Gubahan Tisu Hiasan Pelamin

Memilih pelamin idaman yang bertepatan dengan cita rasa dan kewangan boleh menjadi perkara paling memeningkan kepala bakal raja sehari.

Lebih menyentap jiwa apabila kos sewanya mencecah ribuan ringgit, sementelah ia hanya digunakan dalam tempoh masa yang amat singkat.

Kebelakangan ini, idea melakukan sendiri persiapan perkahwinan atau Do It Yourself (DIY) kian popular dalam kalangan masyarakat kita.

Ia secara tidak langsung mampu menjimatkan perbelanjaan berkali ganda berbanding bajet asal.

Halimatun Saadiah Muhammad Razali, 27, berkata, dia hanya membelanjakan sekitar RM200 untuk menghasilkan pelamin DIY dengan rekaan yang tampak elegan dengan hanya menggunakan kertas tisu sebagai bahan asas.

Anak kelahiran Jempol, Negeri Sembilan yang melangsungkan perkahwinan baru-baru ini dengan pasangannya, Mahathir Mohamed Yunos itu berkata, dia menggunakan 36 bungkus tisu berharga RM25 untuk digubah menjadi bunga latar pelamin.

“Lakar terlebih dahulu pelan dekorasi pelamin untuk mengelakkan pembaziran barang dan ruang. Selain itu, ia bagi memastikan proses pembuatan dapat dilakukan seperti yang dirancang dan meminimumkan kesilapan.

“Paling penting gunakan barang sedia ada dan jika beli barang baharu pastikan ia boleh digunakan kembali selepas majlis berakhir.

“Saya menyewa kerusi pengantin dan menggunakan semula alas langsir terpakai milik ibu untuk dijadikan tabir pelamin,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, dia turut menggunakan beberapa alatan lain seperti dawai mata punai, paku dan kayu selain lampu kalimantang untuk menghasilkan kesan cahaya khas terhadap pelamin tersebut.

Halimatun yang pertama kali membuat pelamin seumpama itu mengambil masa selama enam jam untuk menyiapkannya.

Ia turut dibantu oleh adik dan rakan-rakannya.

“Kita juga kena kenal pasti di mana pelamin hendak didirikan dengan mengambil kira sudut strategik untuk tetamu menepung tawar dan aspek pencahayaan.

“Kalau boleh lakukan kerja secara berkumpulan dan bahagikan tugas sesama sendiri. Selain dapat mengeratkan silaturahim kerja juga lebih cepat siap.

“Selepas majlis selesai, tisu tadi usah dibuang kerana ia masih elok. Sebaliknya kumpulkan semula di dalam kotak dan gunakan semula,” ujar usahawan muda itu.

Sumber: Kosmo! Online