Buah Tin Ladang Al-Ridzuan Fig Fiesta One

Seawal pukul 8 pagi, Zulkifli Othman, 39, sudah bersedia untuk melaksanakan rutin hariannya di ladang buah tin yang terletak di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor.

Dengan dibantu beberapa pekerja lain, Zulkifli bertanggungjawab memastikan kesemua lebih 1,000 pokok tin yang ditanam di ladang berkenaan hidup subur.

“Setiap hari, saya dan pekerja lain akan memeriksa setiap pokok di sini bebas daripada serangan serangga, ulat atau dijangkiti penyakit.

“Selain itu, tugas rutin kami adalah menyiram dan membaja pokok agar kekal subur serta dapat menghasilkan buah yang lebat dan berkualiti,” katanya yang telah bertugas di ladang Al-Ridzuan Fig Fiesta One Malaysia (Al-Ridzuan Fig Fiesta) itu sebagai pengurus sejak dua tahun lalu.

Jelas Zulkifli, selain menyelia pertumbuhan pokok yang ditanam untuk tujuan pengeluaran buah, dia juga perlu memastikan anak benih pokok tin yang terdapat di tapak semaian hidup dengan baik sebelum dijual.

Berdasarkan sejarah, pokok buah tin atau nama saintifiknya Ficus carica L. tergolong dalam keluarga Moraceae.

Di negara ini, ia dikenali sebagai buah ara. Buah tin sangat berkait rapat dengan Islam. Ia dipercayai berasal dari syurga serta telah wujud sebelum Allah mencipta Nabi Adam dan pasangannya, Hawa.

Tin juga dipercayai merupakan salah satu tumbuhan yang pertama ditanam oleh manusia sebagai aktiviti pertanian sejak berjuta tahun dahulu. Ia mula dikesan ditemui sekitar 11,400 tahun dahulu selain turut menjadi makanan ruji dalam diet masyarakat Mesir purba.

Pada abad pertama selepas Masihi, orang Rom telah membawa tin ke serata tanah jajahannya iaitu di sekitar Mediterranean dan Utara Eropah serta England.

Di Asia, tin dipercayai mula dibawa ke China menerusi Laluan Sutera semasa zaman perluasan empayar Islam.

Di China, tin mula dikenali kira-kira tahun 700 Selepas Masihi iaitu ketika pemerintahan Dinasti Tang.

Pada masa ini, kebanyakan pokok tin ditanam di kawasan Mediterranean dengan Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Iran menjadi pengeluar utama tin di dunia.

Malah, penanaman pokok tin juga telah mula diusahakan di kawasan yang beriklim tropika termasuk kawasan Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Sehingga kini, dipercayai terdapat lebih 1,000 jenis pokok tin dengan sebahagiannya merupakan spesies hibrid atau kacukan.

Buah tin memiliki kulit yang lembut. Kebanyakan spesies pokok tin akan menghasilkan buah yang berwarna merah gelap atau hitam apabila masak.

Isinya pula memiliki pelbagai warna mengikut spesies, sama ada putih, kuning pucat, merah jambu, warna ros, merah atau ungu.

Tin sejenis buah yang berkhasiat kerana ia mengandungi kalsium, potasium dan fiber manakala daunnya boleh digunakan untuk penjagaan kesihatan.

Mengulas mengenai penanaman pokok tin secara komersial di ladang Al-Ridzuan Fig Fiesta One Malaysia, Pengarah Urusannya, Ridzuan Abdullah, 53, berkata, ia bermula kira-kira dua tahun lalu selepas kawasan halaman rumahnya sudah tidak mampu menampung pertambahan pokok berkenaan.

Ladang

“Saya mula menanam 300 pokok tin sekitar Disember 2013 secara suka-suka di halaman rumah selepas mendapat benihnya daripada seorang rakan.

“Bagaimanapun, selepas enam bulan ditanam, pokok tersebut mula menghasilkan buah yang banyak.

Disebabkan tiada pusat jualan yang khusus, saya hanya menjualnya di sekitar Sungai Buloh dan sambutannya sangat baik.

“Bermula dari situlah, saya mendapat idea untuk mengembangkan aktiviti ini dengan membuka sebuah ladang penanaman secara komersial pada Mei 2014,” katanya memberitahu ladang tersebut dibuka di atas sebidang tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang disewa di kampung tersebut.

Selepas dua tahun beroperasi, ladangnya mempunyai lebih daripada 1,000 batang pokok tin yang terdiri daripada 110 spesies yang diperoleh dari seluruh dunia.

Antara yang ditanam ialah spesies de la roca yang berasal dari Sepanyol, dalmatine (Rusia), verdale (Kepulauan Mediterranean), jacques cartier (Perancis), verdino (Itali), red Saudi (Arab Saudi), black madiera (Belanda), amerilo rondondo (Brazil), sunee (China), bosniaco (Bosnia Herzegovina), yello Lebanese (Lebanon), Taiwan golden fig (Taiwan) dan masui dauphine (Jepun).

Bercerita mengenai kaedah penanaman, Ridzuan memberitahu, walaupun pokok tin berasal dari Asia Barat, namun ia mampu hidup subur di negara ini.

Pembiakannya juga amat mudah menerusi kaedah tut pada dahan pokok yang matang.

“Disebabkan ladang saya berskala kecil, saya lebih memberi fokus kepada pengeluaran anak benih bagi menampung permintaan yang tinggi berbanding penghasilkan buah segar untuk jualan terus.

“Malah, saya juga memerlukan anak benih yang banyak untuk tujuan pembesaran ladang yang kini sedang dalam perancangan,” katanya dengan memberitahu setiap anak benih dijual pada harga bermula dari RM100 setiap satu.

Pengeluaran buah tin segar hanya akan dilakukan jika ladang baharu yang berkeluasan kira-kira 0.8 hektar mula beroperasi dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pokok tin mempunyai jangka hayat yang panjang dan mampu hidup berpuluh tahun.

Di Asia Barat ada pokok yang dikesan hidup hingga ratusan tahun. Bagi tujuan komersial, ketinggian pokok tin boleh mencecah hingga dua meter. Ia boleh ditanam di dalam pasu dan di atas tanah.
Bergantung pada spesies, ada pokok tin yang berbuah sepanjang tahun.

Dalam pada itu, Pengarah Bersama Al-Ridzuan Fig Fiesta, Jamaliah Osman, 53, berkata, pada masa ini, sebahagian besar tin yang dihasilkan daripada ladang itu diproses sebagai produk hiliran manakala hanya sebahagian kecil sahaja dijual sebagai buah segar.

Buah tin segar dijual pada harga sekitar RM80 sekilogram.

“Antara produk hiliran yang dihasilkan berasaskan buah tin ialah jem, sos dan sabun.
“Malah kami turut menghasilkan teh daun tin yang baik untuk, kesihatan,” katanya.

Syarikatnya juga merancang untuk menambah produk hiliran lain pada masa akan datang jika ladang baharu itu mampu menghasilkan buah tin dalam kuantiti yang banyak.

Sumber: Kosmo! Online