Benih Hibrid Kelapa MATAG Tulen

Ramai petani termasuk penduduk kampung dan pinggir bandar tertarik dengan kelapa MATAG kerana walaupun pokoknya rendah, buahnya besar, cepat berbuah dan lebat.

Bagaimanapun, jangan terkejut jika pokok kelapa MATAG yang ditanam tidak berbuah. Jika berbuah pun, ia tiada ciri MATAG.

Ia mungkin disebabkan pokok kelapa itu ditanam menggunakan anak benih diambil daripada buah kelapa MATAG yang dicambah.

Jika benar, anda sebenarnya menanam benih tidak tulen atau dalam istilah saintifiknya dipanggil Generasi F2.

Generasi F2 tidak mempunyai ciri-ciri kualiti dan kelebihan seperti kelapa MATAG jika dijadikan anak benih.

Ini kerana kelapa MATAG sejenis kelapa hibrid yang dihasilkan melalui kacukan dua induk kelapa berbeza iaitu Tagnanan sebagai induk jantan dengan Malayan Red Dwaft (MRD) atau Malayan Yellow Dwaft (MYD) sebagai induk betina.

Nama ‘MATAG’ pula singkatan gabungan antara ‘MA’ (Malayan) dan ‘TAG’ (Tagnanan) bagi menggambarkan kelapa hibrid hasil kacukan dua varieti berbeza.

Kelapa hibrid MATAG mempunyai gabungan ciri baik dan kelebihan yang diwarisi kedua-dua induknya iaitu buah yang besar daripada Tagnanan dan pokok rendah, cepat berbuah serta lebat daripada MRD atau MYD.

Bagi mendapatkan hasil kelapa hibrid MATAG sebenar, petani perlu memastikan benihnya tulen iaitu hasil pendebungan antara Tagnanan dengan MRD atau MYD atau istilah saintifiknya dipanggil Generasi F1.

Pendedahan ini dilakukan berikutan Jabatan Pertanian menerima banyak laporan daripada petani yang membeli dan menanam kelapa MATAG menggunakan benih Generasi F2 yang dijual pembekal benih sama ada nurseri atau jualan secara dalam talian (online).

Keadaan ini berlaku akibat kekurangan pengetahuan mengenai benih hibrid dalam kalangan orang ramai menyebabkan mereka mudah ditipu.

Lebih malang apabila segelintir penjual mengambil kesempatan terhadap kekurangan pengetahuan petani dengan mendakwa anak benih kelapa MATAG Generasi F2 sebagai anak benih MATAG tulen atau Generasi F1.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Jabatan Pertanian Halimi Mahmud berkata, pihaknya tidak mahu masyarakat ‘tertipu’ dengan anak benih pokok MATAG tidak tulen.

Menurut beliau, anak benih kelapa MATAG tulen hanya dikeluarkan Jabatan Pertanian melalui ladang benih kelapa di Pusat Pertanian Pagoh, Johor dan Pusat Pertanian Lekir, Perak.

“Jabatan Pertanian Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak juga mengeluarkan benih kelapa hibrid MATAG iaitu masing-masing di Stesen Kelapa Menumbok dan Pusat Pertanian Tarat.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi pengeluaran anak benih kelapa hibrid MATAG disediakan bertujuan menyeragamkan proses pengeluaran anak benih kelapa di setiap ladang benih dan tapak semaian.

“Ia bagi menjamin ketulenan benih kelapa hibrid MATAG yang dikeluarkan Jabatan Pertanian. Pengeluaran anak benih kelapa hibrid MATAG antara aktiviti di bawah Projek Pengeluaran Benih Tanaman dalam rancangan lima tahun sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),” katanya.

Halimi berkata, pengeluaran anak benih MATAG bertujuan membekalkan benih berhasil tinggi kepada peserta projek penanaman semula dan pemulihan kelapa.

“Aktiviti pengeluaran benih membabitkan kerja penanaman pokok induk baru, kerja pendebungaan untuk pengeluaran kelapa hibrid serta penyemaian benih hibrid MATAG di tapak semaian.

“Kebun benih yang dipilih hendaklah berdekatan sumber air untuk pengairan kerana ia antara faktor penting dalam menjayakan kebun benih kelapa,” katanya.

Menurutnya, pemilihan pokok induk yang baik penting kerana ia menentukan penghasilan benih berkualiti.

“Kriteria penting dalam memilih pokok induk Tagnanan (jantan) mesti berusia lapan tahun ke atas kerana pengeluaran buahnya sudah seragam.

“Pokok induk mestilah daripada pokok berhasil tinggi dan mengeluarkan buah seragam sepanjang tahun. Pemilihan pokok induk MRD (betina) mesti mencapai usia lima tahun ke atas bagi memastikan ia berkualiti,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pendebungaan bermula dengan pemilihan bunga betina matang dan boleh dikenalpasti apabila hujung stigmanya terbuka dan mengeluarkan cairan jernih.

“Pendebungaan dibuat dengan menyapukan debunga jantan Tagnanan pada bunga betina yang matang. Pendebungaan pada setiap bunga betina diulang setiap hari selama lima hingga tujuh hari atau sehingga stigma berwarna hitam.

“Anak benih kelapa hibrid MATAG yang berusia empat hingga 12 bulan boleh dipindahkan ke ladang untuk penanaman. Anak benih terpilih mestilah mempunyai warna sama pada pangkal pelepah dan lidi daun (hijau, keemasan, jingga kemerahan).

“Proses pengeluaran benih kelapa hibrid MATAG yang bermula daripada proses pendebungaan, semaian dan mencapai standard anak benih memakan masa sekurang-kurangnya satu tahun empat bulan,” katanya.

 
Halimi berkata, setiap proses memerlukan penelitian rapi bagi menepati ciri-ciri pokok, buah dan anak benih berkualiti dapat dihasilkan.

“Prosedur yang ditetapkan ini boleh menjamin pengeluaran benih yang boleh menghasilkan pokok kelapa hibrid MATAG yang produktif bagi memenuhi permintaan pasaran sama ada untuk kegunaan segar atau produk hiliran berasaskan kelapa.

“Pokok kelapa MATAG daripada anak benih yang dikeluarkan mengikut prosedur ini berpotensi menghasilkan buah melebihi 25,000 biji sehektar setahun.

“Kelapa hibrid MATAG boleh memberikan hasil buah kelapa yang banyak dalam jangka panjang dengan saiz lebih besar dan popular dalam kalangan pengguna domestik selain dapat menghasilkan kelapa muda, jeli kelapa, dijual muda untuk air dan tua untuk santan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai perlu mendapatkan bekalan anak benih hibrid MATAG tulen daripada pembekal sah seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Pertanian Sarawak serta pihak swasta iaitu United Plantation Berhad (UPB) dan National Land Finance Cooperatives Society (NLFCS) sahaja.

Sumber: myMetro