Apple Renew Kitar Semula 1000 Kilogram Emas

Syarikat elektronik gergasi Amerika Syarikat (AS), Apple Inc. mendedahkan, pihaknya telah berjaya mengumpul hampir 1,000 kilogram emas daripada komponen gajet elektronik itu yang dikitar semula tahun lepas.


Menurut portal Mail Online yang memetik kenyataan Apple, jumlah yang dikumpul itu bersamaan de­ngan nilai AS$40 juta (RM156 juta).

Selain emas, syarikat tersebut turut mengumpul hampir 3,000 kilogram perak, 1,339 tan metrik tembaga serta lebih 10,478 tan metrik besi dan keluli.

Sepanjang tahun lepas sahaja, Apple telah mengumpul lebih 27,831 tan metrik pelbagai bahan kitar semula menerusi inisiatif pengambilan balik yang diperkenalkan daripada keseluruhan 40,823 tan metrik bahan yang dikitar semula itu.

Apple menjelaskan, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu gajet elektronik dilupuskan kerana boleh membahayakan persekitaran dan kesihatan manusia berbanding jika dikitar semula.

“Maka, sebab itulah kami membangunkan program kitar semula, inisiatif pengambilan balik dan pelbagai pendekatan baharu termasuk memperkenalkan program global seperti Apple Renew.

“Menerusi Apple Renew, mana-mana pengguna boleh memulangkan gajet Apple yang tidak digunakan lagi di Apple Store untuk dikitar semula,” katanya.

Dalam laporannya, Apple memaklumkan, pihaknya turut melihat pe­luang yang besar untuk membuat tuntutan semula daripada sumber yang tidak boleh diperbaharui terhadap setiap produk yang mereka hasilkan.

“Teknik mengitar semula sedia ada sebenarnya hanya dapat memulih­kan beberapa komponen sahaja, itupun kualitinya tidaklah begitu baik.

“Oleh yang demikian, kami mencipta sebuah robot iaitu ‘Liam’ yang mampu me­leraikan sehingga kira-kira 1.2 juta te­lefon dalam masa setahun tanpa me­rosakkan komponen bermutu tinggi serta mengurangkan kebergantungan terhadap sumber bawah tanah.

“Prototaip Liam kini sedang diuji di California dan Belanda sebagai eksperimen dalam teknologi kitar semula,” kata Apple.

Sumber: Utusan Online