Bisnes Barangan Terpakai


“Pada mulanya saya hanya menjual barangan yang tidak boleh digunakan lagi.

“Ketika itu saya menjual dua helai pakaian dan dibeli dengan harga £20 (RM90) daripada seorang pelanggan. Bermula dari situ saya mula menjadi ketagih dan begitu obses untuk menjual pelbagai barangan yang lain menerusi laman web tersebut,” kata Laura Rose.

Menurut pelajar jurusan perniagaan di Universiti East Anglia, England ini, siapa sangka, berbekalkan wang daripada jualan barangan terpakai secara online, dia mampu menikmati percutian mewah sepanjang cuti semester.

“Kebanyakan rakan-rakan saya kesemuanya terpaksa mengikat perut malah ada juga yang bekerja sambilan untuk mengumpul wang.

“Bagaimanapun berbeza dengan saya kerana mampu mendapatkan wang dengan mudah. Lebih meme­ranjatkan saya berjaya mengumpul £30,000 (RM135,235) walaupun dengan membuat proses jual beli barangan terpakai,” jelasnya.

Menurut gadis berusia 21 tahun ini lagi, dia mula berkecimpung dalam aktiviti tersebut kerana ke­sempitan wang untuk membeli pakaian baharu.

“Pada waktu itu saya benar-benar tiada duit tetapi pada masa yang sama teringin untuk membeli sepasang baju baharu. Saya kemudian mendapat idea untuk menjual pakaian lama.

“Walaupun bayaran yang diterima pada waktu itu tidak begitu memuaskan, tetapi saya mula berminat untuk menjual pakaian yang lain pula.

“Mana tidak­nya, dengan hanya membuat satu klik di internet, jumlah wang di akaun bank saya bertambah,” jelasnya.

Barangan keluarga

Bermula dari situ, Rose kemudian mula mencari barangan lain untuk dijual.

Tidak cukup dengan barangan peribadi miliknya, dia turut menjual barangan milik ahli keluarganya yang lain.

Menurut Rose, dia selalunya akan membeli barangan tersebut daripada ahli keluarganya dengan bayaran £10 (RM46).

Bukan itu sahaja, Rose turut membeli pakaian daripada pemborong dari China di sekitar kawasan kediamannya sebelum menjualnya semula.

Barangan tersebut bagaimanapun akan dijual semula dengan harga yang lebih tinggi menerusi laman web tersebut.

“Saya juga pernah membeli barangan di eBay dengan harga yang sangat-sangat murah sebelum menjualnya semula di laman web tersebut.

Percutian mewah

“Selalunya saya akan bangun pada awal pagi ketika tiada pembeli melayari laman web tersebut dan mula mencari serta membeli barangan yang berpotensi untuk dijual dengan harga yang lebih tinggi,” jelasnya.

Ujarnya, dia menjadi begitu te­ruja dan sanggup bangun pada awal pagi kerana pada waktu tersebut, dia mampu membeli barangan de­ngan harga serendah £1 (RM4.51) sebelum menjualnya semula dengan harga minimum £20 (RM90).

“Sejak melibatkan diri dalam aktiviti ini, rutin harian saya mula berubah. Setiap hari saya akan bergegas menghantar bungkusan pelanggan ke pejabat pos sebaik tamat sesi kuliah.

“Sekembalinya di rumah pula, saya akan mula mengambil gambar barangan baharu dan memaparkannya di laman web untuk dijual.

“Bilik tidur saya pula tidak ubah seperti tempat pembungkusan ha­diah kerana hampir semua baha­gian bilik dipenuhi dengan barangan pelanggan,” jelasnya.

Jelas Rose, kira-kira enam bulan kemudian, usaha tersebut dilihat membuahkan hasil apabila dia berjaya mengumpul wang sebanyak £30,000 (RM135,235).

Berbekalkan wang tersebut, Rose berjaya bercuti ke beberapa lokasi percutian yang menarik iaitu di Lanzarote yang merupakan sebuah pulau di Barat Afrika; Venice, Itali; Sepanyol dan Perancis.

“Biarpun kadangkala saya merasakan aktiviti ini memenatkan, namun saya suka melakukannya.

“Lebih-lebih lagi apabila memikirkan nikmat percutian yang diterima dengan hanya menjual barangan terpakai,” jelasnya.

Sumber: Kosmo! Online