Alat Pelupusan Sisa Organik - Kitchen Waste Carbonizer

Sisa organik atau sisa buangan dapur yang tidak dilupuskan secara efisien bakal mengundang pelbagai masalah yang akan menjurus kepada pencemaran alam sekitar.

Menyedari perkara itu, sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Sains Malaysia telah mencipta alat pelupusan sisa organik yang dikenali Kitchen Waste Carbonizer (KWC) yang mampu melupuskan sisa itu dengan lebih efisien tanpa melibatkan sebarang pencemaran.

Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin berkata, dengan berkonsepkan zero waste, produk itu direka untuk menukar sisa buangan dapur menjadi bahan karbon.

Katanya, KWC merupakan sistem yang berupaya menukarkan sisa buangan dapur atau sisa pepejal basah kepada bentuk yang boleh digunakan semula iaitu karbon untuk proses pembakaran mesra alam.

“Penggunaannya sangat mudah dan praktikal kerana pengguna hanya perlu memasukkan sisa buangan organik ke dalam KWC dan menekan butang pada papan kawalan untuk mengoperasikannya.

“KWC akan memanaskan sisa pepejal pada suhu 400 darjah Celsius selama kira-kira dua jam untuk menukarnya menjadi karbon,” katanya.

Jelas beliau lagi, bahan karbon yang terhasil dari pembakaran itu pula boleh digunakan semula untuk dijadikan briket atau bahan penyala yang selamat digunakan bagi aktiviti barbeku dan memasak makanan.


Malah, karbon itu juga boleh dihancurkan atau dijadikan baja tanaman.

“Ia sememangnya berkonsepkan zero waste dan amat efektif untuk membendung masalah pelupusan sisa domestik,” katanya.

Beliau memberitahu, setiap empat kilogram sisa organik yang dibakar akan membentuk 400 gram karbon.

Produk yang dibangunkan dengan kos makmal berjumlah RM15,000 itu juga boleh diubah suai mengikut keperluan tertentu sehingga mencapai kapasiti pembakaran 200 kilogram sisa organik.

Tambah Zainal Alimuddin, KWC telah memenangi pingat emas pada Pertandingan Reka Cipta Pencipta 2015 selain turut mendapat perhatian beberapa rakan industri dari Arab Saudi dan India.

Mereka menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama bagi menghasilkan sistem itu.

Sumber: Kosmo! Online