Kerisik Nuur Anniesak Trading

Pengalaman lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan santan memberi idea kepada pasangan yang menetap di Seberang Jaya, Pulau Pinang mempelbagaikan penggunaan kelapa dengan menghasilkan produk kerisik.

Uniknya, kerisik diusahakan pasangan suami isteri bersama tiga pekerja itu bukan saja boleh digunakan dalam masakan kari dan rendang, bahkan dapat dipelbagaikan untuk beberapa masakan lain.

Muhammad Mahatma Abdullah, 55, bersama isteri Nhajmun Sindar Madar, 47, mengambil inisiatif mempelbagaikan jenis perniagaan dengan membabitkan diri dalam pembuatan kerisik di sebuah kilang yang disewa melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Kubang Menerong, Tasek Gelugor, hampir lima tahun lalu.

Kejayaan itu diperoleh selepas Muhammad diang­kat menjadi usahawan bimbingan PERDA hingga membolehkan dia dan isteri menerajui perniagaan kerisik di bawah syarikat Nuur Anniesak Trading.

Muhammad berkata, selaku pemilik dia mengusahakan pembuatan kerisik selepas pulang menjual santan di Pasar Awam Seberang Jaya dan Pulau Tikus, Georgetown.

“Saya terbabit dalam perniagaan menjual santan lebih 20 tahun dan mendapat idea menjual kerisik selepas mendapati ada pelbagai kegunaan yang boleh dihasilkan menggunakan kelapa.

“Melalui dorongan isteri, saya mencuba dan bantuan PERDA membolehkan memulakan perniagaan ini yang kini sudah dijalankan hampir lima tahun dengan pasaran membabitkan kawasan di sekitar negeri di utara khususnya Pulau Pinang, Kedah dan Perak,” katanya.

Produk kerisik resipi keluarganya itu turut mendapat permintaan di negeri pantai timur iaitu Pahang serta Kelantan dan kini dalam proses berbincang dengan ejen di Terengganu.

“Kerisik saya mula mendapat perhatian sejak saya bertemu seorang cef yang memperkenalkan beberapa resipi meng­gunakan kerisik dalam pelbagai jenis masakan selain kari dan rendang.

“Ketika itu, saya dan isteri mula mempelajari cara memasak pelbagai jenis resipi dengan memasukkan kerisik diusahakan kami.

“Kami tidak sangka rasanya begitu lain hingga mendapat idea mempromosi produk ini kepada pengguna Facebook.

Apabila saya meletakkan satu resipi setiap hari di laman sosial itu, bermakna saya perlu menyediakan 365 resipi setahun,” katanya.

Antara masakan yang boleh menggunakan produknya ialah ikan kerisik masak enam rasa, ayam goreng berempah kerisik, ikan rebus kerisik, telur goreng kerisik dan biskut kerisik.

Muhammad berkata, kaedah perkongsian itu menjadikan permintaan terhadap produknya kini meningkat dan mengeluarkan kira-kira 30,000 peket kerisik sebulan dengan memperoleh keuntungan RM12,000 berbanding pada awal pembabitannya dalam perniagaan itu yang hanya mengeluarkan kira-kira 5,000 peket kerisik sebulan.

“Penggunaan kelapa mawar menyebabkan kerisik ini mendapat permintaan kerana rasa dan baunya wangi dan bekalan kelapa itu diperoleh daripada pembekal tempatan serta dari Perak dan Kelantan.

“Selain itu, pembungkusan menggunakan kerajang aluminium berbanding plastik biasa menyebabkan kerisiknya diminati kerana produk itu tahan lama dan boleh digunakan selama setahun.

“Ketika ini, saya dalam proses menghasilkan produk minyak kelapa dara yang akan dipasarkan tidak lama lagi,” katanya.