu adalah untuk menghimpunkan pengusaha-pengusaha menu pencuci mulut di bawah satu bumbung.

“Kebanyakan mereka berniaga secara online dan ini merupakan salah satu inisiatif pihak kami untuk membantu peniaga-peniaga itu memasarkan produk masing-masing di samping memperkenalkan jenama kepada umum.

“Terdapat sebanyak 26 buah gerai dan 80 peratus menjual pelbagai jenis hidangan pencuci mulut manakala selebihnya menjual pakaian dan barangan perhiasan,” jelasnya.

Tuturnya, bazar itu turut mempunyai pelbagai acara menarik seperti demo membuat hiasan kek, pertandingan menghias kek cawan, persembahan buskers dan pertandingan ukelele.

“Kami turut merancang untuk mengadakan bazar itu buat kali kedua pada tahun ini secara besar-besaran dengan kerjasama pelbagai agensi,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online