Archipainting Suhaimi Fadzir

Setiap manusia mempunyai cara yang tersendiri untuk mengekspresikan diri mereka seperti mendeklamasikan sajak, bermain muzik atau melukis.

Anak kelahiran Lenggong, Perak, Suhaimi Fadzir, 53, menggunakan pendekatan seni visual untuk menjadikan hasil karyanya berbeza dengan artis-artis lain.

Karya solo yang bertajuk Bebas itu menghimpunkan sebanyak 23 seni dan merupakan pameran kali kesembilan.

Bebas juga meliputi pelbagai teknik media campuran dan gabungan objek-objek terpakai. Suhaimi mempunyai konsep tersendiri iaitu archipainting.

Archipainting adalah gabungan prinsip arkitek seperti rekaan, binaan, cantuman, gantian dan lukisan.
“Dulu, saya merupakan seorang arkitek dan pernah berkhidmat di St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat (AS).

“Pada masa yang sama, saya juga aktif melukis. Jadi, secara tidak langsung, pengalaman dalam bidang arkitek mempengaruhi karya seni saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Suhaimi yang telah berkecimpung selama lebih 30 tahun dalam bidang itu gemar menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada orang lain.

“Sejak kecil lagi saya suka bermain dengan pelbagai warna dan objek.

“Masa lapang saya dihabiskan dengan menconteng dan mengumpul objek untuk dijadikan bahan mainan,” ujarnya.

Kembali pada karya Bebas, ia menghimpunkan karya yang terpilih dan dihasilkan sepanjang lapan tahun lalu.

Ia juga sarat dengan mesej tersirat berkaitan dengan sejarah, tamadun, legenda dan mitos yang terdapat dalam budaya Malaysia.

Pameran itu juga mengetengahkan detik-detik bersejarah seperti Merdeka 1957, Kontrak Sosial dan Ferguson.

Objek terpakai

Seni yang menggunakan campuran media itu menampilkan beberapa objek terpakai seperti besi, penggunaan lampu neon, bahan bercetak, cat minyak dan khat.

Karya bertajuk Hishammuddin Hussein Onn menampilkan tiga generasi keturunan Onn iaitu Datuk Seri Onn Jaafar, Tun Hussein Onn dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam karya tersebut, Suhaimi mencampurkan ketiga-tiga gambar ikon dan menggunakan dua lapisan gambar supaya memberikan kesan ‘hidup’.

Selain itu, Suhaimi juga mempunyai dua studio di Malaysia dan AS bahkan, dia kerap berulang-alik. Perjalanannya juga mempengaruhi hasil karya seninya.

“Bergerak antara dua tempat membolehkan saya melihat dalam perspektif yang lebih meluas dan berbeza. Saya juga banyak bermain dengan tema sosial kemasyarakatan.

“Orang ramai dapat melihat perbezaan budaya antara kedua-dua lokasi itu dalam Bebas,” jelasnya.
Bebas juga mendapat pujian dan menarik perhatian pengumpul dari Korea Selatan, Ireland, China, Singapura, Jepun, Filipina, Sepanyol dan Jerman.

Selain mempamerkan karya di persada antarabangsa, Suhaimi juga banyak melakar kejayaan, antaranya Dublin Biennale Award of Exellence, Dublin, Ireland; Smithsonian’s Artist Research Fellowship, Washington DC, AS serta Steedman Fellowship, St. Louis, AS.

Sepanjang karier sebagai seorang pelukis, Suhaimi berpeluang mengadakan pameran bersama mendiang jurugambar terkenal, Ansel Adams dan balu mendiang penyanyi terkenal John Lenon iaitu Yoko Ono.

“Ia merupakan pengalaman manis yang mustahil untuk dilupakan. Saya juga merancang untuk membawa hasil karya pergi dengan lebih jauh,” tuturnya.

Sumber: Kosmo! Online