252 Skim Perkhidmatan Awam Ditambah Baik

Sebanyak 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini, demikian menurut Pekeliling Perkhidmatan Awam.

Penambahbaikan skim perkhidmatan itu yang membabitkan 1.6 juta penjawat awam dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2016.

Antara penambahbaikan itu ialah faedah pemindahan gaji penjawat awam bersamaan dengan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred mulai 1 Julai ini, menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006 Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia yang dimuat naik dalam laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pekeliling itu turut memaklumkan penambahan lapisan gred kenaikan pangkat bagi skim perkhidmatan Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional bermula Gred 11 hingga 54, dengan gaji permulaan terendah Perkhidmatan Awam yang baharu sebanyak RM1,200 sebulan.

Selain itu, terdapat penambahan Lapisan Gred Kenaikan Pangkat Bagi Skim Perkhidmatan Berkelayakan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)/PMR yang mempunyai dua lapisan gred iaitu Gred 11 dan Gred 14 kini ditambah dua lagi lapisan gred baharu iaitu Gred 16 dan Gred 18.

Bagi skim perkhidmatan berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai dua lapisan gred, iaitu Gred 17 dan Gred 22 ditambah dua lagi lapisan gred, iaitu Gred 26 dan Gred 28.

Bagi penambahan Lapisan Gred Kenaikan Pangkat Bagi Skim Perkhidmatan Berkelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma pula terdapat tambahan dua lapisan gred baharu, bagi STPM Gred 27 dan Gred 32, dan diploma pula ditambah lapisan Gred 36 dan Gred 40.

Bagi Skim Perkhidmatan Berkelayakan Ijazah yang mempunyai dua lapisan gred iaitu Gred 41 dan Gred 44 ditambah tiga lapisan baharu sehingga Gred 54.

Di bawah penambahbaikan itu, kerajaan memutuskan supaya Gred 17 dan Gred 19 diseragamkan kepada Gred 19, manakala Gred 27 dan Gred 29 diseragamkan kepada Gred 29.

Menurut pekeliling itu, pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan amaun satu kenaikan gaji tahunan (KGT) layak diterima oleh pegawai bertaraf tetap, sementara dan kontrak yang dilantik dan sedang berkhidmat pada 1 Julai ini di bawah skim SSM, SSB dan Laporan Gaji JKK 1976 mengikut kadar kenaikan gaji tahunan gred jawatan asal.

Rasionalisasi skim perkhidmatan ini tidak melibatkan sebarang perubahan elaun dan kemudahan mengikut pekeliling perkhidmatan/surat pekeliling perkhidmatan/surat edaran/surat pelaksanaan yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, penetapan kadar elaun dan kemudahan berkenaan adalah tertakluk kepada gred jawatan baharu pegawai, menurut pekeliling berkenaan.

Sumber: Bernama


INFO LANJUT: "Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM)" - Sila klik link di bawah

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 1 TAHUN 2016

LAMPIRAN
     Lampiran A   
     Lampiran B1   
     Lampiran B2      
     Lampiran B3
     Lampiran B3a   
     Lampiran B4      
     Lampiran C - Borang Opsyen      
     Borang Maklum Balas Opsyen      
     Lampiran D
    

Senarai Kandungan Lampiran B3 (KLASIFIKASI PERKHIDMATAN)
     Klasifikasi Perkhidmatan : Pengangkutan (A)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Bakat Dan Seni (B)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Sains (C)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Pendidikan (D)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Ekonomi (E)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Sistem Maklumat (F)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Pertanian (G)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Kemahiran (H)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Kejuruteraan (J)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Keselamatan Dan Pertahanan Awam (K)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Perundangan Dan Kehakiman (L)
     Klasifikasi Perkhidmatan : Tadbir Dan Diplomatik (M)    
     Klasifikasi Perkhidmatan : Pentadbiran Dan Sokongan (N)   
     Klasifikasi Perkhidmatan : Penyelidikan Dan Pembangunan (Q)
     Klasifikasi Perkhidmatan : Sosial (S)
     Klasifikasi Perkhidmatan : Perubatan Dan Kesihatan (U)
     Klasifikasi Perkhidmatan : Kewangan (W)    

Sumber: Laman web JPA