Pakar Sarung Parang - Jalan Raja Muda Abdul Aziz

Jam baru menunjukkan pukul 7 pagi, namun orang ramai sudah mula memenuhi Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Lokasi medan selera ini terletak betul-betul di sebelah Hospital Kuala Lumpur, menjadikan ia tempat keluarga para pesakit dan kakitangan hospital tersebut mendapatkan juadah sarapan pagi.

Turut menjadi pelanggan setia ialah warga kota yang bekerja di kawasan berhampiran. Medan selera ini tidak pernah gagal menyediakan pilihan menu sesuai dengan cita rasa Malaysia.

Zainuddin Abd. Samat, 65, bukanlah orang asing di sini. Mereka yang berkunjung pasti tidak akan terlepas pandang satu-satunya gerai jualan di kaki lima di medan selera itu.

Barang jualannya juga bukanlah makanan, tetapi segala jenis alatan tajam seperti parang, golok, pisau, gunting dan pengait buah.

Perniagaan tersebut diusahakannya sejak 17 tahun lalu. Beliau berniaga saban hari, berpanas dan berhujan demi mencari rezeki.

“Pada awalnya, saya berniaga barangan permainan kanak-kanak. Itu bermula pada 1998 selepas kegawatan ekonomi. Saya terpaksa berhenti kerja sebagai penjual kereta. Kemudian baru beralih menjual pisau setahun selepas itu,” kata Zainuddin memulakan cerita.

Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu beralih menceburi perniagaan alatan tajam berikutan cintanya terhadap seni pembuatan sarung parang.

Zainuddin hanya menumpukan kepada pembuatan sarung parang kerana itulah kemahiran yang dimilikinya.

“Parangnya biar orang lain yang buat kerana mereka lebih pandai. Saya buat apa yang saya mahir iaitu sarungnya. Daripada sarung parang, pisau hinggalah ke pedang samurai saya boleh buat,” jelas beliau.

Sarung-sarung parang yang dibuatnya ditempah khas oleh pelanggan. Beliau mempunyai pelanggan tetap yang biasanya akan memperkenalkan barangannya kepada pelanggan-pelanggan baharu.

Proses pembuatan sarung parang dibuat di bengkel mini di rumahnya di Subang Jaya. Beliau biasanya memulakan kerja selepas solat Isyak dan bertukang antara dua dan tiga jam setiap malam bagi menyiapkan tempahan.

Jenis kayu

Kayu yang digunakan juga pelbagai jenis. Antara jenis kayu yang biasa digunakannya ialah cengal, meranti, kempas dan merbau.

Sebilah parang sepanjang 30 sentimeter lengkap dengan mata pisau dan sarung biasanya dijual pada harga RM160 sebilah. Harga berubah mengikut saiz mata parang yang ditempah.

Untuk sarung pedang seperti pedang samurai, harga jualan boleh mencecah RM550 sebilah.

Kayu yang dibeli daripada pembekal biasanya dalam bentuk papan. Ia kemudiannya dipotong dan ditebuk sesuai dengan saiz bilah parang.

Gam kayu digunakan untuk melekatkan dua bahagian sarung yang sudah dibentuk mengikut saiz mata parang. Ia kemudian dibiarkan hingga kering agar kedua-dua bahagian kayu melekat dengan kuat.

Setelah itu barulah Zainuddin akan menarah bahagian luar sarung parang untuk menipiskannya sesuai dengan bentuk yang diingini. Secara asas, sarung parang sudah siap, hanya memerlukan sedikit perincian sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Beliau menggunakan mesin pengisar untuk menghaluskan lagi bentuk sarung parang dan membuat ukiran di atasnya.


[Peta lokasi: Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur]

Selesai itu barulah sarung parang disapu varnis untuk mengilatkannya. Beberapa lapisan varnis disapu untuk kemasan yang baik, sekali gus memikat hati pelanggan.

“Biasanya, saya berjanji kepada pelanggan yang tempahan mereka akan siap dalam masa seminggu tetapi biasanya dalam tiga ke empat hari dah boleh siap,” ujarnya yang biasa menerima tempahan kira-kira 10 sarung parang sebulan.

Bertahan selama 17 tahun dalam perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak halangan perlu dilalui terutamanya sebagai peniaga jalanan.

“Berniaga ini bukan senang. Terutama barang jualan saya, bukan boleh sewenang-wenang buka perniagaan barang tajam. Adakalanya diganggu juga pihak berkuasa tapi kita mestilah sentiasa sabar dan ikut arahan,” kata Zainuddin yang tiba awal ke tapak perniagaan.

Menghadapi cabaran ekonomi hari ini, Zainuddin amat menggalakkan golongan muda untuk menjadikan perniagaan sebagai satu sumber pendapatan baik secara sepenuh masa atau sambilan.

“Pertamanya, kena yakin diri. Cari tempat, barangan dan modal berniaga walaupun kecil. Semangat perlu gigih, minat perlu ada dan yang paling penting ikhlas dan jujur.

“Yang utama adalah jujur kepada diri sendiri, barulah kita boleh jujur dengan orang lain,” nasihat beliau.

Sumber: Kosmo! Online