Bisnes Itik Salai

Pemuda ini pernah melakukan pelbagai kerja termasuk menjual burger, bekerja dengan syarikat peralatan elektronik dan eksekutif bank di Kuala Lumpur, namun semuanya tidak memenuhi cita rasanya.

Mohammad Taqdir Sajin, 25, lulusan pengurusan perniagaan di Kolej Islam Antarabangsa, Gombak, pada 2007, kemudian nekad balik ke kampungnya di Kundur Hulu Pedas, Rembau, bagi membantu keluarganya mengusahakan perniagaan ayam kampung pada 2011.

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan itu, timbul idea untuk mengeluarkan produk salai kerana menyedari tiada lagi usahawan berkecimpung dalam bidang itu di kawasan berkenaan.

Tambahan pula produk salai sering dikaitkan dengan makanan tradisional negeri Adat Perpatih itu yang sangat digemari penduduk setempat.

Katanya, bermodalkan RM50,000 hasil simpanan, dia memulakan projek itu pada awal 2014 dengan melakukan sedikit penyelidikan terhadap kaedah sabak (tempat memanggang secara kepungan).

Bermula dari situ, dia membina sabak menggunakan batu-bata yang direka berpandukan idea bapanya, Sajin Mustafa, 63, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 “Beberapa bulan mencuba, akhirnya sebuah sabak berjaya didirikan dan bermulalah kerjaya saya sebagai penjual produk salai.

“Produk yang dijual ialah daging, ayam kampung, itik, puyuh dan ikan sembilang. Menyalai dengan sabak mengambil masa lama. Untuk daging mengambil masa empat jam, ayam dan itik tiga jam, puyuh dua jam dan ikan sejam,” katanya.

Katanya, teknik sabak bergantung kepada suhu asap dari bara api menjadikan produk yang dipanggang sama rata, daging lebih lembut dan lembap selain tiada habuk kayu melekat.

“Kaedah salai ini berbeza dengan cara tradisional kerana produk disalai dengan sabak digantung menggunakan besi pemanggang menyebabkan ia tidak menghasilkan karbon.

“Sebab itu hasil produk salai menggunakan sabak seperti daging atau ayam tidak semestinya hanya dimasak lemak atau rendang tetapi boleh dimakan begitu saja sebagai snek,” katanya.

Mohammad Taqdir berkata, selepas lapan bulan memulakan perniagaan itu, sabak salai makin mendapat permintaan.

Daripada 20 kilogram (kg) daging lembu yang disalai pada awal pembabitannya, kini meningkat kepada 300kg seminggu.

“Selain menjual terus kepada pelanggan, produk sabak salai juga dikeluarkan dalam bentuk sejuk beku berharga antara RM10 hingga RM15 setiap pek.


“Ketika ini pengeluaran mencecah 1,000 pek sehari dipasarkan di beberapa kawasan sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Shah Alam dan Putrajaya serta Lembah Klang termasuk menerusi online dan 10 ejen.

“Sasaran saya ialah mengeluarkan sehingga 3,000 pek sehari menjelang akhir tahun ini,” katanya yang kini memiliki dua mesin pemanggang.

Anak ketiga daripada empat beradik itu turut membuka kedai makan bersebelahan bengkel sabak salai bagi memudahkannya mempromosikan masakan produk salai berkenaan kepada pelanggan.

“Fokus saya ketika ini untuk meningkatkan keupayaan termasuk aspek pembungkusan kerana mahu meluaskan empayar Sabak Salai ke pasar raya.

“Saya ingin menjadikan produk Sabak Salai, makanan warisan Negeri Sembilan ini sebagai produk terbaik,” katanya yang menghargai sokongan dan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kerana banyak membantunya terutama dari segi khidmat nasihat dan kepakaran.

Mohammad Taqdir pernah memenangi Anugerah Industri Ilham Desa Cemerlang Zon Selatan 2014 dan peringkat kebangsaan 2015, anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW).

Sumber: myMetro