Wilayah Cirebon Pengeluar Bawang Merah

Riak wajah Dakuni, 35, tampak ceria meskipun keringat bercucuran sehingga membasahi baju T lusuh yang dipakainya.

Dakuni, seorang petani bawang merah di Desa Tersana, Kabupaten Cirebon, Jawa Barat. Dia dan puluhan petani lain baru sahaja menuai hasil bawang merah yang menjadi mata pencarian utama mereka.

Para petani bawang merah sememangnya layak bergembira kerana hasil bawang merah pada tahun ini dianggap berjaya walaupun harga jualannya tidaklah terlalu tinggi.

Harga sekilogram bawang merah basah yang dijual ialah sekitar Rp10,000 (RM3.10) manakala Rp15,000 (RM4.70) bagi bawang merah kering.

“Petani boleh mendapatkan keuntungan yang sepatutnya dengan harga tersebut dan kami berharap harganya tidak turun,” jelas Dakuni dan dipersetujui kawan-kawannya.

Dakuni menjelaskan, selama ini dia banyak memperoleh bantuan benih bawang merah dan baja daripada persatuan petani di kawasannya. Melalui persatuan tersebut, para petani dapat mengajukan pandangan dan cadangan serta meminta bantuan daripada Kementerian Pertanian.

Antara bantuan yang diterima daripada Kementerian Pertanian ialah benih bawang merah, baja, pembajak sehinggalah kepada sistem saliran air.

Bawang merah yang selesai dituai ada ketikanya terus dibeli dalam keadaan basah oleh para pedagang untuk dijual kepada peruncit. Namun ada juga waktunya bawang merah tersebut dijemur sehingga kering di tepi sawah sebelum ditolak kepada pedagang.

“Kebelakangan ini, kami sangat gembira dengan keadaan seperti ini. Harapan kami supaya pemerintah tidak mengimport bawang merah dari luar negara kerana pengeluaran bahan masakan itu masih mencukupi untuk keperluan dalam negara,” katanya.

Ketua Kampung Desa Tersana yang juga seorang petani, Uwu Solihin berkata, majoriti masyarakat di kampung tersebut merupakan petani bawang merah. Mereka sememangnya meneruskan hidup seharian dengan bergantung kepada hasil tani tersebut.

“Selain itu, ada petani yang menanam tanaman lain seperti jagung dan cili sama ada di atas tanah kosong atau menumpang di kawasan bawang merah tersebut.

“Usaha sampingan tersebut juga mampu menghasilkan pendapatan tambahan kepada mereka,” jelasnya.

Jadual tanaman

Uwu mengakui, Jabatan Pertanian ada menyediakan jadual penanaman bawang merah agar para petani tidak menuai hasil bawang merah secara serentak.

“Sebelum ada jadual tersebut, kebiasaannya petani-petani ini menanam bawang secara serentak sehinggakan musim menuai hasil jatuh pada waktu yang sama lalu harga bawang merah jatuh di pasaran.

“Sudah tentu ia merugikan para petani kerana bawang banyak di pasaran. Ditambah pula dengan kemasukan bawang import membuatkan kami kerugian besar ketika itu,” jelasnya.

Uwu dan para petani tempatan yakin mereka mampu menyediakan bawang merah dalam kapasiti yang besar, sekali gus menampung keperluan dalam negara. Mereka turut menolak cadangan mana-mana pihak untuk membawa masuk bawang merah import.

Seorang petani yang juga pedagang bawang merah, Wasirudin menegaskan, tiada keperluan bagi pemerintah untuk membawa masuk bawang merah import apabila petani tempatan mampu memenuhi keperluan nasional.

“Pengeluaran bawang merah dalam negara masih mampu memenuhi keperluan harian, malah bawang tersebut masih mencukupi menjelang perayaan.

“Pemerintah sepatutnya terus membantu kami menghasilkan lebih banyak bawang merah jika keperluan dalam negara tidak mencukupi,” katanya.

Data Kementerian Pertanian pada Februari 2016 menunjukkan, seluas 510 hektar tanah digunakan para petani di seluruh Indonesia untuk penanaman bawang merah yang boleh mencapai hasil sebanyak 5,400 tan.

Pasukan pemantau

Pengarah Umum Hortikultur Kementerian Pertanian, Spudnik Sujono Kamin ketika meninjau penuaian bawang merah berkata, pihaknya kagum dengan hasil dan kerja keras yang dilakukan para petani.

“Bawang merah ketika ini sudah menjadi komoditi strategik dan dalam jangka masa panjang, harganya mungkin meningkat.

“Jadi, para petani perlu bijak dan mengikut jadual yang ditetapkan agar tidak terjadi kekurangan dan lebihan bawang merah di pasaran,” kata Spudnik pada satu majlis dialog bersama para petani di Cirebon.

Menurut beliau, kementerian sudah menubuhkan satu pasukan pemantau yang akan turun padang memantau produksi bawang merah di seluruh Indonesia.

“Pasukan pemantauan ini berperanan penting dalam industri penanaman bawang merah ini supaya para petani tidak menanam bawang secara serentak agar hasil yang dituai nanti tidak berlaku pada waktu yang sama.

“Dengan itu, pasukan tersebut seolah-olah sebagai pemudah cara kepada para petani mendapatkan maklumat waktu menanam dan menuai bagi kawasan yang berbeza,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Pertanian menyediakan bantuan dana Rp38 juta (RM12,000) bagi setiap hektar bagi membantu petani-petani bawang merah dan cili meningkatkan produktiviti komoditi strategik tersebut dalam memenuhi stok nasional.

“Bantuan tersebut kami salurkan kepada persatuan petani bagi membeli benih, baja, keperluan saliran air, pembajak dan keperluan lain.

“Dana itu akan segera diberikan kepada petani selepas mereka memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

Spudnik menjelaskan, daripada keseluruhan bajet kementerian tersebut iaitu Rp1.12 triliun (RM350 juta) bagi tahun 2016, sebanyak RM250,000 (Rp800,000) diperuntukkan untuk membantu pertanian bawang merah dan cili.

“Kami serius menangani isu berkaitan bawang merah dan cili agar para pengguna tidak lagi mengadu kekurangan stok atau harga yang tinggi di pasaran.

“Melihat penghasilan bawang merah yang baik, Kementerian Pertanian akan memastikan tiada bawang import dibawa masuk ke dalam negara bagi menjaga kebajikan para petani tempatan,” ujarnya.

Dakwaan yang mengatakan stok bawang merah di dalam negara berkurangan adalah tidak benar sehingga pemerintah terpaksa membawa masuk bawang import.

“Saya tegaskan bahawa bawang merah tempatan lebih daripada mencukupi sehingga tiada keperluan untuk negara mengimportnya,” tegas beliau.

Sumber: Kosmo! Online