Kursus Perhebat Angkatan Tentera Malaysia

Bersara awal memerlukan perancangan jangka masa panjang yang baik agar sumber kewangan mencukupi bagi menampung perbelanjaan pada masa akan datang.

Bagi bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zainuddin Idris, 47, beliau bersyukur kerana berpeluang mengikuti kursus di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

“Setelah berkhidmat selama 22 tahun dalam ATM saya mengambil keputusan untuk bersara awal dan menjalani latihan di Perhebat yang menyediakan kursus khas dengan memberikan ilmu kemahiran.

“Saya memilih kursus Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik kerana amat meminatinya sejak kecil sehinggakan sangat teruja setiap kali cikgu mengajar mengenai komponen-komponen itu.

“Saya juga amat meminati radio amatur dan ia merupakan pendorong kuat untuk menguasai ilmu tersebut,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.

Menurut bapa kepada enam orang cahaya mata itu, ilmu kemahiran itu amat penting untuk mencari peluang pekerjaan kedua selepas bersara kerana kebanyakan anggota ATM bersara pada usia muda iaitu awal 40-an.

Ceritanya lagi, modul pembelajaran di Perhebat mudah dipelajari dan mengikuti perkembangan semasa di samping tenaga pengajar terlatih.

“Pada awalnya, saya hanya mengetahui ilmu asas elektrik dan elektronik tetapi pembelajaran selama enam bulan di pusat latihan itu mengasah kemahiran dan potensi dalam bidang tersebut.

“Setelah selesai kursus pada tahun 2012, saya bertekad membuka DinBesut Elektrik yang menawarkan perkhidmatan pemasangan serta membekalkan peralatan elektrik dan elektronik,” terangnya yang amat menggemari sukan lasak dan radio amatur.

Beliau turut menjalin kerjasama dengan Kot Electrical Engineering Sdn. Bhd. dan Kot Electrical Engineering serta diberi kepercayaan untuk memegang peranan sebagai Pengarah Projek.

Menerusi kerjasama itu, mereka menghasilkan kotak suis utama untuk mengawal tenaga elektrik dan panel kawalan.

Antara pelanggannya ialah Bigdutchman iaitu sebuah syarikat perladangan dari Jerman.

Seorang lagi pelatih dalam bidang Penyediaan Makanan dan Sajian, Pegawai Waren Udara II Masshurah Jaffar, 43, berkata, sejak lapan bulan lalu, beliau mempelajari ilmu masakan dengan lebih mendalam.

“Sudah lama saya memendam hasrat untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang masakan dan berada di sini merupakan peluang keemasan untuk merealisasikan impian tersebut.

“Saya sering membantu keluarga menguruskan kedai makan dan ia membangkitkan semangat untuk saya turut sama menjalankan perniagaan seumpama itu setelah bersara kelak,” katanya yang telah berkhidmat selama 21 tahun.

Keyakinan diri

Ujar ibu kepada empat orang cahaya mata itu, beliau sangat seronok mengikuti kursus di Perhebat kerana rakan-rakan seperjuangannya turut serta dan mereka saling membantu antara satu sama lain.

Wanita yang berasal dari Muar, Johor itu mengakui, pembelajaran dan latihan di Perhebat membina keyakinan dirinya untuk berjaya dalam bidang masakan.

“Menariknya, kami tidak rasa seperti sedang belajar kerana didedahkan dengan situasai sebenar apabila perlu mengendalikan gerai makanan.

“Apabila tamat latihan kelak, saya bercadang untuk membuka kedai makanan yang berkonsepkan makanan Melayu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Latihan Perhebat, Kem Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Sarjan Mejar Rejimen Ahmad Sahmulaili Ahmad Batoni, 40, yang mengikuti kursus Jahitan Pakaian Wanita pula berhasrat ingin membantu isterinya menjahit pakaian.

“Sebagai anak sulung, saya membantu ibu yang merupakan tukang jahit. Secara tidak langsung, saya mempunyai asas-asas jahitan.

“Isteri turut menjahit pakaian, maka saya bercadang untuk mengkomersialkannya selepas bersara nanti,” katanya yang telah berkhidmat selama 22 tahun.

Tambahnya, untuk membuka kedai jahit tidak memerlukan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM50,000.

Peluang

Mengulas mengenai pembelajaran di Perhebat, Ahmad Sahmulaili berkata, beliau mengikuti kelas bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan yang menyediakan kursus seumpama ini bagi memastikan kehidupan bekas anggota ATM terbela dan membuka peluang pekerjaan baharu.

“Pada peringkat awal agak sukar kerana banyak perkara perlu dipelajari seperti pengendalian mesin jahitan dan membuat potongan kain mengikut ukuran sebenar tetapi berkat tunjuk ajar daripada pengajar segalanya dapat dilakukan dengan lancar,” katanya yang mengambil kursus tersebut bagi tempoh 18 bulan.

Sementara itu, tenaga pengajar, Suffian Sidek berkata, sebanyak enam kursus berkaitan masakan ditawarkan di Perhebat seperti Kursus Kontraktor Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Usahawan Masakan Komersial, Pengurusan Penghasian Pastri dan Pengurusan Usahawan Bakeri.

“Pelatih boleh memilih salah satu daripada kursus tersebut dan tempoh latihan adalah enam bulan, 12 bulan dan 18 bulan.

“Pelatih yang mengikuti kursus Usahawan Masakan Komersial perlu menjalani latihan praktikal dengan mengendalikan pengurusan gerai sebanyak tiga kali seminggu pada pukul 10 pagi.

“Walaupun gerai tersebut dibuka setengah jam sahaja tetapi mereka perlu membuat persediaan bahan-bahan memasak bermula pukul 7 pagi lagi,” katanya yang sudah 14 tahun mengajar di Perhebat.

Beliau yang juga merangkap Ketua Seksyen Pusat Pengurusan Perkhidmatan Makanan berkata, sebanyak 15 hingga 20 menu disediakan di gerai tersebut.

Suffian yang mempunyai sembilan tahun pengalaman sebagai cef di beberapa hotel terkemuka di ibu negara berkata, pelatih wajib mempelajari pembuatan roti canai dan masakan panas kerana ia mendapat permintaan tinggi.

Anak kelahiran Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur itu memberitahu, pelatih juga diajar cara penyediaan makanan, keselamatan dan kebersihan dapur.

Sumber: Kosmo! Online