Seni Kristal Rembau

LELAKI bertubuh kurus itu sesekali mengelap peluh yang kelihatan mula menitis dari dahi yang seterusnya membasahi baju T hitam polos dipakainya pada petang itu.

Sambil memusing-musingkan satu batang besi sepanjang satu meter, tangan kanannya pula pantas mencapai sesuatu yang berbentuk seakan-akan penyepit besi, seterusnya menyepit bebola kristal yang dipegang itu sehingga menyerupai seekor burung kecil berwarna jingga.

Dia kemudian kembali berdiri dan berjalan menuju ke sebuah mesin melebur kristal yang terletak di sebelah kirinya lalu memasukkan objek seperti burung tadi ke dalam mesin tersebut selama beberapa saat untuk dileburkan sekali lagi.

Kru Jurnal yang berkesempatan berkunjung ke Kompleks Rembau Crystal di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini ralit memerhatikan proses melebur kristal yang dilakukan beberapa kali lagi sehinggalah bentuk yang dihasilkan menjadi kemas dan cantik.

Bagi yang tidak biasa dengan suhu panas, mungkin mereka tidak tahan untuk terus berada di bengkel pembuatan kristal itu, namun itulah keadaan yang terpaksa ditempuhi saban hari bagi menghasilkan satu produk kristal berkilau seperti yang terdapat di pasaran.

Menurut Mohamad. Faezzan Adnan, 25, dia yang merupakan antara pekerja paling lama berkhidmat di kompleks itu memberitahu, proses melebur kristal per­­lu dilakukan pada suhu minimum 1,100 darjah Celcius.

“Tidak ramai yang mahu berkerja dalam keadaan panas begini sepanjang hari. Ia bukanlah satu proses yang mudah, lebih-lebih lagi apabila kami mendapat tempahan yang banyak dan perlu menyiapkan kesemua tempahan dengan kadar segera,” kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu tentang kerjayanya.

Panas

Siapa sangka, kilauan kristal yang cantik dan sering dijadikan perhiasan itu sebenarnya terpaksa melalui proses panas melampau sebelum boleh dibentuk.

Kristal merupakan sejenis bahan mineral yang secara semula jadinya tidak berwarna. Ia dihasilkan dengan menggunakan teknik anyaman di mana batang kristal mentah akan dicairkan dan seterusnya disimpul atau diukir menjadi cantik.

Bagi kristal jenis berwarna pula, bahan pewarna yang diimport khas dari Jerman akan diletakkan pada kristal yang sudah dilebur dan kemudiannya dilebur sekali lagi.

Menurut Pengurus Operasi dan Pemasaran Rembau Crystal Sdn. Bhd., Abd. Razak Idris, proses tersebut sememangnya dilakukan berulang kali kerana bahan kristal yang sejuk akan menjadi sukar untuk dibentuk.

“Proses memasukkan warna sahaja perlu dilakukan beberapa kali bagi mendapatkan lapisan warna yang cantik.

“Proses menganyam kristal dibuat dengan menggunakan haba daripada penunu bunsen. Ia perlu dilakukan secara berterusan kerana jika kristal dibiarkan pada suhu kurang daripada suhu minimum kristal melebur, ia menjadi keras dan seterusnya sukar dibentuk.

“Proses meletakkan warna pada produk kristal perlu dilakukan berulang kali dengan mencairkannya bagi memastikan bentuk yang mahu dihasilkan itu mudah dilakukan,” jelasnya panjang lebar.

Rembau Crystal menempatkan galeri pameran, pusat jualan produk dan bengkel penghasilan produk. Pengunjung yang datang boleh melihat proses penghasilan kristal sama ada kristal yang dicampur kaca atau kristal asli.

Bagi kristal yang dicampurkan dengan kaca, harganya lebih murah berbanding kristal asli, namun tetap kelihatan cantik dan mewah sama seperti kristal asli.

Asal-usul

Kompleks Rembau Crystal Sdn. Bhd. itu yang juga dikenali sebagai perkampungan kristal merupakan pusat pembuatan dan penjualan kristal terbesar di Malaysia.

Dibuka pada tahun 2007 itu dibina atas tanah kerajaan Negeri Sembilan dan sehingga kini merupakan salah satu tarikan pelancong yang utama di negeri itu.

Asalnya, kawasan seluas 3.5 hektar itu merupakan sebuah rumah rehat yang telah mula wujud sejak sekitar tahun 1970an. Menurut Abd. Razak, kawasan itu kemudiannya mula terbiar kerana tiada siapa yang mahu menguruskannya.

“Kawasan ini mula ditumbuhi semak samun dan sejujurnya, setiap kali melalui kawasan ini, kami akan ‘sakit mata’ melihat keadaannya yang tidak terurus.

“Sehinggalah pada tahun 2007, kerajaan negeri mula membersihkan kawasan ini dan mendapati, struktur bangunan kompleks ini masih kukuh. Selain itu, seni binanya yang menunjukkan konsep Minangkabau sememangnya menjadi identiti Negeri Sembilan dan berpotensi dijadikan tarikan pelancongan yang baharu.

Dari situlah timbulnya idea untuk mewujudkan kompleks Rembau Crystal di tapak tersebut.

“Sambutan sehingga kini amat menggalakkan dan kerajaan negeri menjadikan kawasan ini sebagai salah satu pusat persinggahan utama bagi pelancong ke Negeri Sembilan kerana kawasan ini lengkap dengan galeri pameran, pusat jualan dan bengkel pembuatan,” jelas Abd. Razak.

Produk-produk kristal yang dihasilkan di kompleks itu berkualiti tinggi dan amat berbeza dengan kristal-kristal yang dijual di pasaran tempatan yang kebanyakannya diimport dari China. Namun, ia setanding dengan kristal dari Langkawi.

Pasaran Rembau Crystal lebih tertumpu kepada tempahan daripada jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat korporat yang mahu menjadikan produk kristal sebagai cenderahati mereka. Produk keluaran kompleks itu juga tidak dijual di pasaran luar dan mereka yang berminat bolehlah membuat tempahan di sana.

Bahan mentah yang digunakan kompleks itu berkualiti tinggi yang diimport dari Belanda bagi menjamin kualiti produk.

Antara cenderamata paling berharga pernah dihasilkan di situ ialah replika binaan Istana Besar Seri Menanti yang dijadikan hadiah buat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sewaktu hari keputeraan baginda pada tahun 2013.

Selain itu, tahun lalu, Rembau Crystal juga diberi kepercayaan untuk menghasilkan 15 set lampu candelier untuk Istana Johor yang juga merupakan antara projek perkampungan kristal itu yang paling bermakna.

Rembau Crystal terletak di Kampung Senama, Rembau dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat) dan pukul 9 pagi hingga 4 petang (Sabtu dan Ahad).

Sumber: Kosmo! Online