Pua Kumbu Tenunan Kaum Iban

LINCAH jari-jemarinya menjalin helaian benang untuk menghasilkan corak yang telah berada di dalam minda sehingga menjadi sehelai kain.

Nyata bukan satu kerja yang mudah, sebaliknya memerlukan konsentrasi serta kemahiran menenun yang tinggi. Bukan semua orang mampu melakukannya terutama sekali apabila yang ditenun itu ialah sehelai pua kumbu.

Pua kumbu yang merupakan kain tenunan tradisi masyarakat Iban di Sarawak, juga dianggap karya eksklusif dan hanya digunakan pada masa-masa tertentu.

Diakui sebagai salah satu bahan warisan yang tidak ternilai mutu seninya, keaslian hasil tenunan masyarakat Iban ini secara tidak langsung menggambarkan identiti pewarisnya.

Menyifatkan tenunan pua kumbu satu warisan yang harus diwarisi oleh anak cucu, Josefine Midong anak Jubin, 56, telah mengusahakan tenunan pua kumbu sejak berusia sembilan tahun lagi.

Mewarisi kemahiran tersebut daripada ibunya yang juga penenun mahir pua kumbu, hari ini Josefine bukan sahaja penenun bahkan seorang usahawan yang turut memasarkan hasil tenunan kawan-kawan lain.

Bercerita lebih lanjut mengenai kraf yang menjadi kebanggaan masyarakat Iban ini, Josefine berkata, corak serta motif tenunan pua kumbu kebiasaannya diperoleh melalui mimpi.

“Lazimnya penenun pua kumbu ini akan menenun corak-corak yang biasanya datang dalam mimpi mereka, selain inspirasi alam sektiar, gambaran dewa, dan nilai keberanian orang Iban.

“Dahulu, kebanyakan penenun sukakan corak binatang, orang, dan gambaran dewa, tetapi hari ini sudah banyak corak baharu yang berkonsepkan bunga-bungaan dan geometri.

“Tambahan pula hari ini pua kumbu semakin diminati ramai, jadi kami sebagai penenun mempelbagaikan corak dalam usaha memenuhi permintaan dan kehendak semasa,” ujarnya ketika ditemui di Rumah Panjang Sungai Entawau, Kapit, Sarawak, sempena program Liputan Media Ke Sarawak sempena Hari Kraf Kebangsan 2016, baru-baru ini.

Memberitahu proses pembuatannya, Josefine menjelaskan, pua kumbu sememangnya sehelai kain yang amat rumit untuk dihasilkan.

Tidak hanya pada corak-corak serta motif-motif yang perlu diterjemahkan pada kain tersebut, malah kesukaran proses pembuatannya bermula daripada benang lagi.

Sebelum ditenun, benang yang digunakan, iaitu benang kapas atau sutera harus diwarnakan terlebih dahulu dan proses ini sahaja mengambil masa berhari-hari.

Selepas proses tersebut selesai, barulah penenun memulakan proses tenunan dan proses ini juga mengambil masa mengikut corak serta motif yang ingin diterjemahkan.

Bahkan menurut Josefine, ada sesetengah pua kumbu mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk disiapkan.

“Sesuatu motif biasanya memiliki terjemahan tersendiri yang hanya difahami oleh masyarakat Iban atau mereka yang mengalami mimpi.

“Begitupun, apa yang diterjemahkan di atas kain merupakan kreativiti penenun itu sendiri untuk menjadikan pua kumbu lebih cantik dan coraknya tersusun.

“Yang pasti, motif-motif lain ada juga yang memaparkan corak kehidupan seharian masyarakat Iban dan nama setiap pua kumbu yang terhasil diambil daripada mimpi penenun tersebut,” tuturnya lanjut.

Ternyata kemahiran menghasilkan kain tenunan pua kumbu ini merupakan satu kemestian bagi kaum wanita masyarakat Iban kerana rata-rata yang ditemui sememangnya menjadikan tenunan pua kumbu sebagai kerjaya pada masa lapang.

Dilihat mampu menjana pendapatan sampingan buat keluarga, bagi masyarakat Iban, seni tangan bukan sahaja menggambarkan kerajinan dan ketekunan malah sikap bertanggungjawab di dalam rumah tangga.

Hari ini selain dijadikan perhiasan rumah, corak kain pua turut dijadikan pakaian tradisional seperti skirt, jaket serta kain cawat bagi kaum lelaki.

Sumber: Utusan Online