Perkhidmatan Teksi Melalui Aplikasi Grab

Adakah sistem pengangkutan mampu berubah dengan satu aplikasi?

Persoalan terbabit mungkin bermain di minda anda dua atau tiga tahun dulu.

Mana tidaknya, pengangkutan utama di bandar besar seperti Kuala Lumpur banyak bergantung kepada kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam.

Meskipun sistem kereta api seperti Sistem Aliran Ringan (LRT) sudah lebih satu dekad, kenderaan persendirian disifatkan lebih mudah dan selesa untuk bergerak dari point A ke point B.

Tidak seperti bandar antarabangsa yang lain, meskipun padat, ramai pengguna memilih ciri selesa ketika menggunakan sistem pengangkutan di bandar.

Malah, ada juga mengaitkan sistem pengangkutan awam seperti LRT dan bas kepada kelas tertentu saja.

Apabila dilihat faktor cuaca pula, kadang-kadang ia tidak memihak kepada pengguna untuk menggunakan kereta api atau bas apabila terpaksa berpanas atau berhujan untuk pergi ke stesen tertentu yang bukannya dekat atau menunggu di lokasi untuk tempoh yang lama.

Sekali lagi, faktor terbabit menjadikan kenderaan persendirian akhirnya dipilih untuk urusan seharian di bandar. Pergi ke bank, mesyuarat, menyemak dokumen kerajaan dan sebagainya dilakukan dengan menaiki kenderaan masing-masing.

Walaupun tanpa disedari, kos petrol, tol atau parkir mungkin agak mahal namun semuanya terpaksa dilakukan demi keselesaan dan keselamatan. Sudah pasti penat mengangkut dokumen ke hulu hilir jika menggunakan kereta api atau bas.

Maka, tinggal satu lagi pilihan iaitu teksi namun masalah biasa yang timbul di Kuala Lumpur adalah segelintir pemandu yang tidak mengikut peraturan.

Sudah menjadi kebiasaan mendengar rungutan seperti tambang teksi tidak ikut meter, pemandu kurang sopan, membahayakan penumpang dan tidak mahu mengambil penumpang pada waktu tertentu yang akhirnya menyulitkan pengguna sendiri.

Sebab itu, tiada pilihan selain menggunakan kereta sendiri untuk bergerak di bandar meskipun jarak biasanya dua hingga tujuh kilometer saja.

Selain kereta api dan bas, sistem pe­ngangkutan bandar patut berubah dengan aliran kenderaan persendirian perlu dikurangkan.

Di sinilah, peranan seperti aplikasi Grab ditagih bagi me­ngelak kesesakan. Bukan itu saja, ia membantu pemandu teksi untuk lebih berdisplin dan pengguna berasa lebih selesa tidak ditipu bulat-bulat.

Pengguna lebih selesa menggunakan Grab yang dulunya dikenali sebagai MyTeksi berikutan faktor keselamatan yang lebih terjamin selain harga tambang lebih murah.

Pengasas Bersama Grab, Hooi Ling Tan berkata, aplikasi itu semakin mendapat sambutan pengguna sejak diperkenalkan pada Jun 2012.

“Penumpang akan menerima maklumat lengkap seperti nama pemandu, nombor telefon, nombor plat kereta serta anggaran tambang dalam masa seminit selepas membuat tempahan.

“Melalui maklumat itu, pengguna akan lebih selamat kerana sekiranya berlaku sebarang jenayah atau masalah dengan pemandu, maklumat itu akan dirujuk pihak berkuasa melalui aduan,” katanya.

Beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama, Anthony Tan mencipta aplikasi terbabit berdasarkan penggunaan teksi secara peribadi.

“Kerja saya dulu memerlukan komitmen hingga pulang lewat malam dan sudah pasti sukar untuk mendapatkan teksi pada waktu terbabit.

“Hendak menahan teksi di tepi jalan pun memang takut,” katanya.

Beliau berkata, penumpang juga tidak akan tertipu khususnya tambang kerana harga yang diberikan kepada penumpang berpatutan mengikut jarak.

“Harga yang dikeluarkan adalah anggaran mengikut jarak dan keadaan lalu lintas,” katanya.

Aplikasi Grab memperkenalkan tiga ciri baru pada aplikasinya yang memberi kesan positif kepada pertumbuhan syarikat aplikasi terbabit di negara ini.

Tiga ciri terbabit termasuk Flash, GrabPay dan GrabWork.

Flash mempamerkan semua jenis kenderaan yang ada di atas jalan raya termasuk teksi atau kenderaan persendirian yang berdekatan dengan anda manakala GrabPay pula membolehkan pengguna memasukkan lebih daripada satu kad kredit, pilihan membayar tunai atau menggunakan kad kredit individu lain yang disahkan.

Manakala GrabWork pula membolehkan pengguna mengakses resit berdasarkan tetapan pada aplikasi yang menunjukkan perjalanan anda bertujuan memudahkan tuntutan kerja.

Tan berkata, Grab baru ini membolehkan jenama terbabit diterima di peringkat antarabangsa.

“Kami bukan lagi sekadar aplikasi menempah teksi, tetapi mengikut negara tertentu, pengguna boleh menempah kenderaan persendirian, motosikal dan lori,” katanya.

Mengulas mengenai peluasan operasi MyTeksi, Tan memaklumkan syarikatnya giat membuat penyelidikan dalam usaha menawarkan antaramuka yang mesra pengguna di Malaysia.

“Setiap negara mempunyai ciri unik tersendiri yang memerlukan fungsi aplikasi berbeza,” katanya menambah,Grab kini mempunyai tiga lokasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Seattle, Amerika Syarikat, Beijing, China dan Singapura.

Grab yang berasal dari Malaysia kini beroperasi di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang mendapat sambutan di luar dugaan sehingga membolehkannya diiktiraf antara syarikat pemula Asia paling berkembang di dunia.

Aplikasi MyTeksi memulakan operasinya Jun 2012 dan ia terus menjadi tumpuan sebagai aplikasi paling meningkat di Malaysia dan Asia Tenggara. Ia kemudian memperluaskannya kepada tempahan kenderaan persendirian dikenali GrabCar.

Sumber: myMetro