Rangkaian Laman Sosial Ummaland

Jika Mark Zuckerberg dikaitkan dengan kewujudan Facebook (FB), maka tidak mustahil suatu hari nanti Maruf Yusupov pula terkenal sebagai pengasas rangkaian laman sosial Ummaland khusus untuk umat Islam seluruh dunia.

Ia bermula pada 2013 apabila Maruf bersama dua lagi rakan, Jamoliddin Daliev dan Mehmudjan Memethaji mahu membina satu rangkaian laman sosial khusus untuk umat Islam berhubung antara satu sama lain berpangkalan di Taman Sains Navitas, Aarhus, Denmark.

Berbeza dengan FB yang memiliki pejabat luas selain kakitangan yang ramai, Ummaland hanya dikendalikan Maruf selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Pemasaran dan Reka Bentuk, Jamoliddin (Pembangunan Produk dan Perisian), Mehmudjan (Arkitek Sistem dan Perisian) dan kini dibantu Kemal Pajevic berasal dari Bosnia yang berperanan dalam pembinaan sistem operasi telefon pintar.

Sehingga kini pemilik akaun Ummaland ialah seramai 350,000 orang di seluruh dunia dengan majoriti di negara ini. Berasal dari Uzbekistan, Maruf, 33, berkata, dia berhijrah ke Denmark ketika berusia 20 tahun untuk mengikuti pengajian di kolej teknikal dalam bidang multimedia.

“Hidup saya berubah ketika World Trade Center (WTC) di New York diserang pada 2001. Umat dan agama Islam dikaitkan dengan keganasan sedangkan agama kita menganjurkan keamanan, keharmonian dan tolak ansur.

 “Melihat dan berdepan persepsi negatif terhadap Islam membuka hati saya untuk mendekatkan diri kepada al-Quran, hadis dan mempelajari semula sirah Rasulullah SAW. Bermula di situ saya merasakan mahu menyumbang sesuatu kepada agama walaupun ia mungkin kecil,” katanya.

Dia yang ditemani Kemal berkata, semua umat Islam di seluruh dunia berkongsi nilai yang sama jadi mereka mahu membina satu platform penyatuan dan mempromosikan toleransi serta perkongsian persaudaraan seagama.

 “Memang memenatkan kerana kami hanya berempat untuk mengendalikan satu rangkaian laman sosial yang menghubungkan seluruh dunia sehingga ada yang berkerja berbelas jam sehari. Namun berbaloi kerana ini adalah sedikit sumbangan kami kepada Islam,” katanya.

Menurutnya, bagi membantu menjana sumber pelaburan terutama membangunkan sistem aplikasi Ummaland di telefon pintar, mereka membina platform pengiklanan dikenali sebagai Halal.ad pada April 2015 dan melancarkan versi Beta pada Oktober 2015.

“Halal.ad bertujuan meneroka pasaran baru untuk Muslim dan bukan Muslim terutama di Malaysia, Asia Tenggara dan Asia Pasifik dengan memperkenalkan platform pengiklanan berintegriti, kepakaran dipercayai, sokongan teknikal dan penggunaan keupayaan teknologi maklumat terkini.

“Sehingga kini Halal.ad sudah menghubungkan hampir 30 juta iklan di pasaran halal global dengan lebih 500 blog dan laman web berdaftar sebagai penerbit.

“Laman ini dibangunkan secara eksklusif oleh Muslim untuk memenuhi keperluan usahawan, usahawan teknologi, individu, korporat, industri kecil dan sederhana (IKS), blogger serta penerbit laman web bagi industri global berkaitan halal,” katanya.

Maruf berada di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mempromosikan Halal.ad.

Sumber: myMetro