Tuk-Tuk Afrika

MENGAMBIL contoh kemudahan kenderaan awam di bandar-bandar paling sesak di Asia seperti Mumbai (India), Jakarta (Indonesia) dan Bangkok (Thailand), negara-negara di benua Afrika kini menggunakan kenderaan beroda tiga, tuk-tuk sebagai pengangkutan.

Bukan sekadar memberi kemudahan kepada masyarakat, tuk-tuk juga menambah peluang kerjaya kepada penduduk, sekali gus mampu mengurangkan kemalangan jalan raya.

Ia juga menawarkan perkhidmatan lebih murah berbanding teksi, motosikal angkut dan beca automatik yang membanjiri jalan raya di semua pusat bandar di benua itu.

Dikenali sebagai toktok di Mesir, keke-marwa (Nigeria), raksha (Sudan) dan bajaj (Tanzania dan Habsyah), tuk-tuk turut digunakan di Liberia. Penduduk di sana menggelarnya sebagai kekeh.

Mengharamkan
 
Teksi motosikal yang dikenali sebagai kenderaan dua tayar dahulunya merupakan pengangkutan awam utama di ibu negara Liberia, Monrovia sehingga penggubal undang-undang mengharamkan perkhidmatannya pada 2013.

Ia berikutan kebimbangan masyarakat terhadap kadar keselamatan dan kemalangan yang tinggi.

Pengharaman itu membuka jalan bagi kenderaan tuk-tuk yang diimport dari India dan China oleh beberapa pengusaha yang kebanyakannya warga Nigeria dan Guinea. Mereka menggaji anak muda Liberia sebagai pemandu.

“Apa yang menjadikan tuk-tuk sangat penting ialah cabaran dan keperluan pengangkutan awam di negara ini.

“Anda mempunyai pengangkutan dua tayar yang telah beroperasi di pusat bandar sebelum ini tetapi kerana peraturan-peraturan kerajaan, kami terpaksa memperkenalkan opsyen lain, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak muda.

“Oleh itu, pihak kami telah memutuskan untuk memperkenalkan pengangkutan tuk-tuk,” kata Setiausaha Agung Persatuan Motosikal dan Roda Tiga Liberia (LIMTCA), Jenkins Zayzay.

Di India, sekitar 800,000 beca bermotor dihasilkan setahun. Ia lebih daripada satu per tiga jumlah kenderaan itu di negara asing.

Model TVS King dari India memasuki 30 buah negara di benua Afrika. Ia mengeluarkan tuk-tuk empat lejang bersama satu silinder enjin 200cc menggunakan petrol atau gas asli yang lebih mesra alam.

Model Huasha pula yang berpangkalan di bandar selatan China, Jiangmen menghasilkan versi tersendiri. Ia kelihatan seperti bahagian hadapan motosikal menunda sebuah treler penumpang dua roda.

LIMTCA mendedahkan, khidmat tuk-tuk membuka 5,000 peluang pekerjaan untuk warga Moravia. Ramai daripada mereka menganggur berikutan larangan teksi motosikal.

“Ia sangat membantu dalam menjana ekonomi negara. Pertama, ia meningkatkan pendapatan negara dan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” kata Zayzay.

Harga bagi sebuah tuk-tuk untuk pemandu baharu hanya berjumlah AS$3,500 (RM14,456) namun, mereka juga boleh menggunakan sistem sewa pada kadar AS$25 (RM103) sehari.

Kadar kemalangan
 
Pengusaha mendakwa, kenderaan tiga roda itu dikawal ketat di bawah kod lebuh raya dan bilangan penumpang mereka turut dihadkan, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan secara drastik.

Bukan sahaja tuk-tuk bergerak pada kelajuan yang lebih perlahan daripada teksi motosikal, bingkai logam keping pada kenderaan itu menawarkan lebih perlindungan.

Menurut kenyataan Polis Negara Liberia, kemalangan motosikal menurun sebanyak 90 peratus sejak pengharaman itu diperkenalkan. Namun, masih belum ada angka yang spesifik.

Bayaran hanya AS$0.25 (RM1.03) satu perjalanan, tuk-tuk juga dilihat sebagai pengangkutan awam lebih mudah berbanding teksi tradisional yang tidak mampu menampung keperluan beribu-ribu penduduk Morovia.

“Saya menggunakan tuk-tuk setiap hari bagi memudahkan perjalanan untuk ke rumah dan kembali ke tempat jualan,” kata seorang peniaga, Akoi Jallah.

Badan kawal selia atau dikenali sebagai Jawatankuasa Pelaksanaan Bersama juga menyediakan bengkel di Monrovia buat pemandu tuk-tuk untuk belajar cara pemanduan dengan selamat.

Francis Mulbah, seorang pemandu berusia 23 tahun kini beroperasi di Redlight Monrovia untuk mencari pelanggan.

Menurutnya, sekitar 1,000 tuk-tuk beroperasi di Monrovia dan setiap daripadanya hanya dibenarkan membawa tiga penumpang.

“Ke bandar, ke bandar ... Siapa yang mahu pergi ke bandar? Dua lagi kerusi.

“Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengharamkan motosikal angkut dari jalan-jalan, sebahagian daripada kami kehilangan pekerjaan.

“Namun saya terus yakin dengan diri sendiri. Tuhan masih boleh membantu saya untuk memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online