Kursus Kemahiran Azmida Training Centre (ATC)

Ketika di bangku sekolah, pencapaian akademik Mohamad Faiz Aziz, 20, sangat lemah, barangkali dia sukar memahami pelajaran yang diajar gurunya.

Namun, kehidupannya pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lembam itu berubah apabila terpilih mengikuti Kursus Pendawaian Elektrik di Azmida Training Centre (ATC) di Batu Caves, Selangor sejak dua tahun lalu.

“Ketika mula-mula masuk ATC dulu, saya hampir berputus asa kerana amat susah untuk memahami sistem elektrik yang kompleks.

“Begitupun, saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan atas bantuan rakan-rakan sekelas serta tenaga pengajar, saya berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2,” katanya.

Lebih bermakna dia dinobatkan sebagai pelajar terbaik kategori pelajar khas dengan pencapaian markah purata melebihi 80 peratus bagi setiap semester pada Majlis Konvokesyen ATC Siri Kedua baru-baru ini.

“Saya masih ingat ketika menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat pembinaan tahun lalu, majikan pada mulanya teragak-agak mengambil saya. Berkat kesungguhan yang ditunjukkan akhirnya mereka berpuas hati dengan hasil kerja saya.

“Begitupun, saya tekad menyambung pengajian selama setahun lagi dalam kursus sama untuk mendapatkan SKM Tahap 3 sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Berkongsi anugerah yang sama, Mohd. Azliesham Swan, 19, dari Tumpat, Kelantan berkata, dia gembira dapat membuktikan kemampuan diri kepada keluarga untuk hidup berdikari dan merantau jauh ke ibu kota semata-mata menuntut ilmu.

Dia turut bersyukur kerana yuran pengajiannya ditanggung sepenuhnya Kementerian Pendidikan Bahagian Pendidikan Khas (BPK).

“Golongan OKU macam kami ini biasa dipandang rendah, dianggap tidak mampu berdikari dan tidak boleh diharap. Saya pun mula-mula berfikir begitu juga dan rasa bimbang berjauhan dengan keluarga.

“Saya kuatkan hati dan bertekad tidak mahu pulang kampung tanpa apa-apa pencapaian.

Alhamdulillah...saya dapat habiskan SKM Tahap 2 dengan markah yang tinggi dan kini sudah tiga bulan mengikuti sijil SKM Tahap 3.

“Bidang ini ada prospek kerjaya yang cerah dan saya berhasrat melanjutkan pelajaran sehingga peringkat diploma,” ujarnya.

ATC adalah sebuah pusat latihan persendirian yang memberi keutamaan kepada golongan OKU, asnaf dan individu yang tercicir dalam pelajaran untuk mendalami bidang kemahiran.

Kini, terdapat 200 pelajar sedang mengikuti kursus sijil dan diploma yang mengambil masa dua hingga tiga tahun dengan 50 peratus penuntutnya terdiri daripada Murid Berkeperluan Khas.

Kesemua mereka yang diperoleh daripada senarai Kementerian Pendidikan BPK.

Percaya

Pengasas dan Pengarah ATC, Mohd. Azmi Md. Eusoff berkata, beliau percaya hakikat kecemerlangan dan kayu ukur kejayaan adalah berbeza bagi setiap orang.

“Disebabkan itu, ATC menawarkan pengajian kepada golongan OKU, asnaf dan individu yang tercicir dalam pelajaran.

“ATC menawarkan kursus-kursus seperti Pelukis Pelan Seni Bina, Jurudandang dan Program Pegawai Latihan Vokasional serta Diploma Sistem Maklumat,” katanya.

Menurut Mohd. Azmi, pihaknya percaya golongan berkenaan mampu berjaya berikutan tahap intelek dan pemikiran mereka berfungsi dengan baik.

Golongan tersebut, katanya, cuma perlu diberi perhatian lebih dan pendedahan.

“Kami perlu menyakinkan para pelajar bahawa mereka boleh berjaya. Menerusi pendekatan ini, ia mampu memberi semangat baharu kepada mereka untuk berusaha lebih gigih,” ujarnya.

Tegas

Mohd. Azmi, 51, yang juga pesara tentera berkata, beliau menggunakan pendekatan tegas dalam mendidik, malah akan menyemak kehadiran pelajar setiap pagi dan menelefon pelajar yang tidak hadir.

Bekas Pegawai Waran I itu turut menitikberatkan perkembangan sahsiah pelajar agar mereka menunjukkan sikap dan akhlak terpuji.

ATC juga, katanya, bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan untuk menjalankan ujian saringan kepada semua pelajarnya setiap bulan.

Mesra dengan panggilan Cikgu Azmi, beliau tidak mengasingkan golongan MBK dengan pelajar biasa dan mewajibkan pelajar solat berjemaah pada waktu Zuhur dan Asar selain mengikuti slot kerohanian seminggu sekali.

“Kalau tiada urusan, saya sendiri akan menjadi imam. Kehadiran direkodkan dengan harapan mereka akan terbiasa dengan amalan tersebut,” katanya.

Ujarnya, cabaran besar dalam mendidik pelajar kategori MBK adalah sewaktu tiga bulan pertama mengikuti pengajian.

Beliau berkata, latihan amali dan praktikal lebih ditekankan berbanding teori bagi meningkatkan kefahaman pelajar.

“Kesabaran dan komitmen amat penting dalam mendidik anak istimewa. Kita kena ikhlas mengajar kerana perasaan mereka sensitif.

“Kami sering menekankan bahawa mereka sebenarnya tiada kekurangan dan mampu buat lebih baik daripada yang disangkakan,” katanya.

ATC yang mendapat akreditasi Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia turut membiayai 30 pelajar terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

Tambahnya, pusat itu turut menyediakan program jangka pendek selama dua hingga tiga bulan seperti kelas pengucapan awam dan komputer.

 Sumber: Kosmo! Online