Rawatan Bertangas Red Kebaya Spa

Sejak berzaman, amalan bertangas dilakukan wanita tidak hanya selepas bersalin malah diamalkan secara rutin untuk mengekalkan kesihatan dan kesegaran tubuh badan terutama bagi mereka yang sudah berkahwin.

Namun, arus kemodenan semakin menenggelamkan amalan ini, apatah lagi wanita moden zaman ini yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman yang membawa kesejahteraan rumah tangga dan kesihatan serta kebersihan diri.

Menyedihkan lagi, terdapat segelintir ibu yang baru melahirkan anak dalam tempoh kurang sebulan sudah berjalan di pusat beli-belah tanpa mempedulikan risiko yang bakal dihadapi apabila berusia kelak.

Mereka juga seperti tidak peduli amalan tradisional nenek moyang yang digunakan sejak berabad dulu seperti bertangas, bertungku, berurut dan sebagainya.

Ramai yang tidak peduli akan kebaikan bertangas terhadap tubuh dan organ dalaman wanita termasuk bahagian intim.

Jika kena caranya ia mampu mengembalikan organ intim seperti anak dara. Pengasas Red Kebaya Spa, Nor Ain Zainal, 36, berkata bertangas adalah amalan penjagaan kesihatan keseluruhan tubuh badan dan tidak hanya tertumpu kepada penjagaan bahagian sulit semata-mata.

“Terlalu banyak kebaikan bertangas yang diabaikan wanita. Bertangas tidak hanya untuk mereka yang sudah melahirkan anak, juga baik untuk anak dara dan wanita selepas haid.

Bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar daripada badan.

“Manakala untuk yang lepas melahirkan pula ia mampu membantu proses penyembuhan dan kemutan faraj serta rahim. Bertangas juga membersih dan merapatkan rahim.

“Amalan ini juga dapat membantu wanita mengatasi masalah keletihan, berat badan berlebihan, mengecutkan urat badan,” katanya ketika ditemui di spa miliknya baru-baru ini.

Menurut Ain, terdapat dua cara bertangas iaitu tangas kering dan basah.

Bertangas kering juga dikenali sebagai bertangas herba. Ia hanya menggunakan batu sungai yang dipanaskan dan diletakkan ramuan tertentu.

Rawatan ini dilakukan selepas hari ke-30 bersalin selama 10 hari berturut-turut apabila darah nifas telah kering. Rawatan ini dipercayai dapat mengeluarkan sisa toksin dan merawat luka.

Jika selepas haid, boleh dilakukan selepas hari keenam, selama tiga hingga tujuh hari. Bertangas basah pula menggunakan ramuan rempah ratus dan herba yang direbus.

Untuk mereka yang berpantang bersalin, mulakan rawatan selepas hari ke-40 iaitu selepas tangas kering dan dilakukan sehingga 100 hari.

Untuk selepas haid, dilakukan selepas darah kering juga. Amalan ini dipercayai dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap di bahagian alat sulit.

“Untuk bertangas, saya hanya menggunakan tumbuhan semula jadi yang segar seperti serai wangi, halia, asam gelugur, manjakani, daun sireh, garam dan sebagainya.

“Proses rawatan bertangas secara tradisional adalah dengan memasukkan air panas yang dicampurkan sedikit dengan air sejuk yang dicampur ramuan herba berkenaan.

“Pengunjung hanya perlu duduk di kerusi khas yang disediakan selama 20 hingga 30 minit mengikut kehendak individu berkenaan.

“Campuran herba itu dipercayai mengandungi banyak khasiat dan kelebihan tersendiri contohnya buah manjakani boleh mengetatkan faraj, daun sirih untuk menyembuhkan luka-luka kecil manakala buah pala dapat menghindarkan bau yang tidak menyenangkan pada alat sulit,” katanya.

Sumber: myMetro