Krim Penyembuh Luka MU-DERM

SEPASUKAN penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan inovasi unik berupa krim sapuan ekstrak daripada lendir ikan haruan yang berupaya mempercepat proses penyembuhan luka pada permukaan kulit.

Bukan sekadar pantas menyembuh, produk yang dikenali sebagai MU-DERM itu turut bertindak sebagai antibakteria, antiinflamatori (kurangkan kesan bengkak) dan sangat sesuai digunakan pada bayi dan kanak-kanak serta yang berkulit sensitif.


Ketua Penyelidik MU-DERM yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Prof. Madya Dr. Amin Malik Shah Abdul Majid berkata, krim berkenaan difomulasikan berasaskan mekanisme angiogenesis.

“Angiogenesis adalah satu proses pembentukan salur darah baharu. Dalam konteks MU-DERM, kami mencari bahan aktif yang paling sesuai untuk meningkatkan penghasilan salur darah baharu itu.

“Justeru, lendir pada ikan haruan mempunyai protein-protein khusus yang menggalakkan angiogenesis dan ia membolehkan proses penyembuhan luka berlaku dengan lebih pantas berbanding produk sedia ada,” katanya.

Jelas beliau, penyelidikan itu dijalankan dengan kerjasama pembantu penyelidik, Saad Sabbar Dahham, Dr. Aman Shah Abdul Majid, Profesor Dr. Gam Lay Harn, Yasser M. Tabana dan Dr. Khadeer M. A. Basheer.

Katanya lagi, untuk memastikan kualiti penghasilan produk itu sentiasa terjaga, pihaknya menjalankan proses ekstrak piawai bagi memastikan protein-protein yang diperlukan hadir dalam setiap sukatan.

Tambahnya, mukus yang diekstrak daripada ikan haruan dicampurkan dengan beberapa bahan semula jadi yang lain termasuk minyak kelapa dara dan lilin lebah bagi mengoptimumkan kesan penyembuhan.

“Formulasi krim sapuan ini amat sesuai digunakan terhadap sebarang jenis luka terbuka pada kulit kerana ia tidak mengandungi bahan pengawet, pewarna dan pewangi.

“Paling penting, ia berupaya mempercepatkan proses penyembuhan 50 peratus lebih pantas berbanding produk sedia ada, selain membantu meningkatkan mata pencarian golongan usahawan tani,” katanya.

Produk yang dibangunkan menerusi geran berjumlah RM100,000 itu turut diiktiraf di persada kebangsaan dengan memperoleh pingat emas dalam pertandingan Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2015 di Kuala Lumpur tahun lalu.

Sumber: Kosmo! Online