Seni Lukisan Realisme Young-sung Kim

Kadangkala hidup ini tidak ubah seperti lukisan. Kita mungkin bernyawa tetapi tidak berjiwa, berdiri tapi tak beremosi dan berjasad tetapi tidak berkasad. Luarannya sahaja hidup tetapi dalamannya ‘mati’.

Sesetengah kita bahkan memanipulasi makhluk lemah yang lain seolah-olah ia tidak memiliki perasaan. Kita tegar mempergunakannya mengikut kehendak diri sendiri seolah-olah ia bukan hidupan cuma objek atau lukisan.

Itulah mesej yang cuba disampaikan oleh pelukis Korea Selatan, Young-sung Kim, 43, menerusi karya-karya realismenya. Beliau menyeru khalayak menghargai setiap hidupan terutamanya haiwan kecil melalui lukisan tangan cat minyak di atas kanvas seperti ‘hidup’.

Kemahiran seni lukisan realisme iaitu satu cabang seni lukis yang dihasilkan untuk mendapat efek realistik membuatkan kita sukar mempercayai bahawa visual yang dilihat itu ialah lukisan.

Melihat lukisan Kim yang viral di internet, sukar untuk membezakan sama ada ia lukisan, foto atau realiti. Ternyata jejaka kelahiran Seoul, Korea Selatan ini mempunyai bakat yang cukup mengagumkan.

“Saya sangat sibuk dengan bekerja, bagus juga awak temu bual saya. Terima kasih banyak,” kata Kim mengalu-alukan saat dihubungi Kosmo! menerusi e-mel seolah-olah wawancara ini memberi nafas untuknya berehat seketika.

Kim digelar pengguna internet sebagai pelukis hiper realistik. Beliau memiliki pelbagai anugerah termasuk Anugerah Pelukis Muda Korea dalam Korea Youth Biennale 1996.

Kim kini merupakan pelukis yang berpusat di Korea Selatan selain mewakili galeri Waterfall Mansion Gallery, New York, Amerika Syarikat (AS) serta Plus One Gallery, London, Britain.

Plus One Gallery menerusi laman web galeri tersebut menyatakan, Kim merupakan seorang pelukis realisme yang mengkritik tentang bagaimana manusia meletakkan nilai pada sesuatu hidupan itu dalam dunia moden.

Menurut galeri itu lagi, lukisannya turut menjadi koleksi tetap Seoul City Museum of Art dan beberapa muzium lain.

Hasil kerja Kim telah dipamerkan di banyak negara secara solo atau berkumpulan. Selain AS, Britain dan Korea, lukisannya pernah dipamerkan di Rusia, Switzerland, Taiwan, Hong Kong, China, Singapura dan lain-lain.

Berus kecil

Kim menggunakan berdozen-dozen berus lukisan kecil untuk menghasilkan sesebuah karya. Beliau menghabiskan banyak masa untuk menyempurnakan lukisannya dengan mengambil kira semua sudut perincian termasuk pencahayaan, bebayang, warna dan bentuk.

“Saya bekerja 13 jam sehari. Untuk sebuah lukisan sahaja, saya memerlukan sekurang-sekurangnya dua bulan dan boleh sampai ke 12 bulan untuk menyiapkannya.

“Saya menggunakan cat minyak kerana saya rasa cat minyak adalah instrumen terbaik untuk karya realisme,” kata graduan Jabatan Lukisan, Kolej Seni Halus, Universiti Hongik, Korea itu.

Siri lukisan

Sejak tahun 2000, Kim telah menghasilkan lukisan siri Nothing-Life-Object (Kosong-Hidup-Objek).

Siri itu menyaksikan lukisan-lukisan haiwan kecil seperti ikan, katak, siput dan serangga yang digambarkan berada dalam persekitaran yang tidak ideal bagi haiwan-haiwan itu.

Antaranya ikan yang berada di dalam gelas, katak di dalam balang atau siput di atas sudu.

“Saya sentiasa percaya bahawa hidupan kecil ini berharga tetapi diabaikan. Kita tidak berminat mengenali mereka. Kita hanya mempergunakan mereka, sama ada untuk makanan, eksperimen, hiasan dan sebagainya.

“Banyak hidupan terancam demi kehendak materialistik kita.

“Saya melukis berganda-ganda lebih besar daripada saiz sebenar haiwan itu untuk menyedarkan manusia bahawa hidupan-hidupan ini mempunyai keindahan dan mengagumkan,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut, Kim berkata, ia bukan hanya sekadar tentang haiwan tetapi juga sesama manusia.

“Ia menggambarkan suasana masyarakat moden hari ini yang berhati beku. Gelas, balang dan sudu bermakna haiwan-haiwan itu dan kita semua dalam masa yang sama bukan untuk dipertonton, dibelenggu dan dimakan. Semua hidupan mempunyai nilai.

“Kita tidak menghormati apa pun. Semua hidupan bukan naif. Kita adakalanya melayani sesama manusia seperti tunggul, patung atau sekujur jasad seolah-olah mereka tidak mempunyai perasaan,” katanya.

Ditanya tentang bakat melukis yang ada pada dirinya, Kim berkata, ia bukan sesuatu yang diwarisi daripada ibu bapanya.

Bapanya seorang penjawat awam manakala ibu suri rumah. Sejak kecil Kim memang minat seni lukis dan seni arca. Beliau meminati fotografi sejak tahun pertama sekolah menengah apabila dia mendapat hadiah kamera.

Kim mula menyedari minat dalam lukisan realisme sejak di universiti.

Pada peringkat awal melukis haiwan kecil dan serangga, beliau merasakan lukisannya sudah baik tetapi kurang nampak hidup. Kim mengakui agak sukar melukis struktur dari segi warna dan bebayang.

Model

“Saya menggunakan seni fotografi untuk membantu penghasilan lukisan yang lebih baik apabila saya boleh melihat perinciannya,” katanya.

Apakah bahagian paling sukar dalam proses kerjanya? Kim berkata : “Untuk mendapatkan model.”

“Model saya hidup dalam alam semula jadi dan adakalanya susah untuk memburunya. Kalau anda perasan katak yang saya lukis ada dua spesies berlainan. Satu spesies yang boleh ditemui secara meluas di Korea dan satu lagi spesies yang agak jarang ditemui.

“Ia memerlukan masa yang tepat untuk saya menemuinya. Hari saya berjaya menemuinya adalah momen paling berharga dan terbaik bagi saya,” ujarnya. Ternyata lelaki ini juga amat meminati haiwan-haiwan kecil itu apabila ia sering menjadikan emoticon katak dan siput pada setiap tulisannya di laman sosial.

Melayari laman instagram Kim, ramai yang memberi komen ‘luar biasa’, ‘sukar dipercayai’ dan ‘mengagumkan’ kerana ia bak foto atau realiti, namun bagi Kim, ia seperti mempunyai ruang untuk diperbaiki.

“Saya sedang mencabar diri untuk melukis lebih hidup daripada foto. Rancangan saya seterusnya untuk menghasilkan arca hiperrealisme.

“Saya berhasrat untuk tidak mengehadkan kebolehan saya dalam satu bidang seni sahaja. Saya memiliki aspirasi untuk menghasilkan yang lain juga.

“Apa yang saya pasti ialah saya akan menjadi pelukis sehingga akhir hayat,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online