Kapak Harga Kraf Enterprise

Menyingkap detik awal pembabitan Harun Sulaiman, 60, atau Pak Harun dalam penghasilan kapak sebagai kraf logam sebenarnya mempunyai jalan cerita tersendiri.

Bukan sekadar digunakan untuk kerja harian, malah kapak yang dihasilkannya ada nilai estetika dan keunikan tersendiri.

Bapa kepada lapan cahaya mata ini turut menghasilkan sendiri pisau menyerupai kapak.

Berbeza dengan kapak di pasaran kerana hasil kerja tangan individu berbakat ini lengkap bersarung.

Menggunakan kayu ciku, serian, nyireh, penawar hitam dan halban belak untuk membuat hulu serta sarung kapak, bahan mentah itu diperoleh dari perkampungan Orang Asli di Bukit Ibam, Chini, Pahang dan Padang Rengas, Perak.

Siapa sangka, kapak buatannya mendapat permintaan daripada penduduk setempat.

Justeru, beliau tidak teragak-agak beralih kepada pembuatan kapak secara moden bagi memenuhi permintaan.

Berbekalkan duit poket sendiri, Pak Harun membeli mesin pencanai dan gergaji meja pada tahun 2004.

Kapak itu kemudian dijual di pasar minggu Kota Sarang Semut dan Kampung Berjaya dekat Alor Setar, empat kali sebulan.

Bagi memastikan kapak keluaran Harga Kraf Enterprise terus menjadi pilihan pengguna, datuk kepada 13 cucu ini meningkatkan promosi jualan produk kraf logamnya dengan menyertai pelbagai aktiviti pameran anjuran jabatan kerajaan.

Pada tahun 2009, beliau mula berdaftar dengan Kraftangan Malaysia.

Selepas menyertai Hari Kraf Kebangsaan, produknya semakin dekat di hati pengguna.

Dalam sebulan, Pak Harun mampu menyiapkan lebih 60 bilah kapak.

Produk kraf logam itu boleh dimiliki dengan harga daripada RM130 hingga RM300 bergantung pada jenis ukiran dan kayu.

Walaupun kapak keluaran syarikatnya sudah utuh di pasaran, insiden yang berlaku pada awal pembabitannya dalam bidang ini masih kekal diingatan.

Tapak tangan kanannya hampir terputus dua dan menerima 27 jahitan, namun berbekalkan semangat tinggi, kejayaan akhirnya menjadi miliknya.

Harga Kraf Enterprise terletak di Kampung Buluh Lima, Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Sumber: myMetro