Benih Udang MH Aqua Hatchery

Industri ternakan udang galah makin mendapat sambutan dalam kalangan usahawan agro kerana dapat menjana pendapatan lumayan.

Bagi Pengurus MH Aqua Hatchery Muhammad Harith Muhamad Hatta, 25, dia bergelumang dengan penternakan udang galah sejak kecil selepas mendapat ilmu pembenihan udang daripada ayahnya.

“Ayah kakitangan Jabatan Perikanan dan saya belajar sedikit demi sedikit ilmu pembenihan dan penetasan udang galah dengannya.

“Selepas tamat persekolahan, saya melanjutkan pengajian peringkat diploma di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam jurusan perikanan bagi mendalami ilmu yang saya minati ini,” katanya ketika ditemui di pekan Rawang, Sungai Mati, Muar.

Menurutnya, di daerah Muar saja, permintaan udang galah yang turut digelar si sepit biru mencecah dua tan sebulan.

 “Permintaan udang galah sangat tinggi sama ada hidup atau sejuk beku. Ia diperlukan industri makanan seperti restoran makanan laut, kolam memancing dan sebagainya.

“Di MH Aqua Hatchery kami turut mengusahakan pusat penetasan benih udang. Saya juga mengadakan kursus selepas mendapat permintaan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang ingin belajar cara menternak udang galah,” katanya.

Muhammad Harith berkata, pihaknya mula melakukan kursus penetasan udang galah sejak akhir November lalu membabitkan 16 peserta dari Johor Bahru, Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Sarawak.

“Kami akan ajar secara teori dan praktikal daripada pembenihan, seterusnya penuaian benih udang. Peserta juga diajar cara mereka bentuk tangki gentian kaca sesuai dengan udang, kualiti air yang betul dan jenis pam air bersesuaian.


“Kami difahamkan, ada banyak kit penternakan udang dijual di pasaran, namun pemantauan khusus perlu dilakukan kerana jumlah benih udang yang diisi di dalam sesebuah tangki perlu sesuai dengan nisbah tertentu.

“Pengusaha yang berminat perlu mendalami kursus yang diadakan supaya tahap survival udang dalam tangki dapat diminimumkan,” katanya.

Untuk masa depan, beliau merangka program untuk bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Jabatan Perikanan bagi menjalankan kursus berkenaan di kawasan desa.

“Buat masa ini, kami fokuskan kampung di sekitar Muar, Pagoh dan Ledang yang berdekatan Sungai Muar.

“Ia bagi memudahkan mereka menjalankan ternakan udang galah yang dahulunya popular di Sungai Muar,” katanya.

Sumber: myMetro