Bekas Guru Cipta Tangan Robotik 3D

Sikap prihatin dan kreativiti yang ditunjukkan seorang bekas guru sekolah rendah di sini dengan mencipta tangan robotik berasaskan teknologi 3D bagi membantu golongan kurang upaya (OKU) mendapat perhatian dalam kalangan banyak pihak.

Sujana Mohd. Rejab, 48, atau lebih dikenali sebagai Paksu Delta mula mencipta tangan robotik untuk kanak-kanak yang cacat perge­langan tangan sejak dua tahun lepas.

Bagi memperkenalkan lagi hasil ciptaannya itu, Sujana memilih untuk bekerjasama dengan Kolej Komuniti Taiping bagi membantu 20 golongan cacat berdikari.

Projek 20 tangan 3D itu dijangka siap pada September ini, yang akan diberikan kepada 20 kanak-kanak cacat di pergelangan tangan dan tidak memiliki jari termasuk seorang kanak-kanak dari Singapura.

“Saya mereka cipta tangan robotik itu bukan untuk mendapatkan keuntungan sebaliknya untuk membantu memudahkan golongan ini melakukan rutin harian dengan lebih sempurna.

“Niat saya untuk membantu kanak-kanak istimewa ini agar mereka dapat menjalani kehidupan seharian selain membuatkan mereka berasa yakin untuk berhadapan dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui di Kolej Komuniti Tai­ping.

Sujana yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang elektro­nik dan mekanikal berkata, beliau belajar dari universiti ‘Google’ dalam menghasilkan reka cipta 3D itu.

Beliau berjaya mengumpul bahan dan alatan untuk menghasilkan tangan itu, yang nilainya menjangkau RM20,000 hingga RM30,000.

Beliau menerima sumbangan bahan dari kilang elektronik di seluruh negara termasuk dari Labuan.


“Saya sentiasa mencari dan mengalakkan inovasi baharu di kalangan pelajar yang berminat untuk mengikuti kursus mencipta tangan robotik di samping mampu membantu masyarakat dalam mela­hir­kan inovasi baharu dalam reka cipta berkenaan,” katanya yang berasal dari Kampung Bukit Jana, Kamun­ting, Taiping.

Sujana berkata, masalah kewa­ngan adalah cabaran utama yang dihadapi dalam melaksanakan projek 20 tangan 3D ini dan kerana itu bantuan daripada syarikat diperlukan bagi membantu menjadikan rekaannya lebih sempurna.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Taiping, Mejar Bersekutu (PA) Haslinda Abd Hamid berkata, pihaknya bersetuju bekerjasama dengan Sujana setelah satu perbincangan dicapai pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata, kerjasama ini adalah satu daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mempunyai kaitan dengan pengajian teknologi pembuatan yang ditawarkan di kolej ini.

“Kami hanya membantu dari segi kemudahan dan bahan untuk membina tangan robotik itu, Sujana yang dapatkan,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online