Biskut Cip Coklat Mad About Cake

Rangup, kurang manis dan rasa coklat asli. Inilah tarikan utama biskut Mad About Cake (M.A.C) yang dihasilkan sendiri oleh Chef Wan Noor Zamran Hashim, 45. Boleh dikatakan biskut ini setanding dengan biskut cip coklat antarabangsa.
 

Bagi penulis, tatkala memakan biskut ini, ia menggamit memori Aidilfitri di kampung.

Menariknya, biskut ini dihasilkan secara manual tanpa menggunakan mesin oleh Chef Wan Noor Zamran dan pekerjanya.

Menurut Chef Wan Noor Zamran, dia memulakan perniagaan dengan membuat kek secara kecil-kecilan.

Kemahiran menghias kek dalam pelbagai rupa menjadi taruhannya dalam bidang kulinari.

Tidak berhenti setakat itu sahaja, Chef Wan Noor Zamran kemudian menghasilkan biskut cip coklat sendiri.

Beliau membuktikan biskut hasil tangannya bukan hanya jualan kampung sebaliknya standard dan setanding dengan produk antarabangsa.

“Biskut cip coklat ini saya hasilkan menggunakan resepi ciptaan sendiri. Awalnya, biskut ini dihasilkan untuk musim perayaan sahaja tetapi saya mendapati sambutannya meningkat walaupun musim perayaan sudah habis.

“Ini menjadi faktor utama dan saya membuat keputusan untuk menghasilkan biskut cip coklat sepanjang musim,” katanya.

Dengan bantuan seramai 10 pekerja sepenuh masa dan sambilan, Chef Wan Noor Zamran memberitahu, dalam sehari dia akan membuat 16 adunan biskut cip coklat bagi menghasilkan kira-kira 1,000 paket.

Bagi memastikan produknya dapat bersaing dengan jenama antarabangsa, Chef Wan Noor Zamran menghasilkan bungkusan yang lebih menarik.

Bungkusan tersebut lebih mesra dengan pelanggan di samping pemilihan warna yang terang dan reka bentuk yang comel.

“Saya akui permintaan biskut ini semakin meningkat. Sejujurnya saya tidak dapat memenuhi permintaan yang kian meningkat. Namun, saya akan berusaha memenuhi permintaan tersebut dengan mencari lokasi baharu bagi menempatkan dapur-dapur hanya untuk pembuatan biskut cip coklat tersebut.

“Sekarang pengeluaran kami mencecah sehingga 20,000 paket sebulan.

“Oleh sebab itu, kini kami dalam usaha mencari lokasi baharu untuk menempatkan hanya dapur membuat biskut ini kerana kedai di sini kecil dan terpaksa pula berkongsi ruang membuat kek,” katanya.

Dijual pada harga RM12 sepaket (80 gram), biskut cip coklat keluaran M.A.C ini boleh diperoleh daripada ejen seluruh negara.

Biskut ini juga boleh dibeli secara dalam talian di laman sosial Instagram cookiesmostwanted atau layari laman sesawang Mad About Cake.

Dalam pada itu, Chef Wan turut berkongsi pengalamannya sebagai tukang masak Tabung Haji di Mekah.

Di sebalik kesibukannya menguruskan perniagaan kek dan biskut, beliau sebenarnya merupakan tulang belakang utama menguruskan menu untuk kakitangan Tabung Haji yang bertugas pada musim menunaikan haji.

“Ini merupakan sisi yang menarik untuk dikongsi. Berada hampir 10 minggu di sana, pelbagai pengalaman saya dapat. Selama lapan tahun bertugas sebagai tukang masak pada musim haji, saya akui cinta saya dalam bidang kulinari semakin dalam,” katanya.

Ditanya tentang rahsia kejayaannya, Chef Wan Noor Zamran menjelaskan, dia amat mengutamakan kualiti produk bagi memastikan orang ramai terus menjadi pelanggannya.

“Usaha perlu diteruskan. Saya berhasrat untuk memasuki pasaran yang lebih luas sehingga ke luar negara,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online