MyParang.com di Pasaran Antarabangsa


UMPAMA parang buruk, tali sabut tidak tergolok. Bidalan lama itu membawa maksud seseorang yang tidak berdaya melakukan sesuatu pekerjaan kerana terlalu lemah.

Ia sekali gus mencerminkan betapa parang begitu akrab dan mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan masyarakat suatu ketika dahulu.

Meskipun muncul pelbagai inovasi pisau dan alat pemotong moden untuk memenuhi keperluan serta kehendak semasa, fungsi dan peranan parang masih relevan sehingga kini.

Pengeksport dan pengusaha parang, Ahmad Nadir Askandar, 39, berkata, pengumpul koleksi senjata tajam terutamanya dari luar negara sangat menghargai nilai estetika yang terkandung dalam senjata tradisional Melayu itu.

Pemilik jenama myparang.com itu boleh berbangga apabila produk keluarannya berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti New Zeland, Goa, Switzerland, Australia, Perancis dan Kanada.

Malah, Ahmad Nadir yang turut mendaftarkan paten parangnya menggunakan nama Bidor Malaysia itu mempunyai pengedar sendiri berpangkalan di Britain dan Amerika Syarikat sejak terjun dalam arena pembuatan parang pada 2014.

“Bidor Malaysia ditempa oleh pandai besi yang berasal dari Bidor, Perak menggunakan besi karbon berkualiti tinggi dan mempunyai gelung tembaga pada hulunya.

“Pada asalnya, bilah parang yang dihasilkan itu berwarna hitam sebelum disepuh menggunakan teknik khas yang menyebabkannya bertukar kepada warna perak.

“Besi jenis ini lebih tahan lasak dan sesuai digunakan untuk tujuan menebas hutan atau memotong buluh,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ahmad Nadir yang aktif menulis pelbagai artikel mengenai parang di laman web myparang.com dalam bahasa Inggeris berkata, lebih mengujakan banyak laman web dan saluran YouTube dari luar negara berkongsi pengalaman menggunakan produk keluarannya.

“Mereka memberi maklum balas positif menerusi ulasan di blog dan laman forum selain memuat naik demo penggunaan parang di YouTube.

“Hal ini membuatkan saya semakin berkobar-kobar untuk menambah baik strategi perniagaan di samping rasa beruntung dapat mempromosi nama negara dengan cara saya sendiri,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Lapan model

Katanya, memandangkan Bidor Malaysia adalah buatan tangan, ia bersifat eksklusif dan pengeluaran terhad jika dibandingkan dengan tukang besi yang beroperasi di kilang kerana boleh menghasilkan pelbagai alat pertukangan serta pertanian pada skala besar.

“Terdapat lapan model dengan reka bentuk berbeza bagi memenuhi permintaan pelanggan antaranya Duku Chandong, Tangkin, Bulan, dan golok yang popular dalam kalangan pendaki serta mereka yang sering terlibat dalam aktiviti meneroka hutan.

“Kira-kira 80 hingga 100 bilah parang dihantar untuk eksport ke luar negara setiap dua hingga tiga bulan sekali dan dijual pada harga premium antara RM205 hingga RM274 setiap satu,” katanya,

Anak kelahiran Pulau Mutiara itu menyasarkan untuk mencari lebih ramai pengedar dari luar negara yang boleh mempromosi produk keluaran syarikatnya.

Produk ini mempunyai prospek cerah dalam pasaran dan kita turut bercadang mempelbagaikan varian keluaran dengan memperkenalkan parang panjang pada masa akan datang,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online