Seni Pembuatan Periuk Tembaga

PADA usia 26 tahun, Mohd. Izzuddeen Ismail sudah memiliki kemahiran tinggi dalam seni pembuatan periuk tembaga yang lazimnya dikaitkan dengan penglibatan warga tua.

Tidak seperti kebanyakan remaja lain, jejaka yang mesra disapa Deen itu tidak kekok untuk menceburkan diri dalam industri tembaga yang menjadi bidang kraf tangan turun-temurun di negara ini.

Lepasan pelajar jurusan seni kraf logam Institut Kraf Negara yang juga Kakitangan Projek Tembaga Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) itu juga tidak lokek berkongsi cerita mengenai proses awal hingga akhir pembuatan periuk tembaga.

Ditemui kru Jurnal di Kompleks Kraftangan sempena Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini, Deen memberitahu, perkara paling penting dalam penghasilan periuk tembaga adalah pembuatan acuannya.

Jika sebelum ini acuan tembaga dihasilkan menerusi teknik penuangan lilin tetapi kini kaedah pembuatan peralatan memasak itu dikembangkan dengan cara baharu yang dikenali sebagai pe­nuangan karbon dioksida.

Menerusi proses itu menurutnya, ­acuan dihasilkan dengan mencampurkan pasir pantai bersama sejenis bahan kimia yang dipanggil sodium silikat.

“Pasir pantai dari Terengganu menjadi pilihan memandangkan ia lebih halus daripada pasir pantai lain.

“Ia akan diadun sebati dalam mesin pengadun selama 20 hingga 30 minit sehingga warnanya bertukar menjadi kelabu gelap. Adunan yang siap akan mudah digumpal selain tidak mudah pecah,” kata Deen.

Tambahnya, adunan tersebut kemudiannya diletakkan di dalam bekas acuan dan ‘ditembak’ dengan gas karbon dioksida bertujuan mengeraskan lagi adunan berkenaan.

“Sebelum itu, lubang angin perlu dibuat pada model acuan supaya ketika gas karbon dioksida dimasukkan, ia tidak akan pecah,” ujarnya.

Tahi tembaga

Bertutur lanjut, Deen memberitahu, teknik baharu itu mempercepatkan proses penghasilan produk periuk tembaga dengan mengambil masa hanya sehari untuk disiapkan berbanding kaedah lama yang memakan masa sehingga dua minggu.

“Proses membuat acuan lilin sahaja sudah mengambil masa seminggu untuk disiapkan jika menggunakan kaedah lama. Ini belum lagi masuk proses melebur dan penuangan tembaga yang memakan masa lagi seminggu.

“Menerusi teknik baharu ini, periuk tembaga boleh disiapkan dalam masa 24 jam. Meman­dang­kan masa pembuatan lebih pendek, lebih banyak periuk dapat dihasilkan dalam tempoh tersebut,” jelasnya sambil memberitahu proses tuangan tembaga menerusi kedua-dua proses berkenaan boleh menghasilkan sehingga tiga buah periuk.

Cerita Deen lagi, proses pembuatan periuk tembaga diteruskan dengan melebur beberapa blok jongkong tembaga pada suhu mencapai 1,300 darjah Celsius selama tiga jam.

“Tembaga cair yang panas kemudiannya dituang ke dalam model acuan tadi bagi mengambil bentuk periuk. Proses pen­ting bagi mendapatkan bentuk yang diingini adalah membuang tahi tembaga yang biasanya terbentuk di atas permukaan cairan logam itu.

“Apabila sejuk, periuk tembaga yang masih memiliki permukaan kasar akan dicanai dan dilarik dengan mesin gerindar sebelum digilap dengan kertas pasir agar permukaannya lebih licin,” jelasnya panjang lebar.

Sementara itu, seorang lagi Kakitangan Projek Tembaga Kraftangan, Mohammad Nasfu Sya’ban Mohamad, 24, berkata, selain meningkatkan produktiviti pengeluaran, kaedah itu juga dapat menjaga kualiti periuk tembaga.

Katanya, antara kelebihan yang dimiliki periuk tembaga termasuklah tidak mudah berkarat, mudah dijaga, tahan lasak selain mampu menjadikan masakan tahan lebih lama.

“Kelebihan ini menjadikan penggunaan periuk tembaga sebagai peralatan memasak masih mendapat permintaan dalam kalangan penduduk negara ini walaupun ia semakin dilupakan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online