Buku Jimat Dari Dapur - Kebun Bandar

Semua orang dapat menjimatkan perbelanjaan harian dengan berkebun menanam sayuran, sekali gus dapat mengurangkan masalah peningkatan kos sara hidup.

Bagi yang tiada asas pertanian, mereka boleh mendapatkan panduan ringkas melalui buku Jimat Dari Dapur sebelum bercucuk tanam.

Tidak semestinya memerlukan kawasan luas untuk berkebun, malah dalam rumah pun boleh bercucuk tanam asalkan pandai dan kreatif menyusun atur. Pengasas Kebun Bandar Mohamad Izham Mohd Alias, 27, berkata, syarikatnya Superphase Agro Sdn Bhd turut menganjurkan bengkel asas berkebun, khidmat nasihat, menjual peralatan kebun, baja dan biji benih.

Katanya, anggapan berkebun sering dilakukan sekadar aktiviti masa lapang adalah salah kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Sebenarnya berkebun juga mampu menjadi sumber pendapatan keluarga. Kita dapat menjimatkan kos barang dapur sehingga 20 peratus dengan menanam sendiri sayur-sayuran di rumah.

“Tak perlukan kawasan tanah yang luas, hanya sedikit ruang dan idea kreatif, kita sudah boleh menjana makanan sendiri dari dapur.

“Tanaman ini juga boleh dijadikan tanaman landskap seperti salad, bayam atau kangkung jika pandai menyusun dan menghias,” katanya.

Mohamad Izham yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Hortikultur, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sangat merugikan jika masyarakat hanya menghias rumah dengan rumput, lalang atau pokok hiasan.

“Sebaliknya, kita boleh menghias rumah dengan tumbuhan berguna yang dapat memberi khasiat seperti sayuran, buah-buahan dan herba.

“Tumbuhan ditanam sendiri akan memberi makanan yang sihat kepada keluarga. Ia juga mampu merapatkan hubungan sesama ahli keluarga apabila berkebun bersama.

“Ada pelbagai manfaat apabila kita menjadikan halaman di belakang rumah atau balkoni flat sebagai kebun dapur,” katanya.

Menurutnya, pada permulaan, kos menanam sayur di rumah agak membebankan kerana terpaksa membeli pasu, tanah, baja dan peralatan berkebun.

“Namun, ia bukan penghalang untuk seseorang berkebun di rumah. Jika tahu ia boleh mendatangkan untung dalam jangka panjang, kita tidak akan merungut lagi.

“Kajian mendapati kita dapat menjimatkan sehingga 20 peratus kos dapur jika berkebun dengan betul. Ada beberapa kos yang hanya dikeluarkan sekali ketika permulaan berkebun.

“Kemudian ia akan menjadi aset untuk kita menghasilkan lebih banyak makanan untuk keluarga,” katanya.

Katanya, buku Jimat Dari Dapur yang dihasilkannya bersama Ashraf Shuib mengandungi 136 muka surat yang memaparkan beberapa tajuk.

“Antaranya, tanam, hias dan makan sayur, kreatif dan inovatif dalam berkebun, merancang hasil tanam hias dan makan yang memuaskan.

“Selain itu, makanan pokok, tanam sekali hasil makan berkali-kali, sihat dengan herba dan ulam, doktor tumbuhan, buat sendiri baja, menikmati hasil tanaman bersama keluarga dan masak serta nikmati hasil dari rumah,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari Facebook Kebun Bandar yang buat masa ini mempunyai 127,000 pengikut atau e-mel izham@kebunbandar.com.

Sumber: myMetro