Kapsul Misai Kucing

Penuntut tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli Universiti Malaysia Pahang (UMP), Seah Hui Ni dinobatkan sebagai penerima anugerah ‘Terbaik Antara Yang Terbaik’ kategori mahasiswa dalam pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (Citrex) sempena Hari Terbuka UMP di kampus Gambang, di sini hari ini.

Hui Ni, 23, berasal dari Pontian, Johor menghasilkan penawar penyakit diabetes atau kencing manis daripada tumbuh-tumbuhan misai kucing dalam bentuk kapsul.

Projek bertajuk ‘Phenolic-Rich Microcapsule From Orthosiphon Stamineus’ itu menewaskan 23 penyertaan lain yang turut membolehkannya menerima pingat emas bagi penyelidikan berkenaan.

Hui Ni berkata, dia berbangga dan berpuas hati apabila hasil usahanya selama ini membuahkan kejayaan.

“Produk ini juga akan dikomersialkan dan saya telah menandatangani perjanjian bersama sebuah syarikat pada 2014.

“Syarikat berkenaan akan bertindak memasarkan kapsul misai kucing ini. Saya memilih menghasilkan kapsul misai kucing atas beberapa faktor iaitu untuk membantu pesakit diabetes selain bahan asas ini sangat mudah diperoleh tanpa melibatkan kos yang tinggi,'' katanya.

Yang hadir menyampaikan anugerah tersebut ialah Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Pada majlis tersebut turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara UMP dan Institut Sukan Negara serta Silterra Malaysia Sdn. Bhd.

Sementara itu, menurut Daing Nasir, Citrex 2016 yang memasuki tahun keempat penganjuran menyaksikan pengembangan skopnya dengan membuka penyertaan kepada sekolah menengah sebagai tambahan kategori sedia ada.

“Saya berharap jawatan kuasa penganjuran akan melipatgandakan promosi agar lebih banyak pihak khususnya swasta, industri dan badan korporat tampil menyokong terutama dalam penajaan hadiah.

“Di samping itu, dengan adanya 24 buah sekolah kluster di bawah UMP, maka aspirasi pembudayaan inovasi dan kreativiti dapat dikembangkan lagi dengan menjemput semua sekolah berkenaan me­nyertai Citrex secara tetap mulai tahun depan,” katanya.

Sumber: Utusan Online