Melancong Mengembara Motorhome Australia

“Lebih seronok daripada tidur di hotel.”

Itulah ayat pertama yang terpacul daripada mulut Nor Azura Abdullah, 32, apabila ditanya tentang percutian menaiki motorhome di Australia baru-baru ini.

Selain tidak perlu mengeluarkan bajet untuk tidur di hotel atau bersusah payah mencari tempat tidur, motorhome lengkap dengan segala kemudahan untuk memastikan pelancong selesa.

“Saya menanggung kos sekitar RM1,700 tidak termasuk tiket penerbangan. Percutian kali ini di luar jangkaan kerana banyak tempat yang boleh dilawati dalam tempoh enam hari.

Motorhome itu lengkap dengan kemudahan ibarat sebuah rumah seperti peralatan memasak, peti sejuk, katil, bilik air dan ruang tamu. Saiznya agak besar iaitu seperti lori berbanding karavan.

Motorhome mampu memuatkan enam orang berbanding karavan dua hingga empat orang.

Motorhome di Australia seumpama satu gaya hidup. Orang Australia biasanya ada motorhome sendiri yang dijadikan kegunaan harian.

Selain jalan raya besar dan luas serta mesra motorhome, boleh dikatakan setiap bandar disediakan tempat meletak kenderaan itu dengan pelbagai kemudahan.

Ketika percutian itu, Nor Azura dan lima rakannya memasak pelbagai mudah untuk dinikmati sepanjang perjalanan atau ketika berhenti rehat.

“Sebaik tiba di Perth, saya pergi ke pasar dan membeli daging untuk dimasak.

“Memang rasa seronok dan berbaloi kerana waktu percutian ini dinikmati sepenuhnya, malah ia mengeratkan lagi silaturahim kami,” jelasnya kepada Kosmo!

Nor Azura yang bekerja sebagai konsultan kerap mengembara ke serata negara dunia mengakui percutian menaiki motorhome menjadikan perjalanan lebih mudah dan selesa.

Dia yang baru kali pertama mencubanya di Australia tahun lalu memberitahu, ia juga lebih santai dan sesuai bagi mereka yang ingin menjelajah sesuatu tempat itu secara lebih dekat.

“Di Australia, konsep percutian Motorhome ini sudah lama diamalkan. Ia semakin menjadi trend terutama kepada mereka yang ingin menjimatkan masa dan kos.

“Mereka juga memilih tepi jalan sebagai tapak perkhemahan. Jadi, banyak karavan akan berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya.

“Kawasan tapak perkhemahan ini juga mempunyai beberapa kemudahan seperti bilik air, mesin basuh dan pengering. Jadi, tidak perlu membasuh pakaian di dalam motorhome,” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Haryati Safwan, 33, seorang jurutera di Johor Bahru menganggap, percutian menaiki motorhome sebagai berbaloi dan menarik.

“Bagi mereka yang ingin melancong dengan bajet yang sederhana, mengembara menaiki motorhome merupakan pilihan yang bijak. Ini kerana, ia menjimatkan kos, tetapi boleh mengembara ke banyak lokasi menarik di sesuatu negara itu.

“Kami hanya perlu mengeluarkan duit minyak dan perbelanjaan untuk memasak sepanjang tempoh bercuti,” katanya.

Haryati memberitahu, kos keseluruhan yang dibelanjakannya tidak melebihi RM3,500. Selain itu, dia dan rakan-rakannya boleh memasak dan tanpa perlu risau untuk mencari restoran halal.

Paling seronok, katanya, dia berpeluang memandu kenderaan jenis Volkswagen itu sejauh 1,200 kilometer.

Gear automatik

“Motorhome menggunakan gear automatik yang membolehkan sesiapa sahaja memandunya.

Pemandu atau pelancong hanya memerlukan sistem kedudukan sejagat untuk ke destinasi yang diingini (GPS).

“Saya berasa sangat seronok kerana dapat memandu di negara orang sambil menikmati pemandangan menarik di kiri kanan jalan,” jelasnya yang akan berhenti seketika di lokasi-lokasi menarik untuk merakamkan gambar kenangan.

Cabaran memandu motorhome ini, katanya, selain saiznya yang besar, ketika hujan ia perlu dipandu dengan berhati-hati. Keadaan angin ketika hujan boleh menyebabkan ia bergoyang.

Percutian ke Australia tersebut merupakan kali kedua Haryati menggunakan motorhome. Kali pertama adalah ketika dia bercuti di Eropah dua tahun lalu.

Menurutnya, semasa percutian di Eropah, dia tidak memandu kerana cara pemanduan berbeza iaitu di sebelah kiri.

Begitupun, pengalaman manis ketika menaiki motorhome di Eropah membuatkannya memilih konsep sama ketika bercuti di Australia.

Katanya, konsep motorhome juga sesuai untuk mereka yang gemar mengembara atau bercuti di tepi pantai dan kawasan tinggi.

“Banyak tempat cantik dan menarik yang boleh dikunjungi tanpa memerlukan khidmat pemandu pelancong yang kadangkala mengenakan caj tambahan.

“Konsep percutian motorhome juga amat sesuai untuk pelancong Muslim kerana tidak perlu bimbang terutama bab makanan dan solat,” jelasnya.

Pengasas Bersama Red Stiletto Camper (RSC), Najwah Halimah Ab. Laim berkata, RSC merupakan anak syarikat kepada RedStiletto Group of Company di Johor Bahru, Johor yang beroperasi sejak 2014.

“Kami menawarkan pengembaraan yang berbeza dengan menerusi lokasi yang lebih jauh termasuk kawasan pedalaman.

“Tujuan kami adalah untuk lebih dekat dengan komuniti tempatan dan menikmati pemandangan yang sukar diperoleh di kawasan bandar.

“Contohnya di Perth, kita mengembara ke barat Australia yang merangkumi perjalanan hampir 2,000 kilometer,” katanya pelancong turut dibawa ke New Zealand dan Eropah.

Sumber: Kosmo! Online