Tradisi Pertukangan Kacip Pinang

KETIKA tangan tua milik opahnya tekun menekan besi berwarna hitam coklat itu pada buah pinang berkulit merah, mata milik kanak-kanak 12 tahun itu tekun memerhatikan.

Berasa seronok dan kagum apabila kulit pinang itu dikupas dengan cekap, sebelum besi tersebut ditekan tubi untuk memotong buah pinang itu lancar menghiris isi pinang yang keras.

Mengimbau nostalgia lebih 15 tahun lalu, Siti Jamilah Abd. Ghani, 27 berkata, pada waktu itu dia tidak tahu bahawa logam sepanjang 5 inci itu digelar kacip pinang.

Besi tersebut kelihatan bersambung pada bahagian depannya, manakala pada bahagian belakang pula terpisah. Ia boleh digerakkan ke atas dan ke bawah hingga rapat. Untuk memotong, buah pinang akan diletak di tengah-tengah kacip sebelum kedua-dua bahagian ditekan menggunakan tangan.

“Ketika itu, yang saya tahu alat tersebut digunakan opah untuk mengupas, membelah dan menghiris isi pinang secara nipis-nipis sebelum dibungkus dalam daun sirih untuk dimakan ketika berada di anjung rumah.

“Opah selalu menggunakannya ketika mahu memakan sirih pinang. Di rumah opah yang terletak di Perak, terdapat satu bekas yang dilengkapi dengan helaian daun sirih, kapur, gambir dan kacip,” kongsinya yang kini tidak lagi melihat aksi tersebut setelah kematian neneknya.

Dalam pada itu, seorang pesara institusi kewangan, Yawakhir Bokhari, 57, berkongsi pengalamannya menggunakan kacip ketika era 70-an di kampungnya yang terletak di Manjong, Perak.

Cerita wanita itu, ketika zaman muda, dia selalu membantu neneknya mengupas, membelah dan menghiris isi pinang untuk dimakan.

“Meskipun bukan pemakan sirih pinang, saya seronok dapat membantu nenek mengupas dan menghiris pinang. Berbanding pisau, penggunaan kacip lebih menyenangkan.

“Ia bukan sahaja tajam, lebih selamat kerana mempunyai tapak untuk meletak objek yang mahu dipotong malah lebih praktikal untuk digunakan,” kongsinya yang merindui kenangan tersebut.

Jelasnya, dalam tempoh dua dekad sebelum ini, boleh dikatakan hampir setiap rumah mempunyai kacip kerana amalan memberi makan sirih pinang kepada tetamu yang berkunjung ke rumah sebagai budaya.

Istiadat

Luahnya, kini kacip jarang kelihatan kerana tidak ramai orang yang makan sirih pinang malah kacip yang biasa diletakkan bersama tepak sirih ketika adat istiadat Melayu berlangsung.

“Kini, sangat jarang tepak sirih dibawa malah saya pasti ramai anak muda yang tidak kenal apa itu kacip pinang,” ujar ibu kepada empat orang anak itu.

Ditelan arus moden, survival komersial dan nilai estetika kacip pinang menjadi persoalan. Menongkah arus, Mohd. Zaki Hussain, 48, masih gigih meneruskan kewujudan kacip pinang di bengkelnya yang terletak di Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

Turut menghasilkan keris, lembing dan pelbagai alat logam yang lain, Mohd. Zaki memberitahu, dia mula mengenali dan menempa besi selepas berkahwin dengan anak tukang besi.

Arwah bapa mertuanya, Ibrahim Ismail merupakan seorang tukang besi yang tidak mempunyai anak lelaki untuk diwariskan kemahiran.

Barang antik

Menggalas tanggungjawab, Mohd. Zaki mula membuat peralatan besi ketika berumur 20-an dan kini mempunyai kemahiran tersendiri membuat peralatan besi.

“Untuk kacip pinang, saya boleh menghasilkan kacip antara 1 inci hingga 1 meter yang dijual dengan harga antara RM10 hingga RM500 setiap satu.

“Dalam sehari, saya memperoleh pendapatan purata antara RM200 hasil jualan alat warisan ini. Meskipun budaya makan sirih pinang tidak semeriah dulu, jualan saya masih menggalakkan.

“Selain mengacip pinang, kacip ini turut digunakan untuk menghiris gula Melaka, memotong cangkerang siput sedut sebelum dimasak dan memotong daun rokok,” tuturnya memberitahu kacip mempunyai pelbagai kegunaan kerana ketajamannya memotong objek keras.

Mengulas tentang komuniti pelanggannya, selain mereka yang membeli untuk digunakan, Mohd. Zaki turut dicari oleh pengumpul barangan antik untuk mendapatkan kacip.

Katanya, ramai pengumpul barangan antik mendapatkan kacip buatannya yang dihasilkan dengan mengekalkan ciri-ciri asal kacip.

“Saya menggunakan besi terpakai dan tidak mewarnakan kacip. Ia tampak coklat kehitaman dan begitu klasik,” tutur bapa kepada tiga anak itu yang boleh menghasilkan kira-kira 10 kacip sehari.

Secara purata, setiap kacip yang dihasilkan mengambil masa kira-kira satu jam untuk disiapkan.

Mendapatkan bahan mentah daripada penjual besi buruk dan barangan terpakai berdekatan rumahnya, Mohd. Zaki menggunakan besi waja untuk menghasilkan kacip.

Katanya, besi waja bersifat tahan lama, lasak dan menghasilkan satu alur yang cantik apabila ditempa.

Kacip atau turut dikenali sebagai kati di Kelantan memerlukan kemahiran khusus untuk menghasilkannya kerana besi yang dibakar atau dimasak dalam api perlu ditempa dan dibentuk.

Mohd. Zain menghasilkan bentuk kepala ayam atau burung pada bahagia kepala kacip untuk menampakkan kacip lebih menarik dan unik.

Ketika ditanya tentang perkaitan kacip dan unsur mistik dalam masyarakat Melayu, Mohd. Zaki memberitahu, masyarakat dahulu percaya bahawa meletakkan kacip di rumah boleh mengelakkan pelesit dari memasuki rumah.

Pengkaji

“Sejauh mana kebenarannya, saya tidak pasti. Mungkin ia hanya kepercayaan karut,” jelas anak jati Kelantan itu.

Lebih dua dekad berkawan dengan besi di bengkelnya setiap hari, Mohd. Zaki sering dikunjungi oleh pengkaji dan pelajar untuk berkongsi pengalamannya dalam pembuatan alat-alat klasik Melayu.

Tidak mahu mendabik dada tentang kemahirannya, Mohd. Zaki tidak menolak sesiapa sahaja yang sudi berkunjung ke bengkelnya untuk mempelajari cara membuat kacip.

“Saya mahu kemahiran ini diperluaskan supaya warisan dan budaya kita dijaga. Kacip ini mempunyai nilai dan fungsinya tersendiri dan tidak sama seperti alat yang lain,” ulasnya penuh mengharap.

Sumber: Kosmo! Online