Kemeja Maskulin Abang Terlajak Laris


JENAMA D’Herbs bukan sesuatu yang asing di negara ini.

Kepakaran dalam bidang kecantikan, kesihatan dan tata rias berpakaian yang menawan menjadikan pemiliknya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman terkenal sebagai ikon fesyen serta pemula trend (trendsetter) kepada orang ramai.

Kini, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu melangkah setapak lagi dalam usaha meluaskan empayar perniagaannya dengan melancarkan koleksi pakaian lelaki di bawah label Abang Terlajak Laris (ATL).

Koleksi baju kemeja lelaki dengan rekaan trendy dan eksklusif itu sangat ranggi digayakan jejaka urban dalam menampilkan diri.

Pilihan baju kemeja dalam nuansa kasual segak (smart casual) itu menggunakan material kapas sepenuhnya. Fabriknya yang lembut dan berkualiti tinggi menjadikan ia setanding jenama antarabangsa.

Mengutamakan kualiti dalam gaya unggul, ATL mempertaruhkan corak versatil dan rona-rona sofistikated yang tidak keterlaluan serta sarat bagi memenuhi keperluan fesyen sang jejaka.

Mencuri perhatian

Meskipun ATL mengetengahkan tema santai, pemakaiannya tetap mampu merembeskan estetika maskulin pada susuk arjuna.

Antara yang mencuri perhatian ialah kemeja hitam polos dengan lengan panjang bermotifkan kotak simetri kuning. Bukan sahaja selesa dipakai secara kasual, ia turut tampak bergaya untuk digunakan ke tempat kerja atau acara rasmi.

Tampil bergaya tanpa dibatasi skeptikal monokrom, sang jejaka yang menggemari motif simetri dalam nuansa yang lebih ceria kini boleh beralih kepada kemeja rona biru elektrik berlengan panjang dengan corak simetri abstrak.

Selain itu, ATL juga menawarkan pilihan yang lebih ringkas dalam spektrum minimalis. Kemeja putih polos bukaan hadapan dengan jalur hitam dan merah masing-masing pada pergelangan tangan dan bahu serta butang hitam sebagai pelengkap aksesori menjadikan aura maskulin seorang jejaka sejati lebih ketara.

Pemakaian kemeja ATL boleh dipadankan bersama seluar jean hitam atau rona bumi untuk impak gaya lebih kontemporari.

Didatangkan dengan harga yang serendah RM59 untuk lengan pendek dan RM69 untuk lengan panjang, koleksi hebat itu boleh didapati melalui ejen ATL seluruh negara atau mengikuti laman Instagram @aliffsyukriterlajaklaris untuk keterangan lanjut.

Sumber: Kosmo! Online