Belajar Jahitan Sulaman Bersama Pak Tam

Berkhidmat di lautan luas selama tiga dekad memberi peluang kepada Shukor Ismail, 66, meneruskan minatnya terhadap seni kraf jahitan dan mengait setiap kali ada masa terluang.


Cerita bapa kepada dua orang anak dan tujuh cucu itu, pelayaran tersebut memakan masa selama enam bulan hingga setahun. Ekoran itu, beliau mempunyai banyak masa untuk mengait dan menyulam.

“Saya belajar mengait, menyulam, menjahit, memasak dan pelbagai kemahiran seni kraf tangan dengan arwah nenek, Khatijah Abu Bakar sejak berumur sembilan tahun.

“Ketika itu tidak ada gajet seperti anak muda sekarang dan bagi mengisi masa lapang saya membantu nenek menjahit dan mengait,” katanya yang bertugas sebagai tukang masak di atas kapal dagang yang membawa beliau belayar ke seluruh dunia.

Jelas Shukor, mengait tidak sukar dan hanya memerlukan minat serta kesabaran yang tinggi. Malah, dalam masa seminggu sahaja boleh menguasainya.

Terangnya, mengait ada dua jenis iaitu kaitan jarum satu yang dikenali sebagai chrochet dan jarum dua (knitting).

“Kaitan jarum dua biasanya untuk menghasilkan pakaian seperti baju dan stoking bayi yang menggunakan benang halus serta lembut.

“Mengait menggunakan beberapa jenis jarum mengikut benang. Contohnya, jarum nombor satu dan dua untuk benang halus, manakala nombor tiga dan empat bagi benang kasar seperti benang bulu kambing,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor.

Ujar Shukor, beliau juga mempunyai kemahiran menjahit, menganyam ketupat menganyam tikar mengkuang serta tekap benang emas yang turut diwarisi daripada arwah neneknya.

Setelah tiga dekad berbakti di tengah samudera, Shukor mengambil keputusan bersara dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja seni.

Langkah pertama yang diambilnya adalah dengan menulis sebuah buku pada 2013 bertajuk "Jahitan Sarung Kusyen Beralun".

Ia dilakukan kerana kurangnya bahan-bahan bacaan mengenai seni kraf tangan tersebut dalam bahasa Melayu.

Kongsi ilmu

Sambutan terhadap naskhah itu yang sangat dan beliau kemudiannya menerbitkan buku keduanya pada tahun 2014 bertajuk "Seni Jahitan Mengait".

Dalam masa terdekat, Shukor bakal melancarkan buku ketiganya, "Lipatan Hantaran Perkahwinan dan Pertunangan".

Berbicara mengenai penulisan buku tersebut, beliau berkata, ia bertujuan untuk berkongsi ilmu kepada para pembaca yang berminat dalam seni kraf jahitan dan mengait.

Selain itu, katanya, ia bagi menggalakkan orang ramai mencuba sendiri di samping melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat pada masa lapang.

Selepas bergiat aktif dalam penulisan buku, pada awal tahun ini, Shukor maju selangkah lagi dengan membuka bengkel mengait, menjahit dan menyulam.

Menurut Pak Tam, ramai yang memintanya membuka bengkel untuk mendalami selok-belok jahitan, sulaman dan mengait.

“Saya mempunyai dua buah bengkel iaitu di Jeram, Kuala Selangor dan Jalan Reko, Kajang yang beroperasi dua kali seminggu pada pukul 10 pagi hingga 5 petang.

“Di Jeram, ia beroperasi pada hari Isnin hingga Selasa manakala Jalan Reko sesi pengajaran diadakan pada Khamis dan Jumaat,” jelasnya yang mesra dipanggil Pak Tam.

Menurutnya, harga yang dikenakan hanyalah RM150 bagi dua hari, manakala peserta yang datang terus pada hari berkenaan dikenakan sebanyak RM50 sahaja.

Berbicara mengenai perancangan masa hadapan, Pak Tam memberitahu, beliau ingin memiliki kedai untuk mengadakan bengkel dan menempatkan kesemua produk seninya untuk dijual kepada orang ramai.

Sementara itu, pelajarnya, Siti Nurul Asnani Ibrahim, 21, berkata, dia sangat seronok mengikuti kelas Pak Tam kerana banyak mempelajari teknik-teknik baharu jahitan dan mengait.

“Saya minat menjahit sejak kecil dan menerusi kelas ini saya dapat mendalaminya dengan lebih lanjut.

 
“Melalui kerja-kerja seni ini ia mengasah kreativiti saya untuk mereka cipta sesuatu yang lebih kreatif,” kata pelajar tahun akhir Diploma Reka Bentuk dan Pembangunan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak itu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu tidak rugi dia mempelajari seni tersebut kerana menambah produk-produk tersebut boleh digunakan sendiri ataupun sebagai hadiah kepada insan istimewa tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, seorang lagi anak didik Pak Tam dan juga anak saudaranya, Siti Salbiah Mohamed Jamal, 34, berkata, bidang seni itu boleh membantu menambahkan pendapatan suri rumah.

Sumber rezeki

“Saya bersyukur dengan kemahiran menjahit, menyulam dan mengait yang dipelajari daripada ibu serta Pak Tam banyak memberi sumber rezeki tambahan buat kami sekeluarga.

“Saya mula serius menjadikannya sebagai pekerjaan utama sejak tiga tahun lalu apabila disahkan menghidap asma sehinggakan sukar melakukan pekerjaan berat.

“Pekerjaan ini sangat sesuai dengan keadaan penyakit saya dan ia hanya dilakukan di rumah sambil menjaga anak,” katanya yang merupakan ibu tunggal selepas bercerai dengan suami sejak lima tahun lalu.

Siti Salbiah turut memberitahu, mengait tidak memerlukan modal besar tetapi mampu meraih pendapatan lumayan setimpal dengan kerjanya yang sangat rumit dan memerlukan kesabaran serta ketekunan tinggi.

Ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, kerja-kerja seni itu banyak membantu dalam pembentukan nilai-nilai murni seperti disiplin, kesabaran dan ketekunan yang merupakan asas penting untuk menggapai kejayaan.

Sumber: Kosmo! Online