Chalet ala Rumah Orang Asli

Pembinaan chalet berciri rumah tradisional kehidupan masyarakat Orang Asli di Pusat Perkelahan Sungai Bil, Slim River, Perak menggunakan tumbuhan hutan kini menjadi tarikan terbaru.

Binaan chalet itu unik dan kreatif kerana menggunakan tumbuhan hutan iaitu buluh dan pokok bertam sebagai bahan utama.

Sebanyak 4,000 buluh besar digunakan untuk membuat tiang dan chalet dengan bahan sokongan lain.

Buluh yang diperoleh di kawasan kaki bukit Banjaran Titiwangsa itu ditebang menggunakan gergaji dan dijemur hingga kering.

Buluh juga menjadi bahan utama lantai chalet yang disusun rapi dan diikat kemas menggunakan tali.

Selepas itu ia dilapik dengan tikar untuk menjamin keselesaan tetamu yang menginap di chalet itu.

Bahagian dinding chalet itu pula berasaskan kulit pokok dan daun bertam yang dianyam kemas dan teliti.

Menariknya, ia menggunakan kaedah anyaman tradisional Orang Asli kerana difahamkam dinding yang diperbuat daripada pokok itu mampu mengawal suhu dalaman chalet.

Sementara itu, daun pokok bertam pula lebih sesuai digunakan sebagai atap yang disusun memanjang berbentuk kepingan.

Kemudian, ia diikat kemas menggunakan tali yang juga kulit bertam supaya mudah disusun menjadi atap chalet.

Bagi mengelak kebocoran, sebelum atap daun bertam disusun pada bahagian atas, lapisan zink diletakkan terlebih dulu.

Pembina chalet, Rosli Punggah, 40, berkata, bahagian atas yang menyokong bumbung diletakkan buluh sebagai penahan manakala bahagian lantai juga menggunakan buluh yang disusun rapi.

Katanya, bahagian tiang buluh itu perlu menggunakan simen konkrit untuk menguatkan bahagian dasar tiang supaya chalet itu berdiri teguh.

Seterusnya bagi menguatkan struktur pada dinding dan tingkap chalet, dia menggunakan kayu hutan sebagai penguat supaya binaan itu lebih kukuh dan kemas.

“Hingga kini saya bersama rakan sudah menyiapkan 25 chalet dan yang menariknya setiap chalet mempunyai ruang pelantar menghadap sungai untuk pengunjung bersantai sambil menikmati keindahan alam.

“Kawasan chalet ini juga mempunyai surau dan wakaf santai turut dibina dengan menggunakan bahan sama bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai kelainan ketika mengunjungi chalet ini,”katanya.

Uniknya chalet ini, walaupun cuaca panas namun apabila masuk dalam chalet ini bahang panas hilang kerana kulit kayu bertam yang digunakan itu mampu menyerap haba menyebabkan pengunjung berasa selesa untuk berehat sambil bersantai.

Sepanjang jalan masuk pula anda perlu melalui jambatan yang dihiasi replika basikal lama bagi menimbulkan dekorasi menarik.

Sumber: myMetro